Monday, April 7, 2014

1 MALAYSIA : YANG MANA SATU NIH? DOK TUDUH MEDIA LUAQ KONON ...

Menteri Pula Bercanggah Dengan KPN, Penumpang Dibersihkan Atau Belum?


Tiada Krew MH370 Yang Dibersihkan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan penyiasatan ke atas anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 masih lagi berjalan dan tiada siapa yang telah dibersihkan.

"Saya tidak fikir sesiapapun telah dibersihkan daripada sebarang penyiasatan.

"Sepanjang senarai yang ditunjukkan, ia termasuk juga anak-anak kapal.


"Empat kemungkinan Ketua Polis Negara (KPN) ingatkan kami, siasatan ke atas keganasan, rampasan, psikologi atau peribadi.

"Itu, saya tahu masih berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berkaitan siasatan anak kapal MH370 pada sidang media mengenai pencarian MH370 di ibu negara, Sabtu.

Rabu lepas KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membersihkan kesemua penumpang MH370 daripada siasatan rampasan, sabotaj, psikologi dan masalah peribadi tetapi masih menyiasat anak-anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau tiada masalah dalam mendapatkan maklumat tentera dan data radar dari negara-negara ASEAN terutama yang terlibat dalam operasi menyelamat yang kini masuk hari ke-29.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa melintasi Laut China Selatan.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari yang disertai oleh pelbagai negara pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan, tetapi setelah didapati pesawat itu melencong daripada haluannya, dan terbang sepanjang dua koridor - koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan di koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan kaedah menganalisis data satelit yang tidak pernah digunakan sebelum ini, syarikat satelit komunikasi British Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan penerbangan MH370 terbang sepanjang koridor selatan and kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac lepas, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi."

Rakaman perbualan antara juruterbang MH370 dengan pengawal trafik udara tidak boleh dikeluarkan kerana ia masih lagi dalam siasatan.

Hishammuddin berkata pencarian pesawat itu akan berterusan melampaui nilai wang.

Ditanya mengenai peluang kesemua penumpang dan anak kapal selamat, beliau berkata itulah yang diharapkan oleh anggota keluarga mereka.

"Walaupun tipis untuk selamat, itu masih jadi pegangan mereka (keluarga penumpang).

Biarpun jika ianya satu keajaiban, biarpun ianya tidak mungkin tercapai.

Jika itu adalah keinginan keluarga, saya fikir adalah wajar jika kami dapat menghormati keinginan mereka," katanya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada Malaysia bersedia memohon maaf untuk tragei MH370, beliau berkata itu bukan sebahagian daripada penyelesaian.

Hishammuddin berkata mendapatkan pesawat itu dan kotak hitamnya untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku masih merupakan tugasan yang besar dan mencabar dan beliau berterima kasih kerana ramai yang dapat melihat insiden itu secara positif.

"Itu adalah sesuatu yang memberikan kekuatan kepada kami kerana jika ia berlanjutan lebih lama, kami memerlukan segenap tenaga yang boleh kami dapat untuk mendapatkan kebenaran tentang apa sebenarnya berlaku kepada MH370," katanya. -BERNAMA


Siasatan Mendapati Penumpang MH370 "Bersih" Daripada Empat Elemen - KPN

KUALA LUMPUR - Polis mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi, tetapi masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata siasatan terhadap 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 itu mendapati mereka "bebas" daripada empat elemen itu.

"Mereka didapati bersih daripada empat (elemen) itu. Ia (adalah) menurut prosedur (siasatan) kami sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan kualiti pasukan polis di sini Rabu.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berdasarkan empat elemen itu terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

Khalid berkata setakat ini polis telah merekodkan kenyataan daripada lebih 170 individu berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu dan menurutnya polis akan merekodkan lebih banyak kenyataan.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Khalid berkata polis tidak akan mendedahkan sebarang maklumat hasil siasatan insiden itu kerana ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Maafkan saya, terdapat perkara yang kami tidak boleh dedahkan kepada anda; bukan saya tidak mahu dedahkannya kepada anda tetapi kami tidak boleh berbuat demikian. Kerana ia adalah penyiasatan jenayah, sedang berjalan; kami belum memuktamadkan segalanya dan kami masih menunggu laporan daripada pakar di luar negara dan dalam negara.

"Anda perlu faham. Saya fikir kami amat konsisten (tentang siasatan). Siapa tahu, mungkin akan ada pendakwaan kemudiannya. Jadi, ini akan menjejaskan kes pendakwa raya sekiranya kami mula mendedahkan hasil penyiasatan kami," katanya.
-- BERNAMA




ULASAN GB

Kenyataan menteri pula bercanggah dengan KPN. Inilah akibat dari terlampau banyak rahsia yang disorokkan dari pengetahuan rakyat. Ada agenda tersembunyi sehingga seorang kata bersih seorang lagi kata belum bersih.

GB sudah ulas sebelum ini.

Ini semua kerja gila. Sekejap begini sekejap begitu. Dari awal-awal lagi segala-segalanya bercanggah. Patut pun keluarga dari China berang dan marah, tak satu maklumat yang diterima boleh dipercayai.

No comments:

Post a Comment