Karpal Singh maut dalam kemalangan di Perak
Pemimpin pembangkang veteran DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala arah utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira pukul 1.30 pagi ini.
Turut terkorban dalam kemalangan berkenaan adalah pembantu peribadinya Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami kecederaan parah.
Karpal dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang kerana perlu menghadiri satu kes mahkamah mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Alphard dinaikinya melanggar sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat.
Semasa hidupnya, Karpal, 74, dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang lantang dan seorang peguam digeruni.
Karpal dilahirkan di Pulau Pinang pada 28 Jun, 1940. Beliau mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelummemulakan karier politiknya pada 1970 selepas menyertai DAP.
Beliau pertama kali menang pilihan raya pada 1974 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Peguam lantang itu pertama kali menang kerusi Parlimen Jelutong pada tahun 1978. Semenjak menang buat kali pertama pada tahun 1978, Karpal hanya kalah sekali di kerusi tersebut semasa Pilihan Raya Umum ke 10 pada 1999.
Karpal yang sudah menjadi aktif berpolitik selama 36 tahun dan digeruni dengan ucapan berapi-apinya di Dewan Rakyat digelar 'Harimau Jelutong'.
Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan kerana mengatakan Sultan boleh didakwa di mahkamah pada 2009. Beliau menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2005.
Beliau pernah ditahan bersama pemimpin pembangkang dan aktivis politik lain mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan merengkok di Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun selepas kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Operasi Lalang pada 1987 yang menyaksikan lebih seratus orang ditahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui akun Twitter @najibrazak.
"Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau," tulisnya.
Sementara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersedih dengan pemergian pemimpin veteran DAP itu yang turut menjadi peguamnya dalam kes Liwat II.
“Kami kehiangan sahabat; pejuang gigih keadilan Karpal Singh. Kami berbicara panjang melalui talipon jam 630 ptg semlm. Takziah buat keluarga,” kata Anwar di akaun Twitter @anwaribrahim.
Karpal merupakan salah seorang pemimpin yang menjayakan penubuhan gabungan pembangkang PR dianggotai DAP, PKR dan PAS selepas buat pertama kalinya majoriti tradisi dua pertiga Barisan Nasional (BN) dinafikan di Parlimen.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis di akaun Twitter @khalid_ibrahim: "Perkhabaran sedih. Negara kehilangan tokoh politik & peguam yang berwibawa. Takziah kepada seluruh keluarga mendiang Karpal Singh."
Karpal meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak serta empat orang cucu lapor The Malaysian Insider
"Sesungguhnya telah lalu di hadapan Rasulullah S.A.W. satu jenazah, lalu baginda bangun untuk menghormatinya. Lalu diberitahu kepada Baginda "Itu jenazah seorang Yahudi".. lantas Baginda bersabda "Tidakkah ia juga insan?" Hadis riwayat Bukhari dan Muslim..
TAKZIAH buat keluarga mendiang...
No comments:
Post a Comment