KUALA
LUMPUR 11 April - Polis setakat ini telah merekodkan lebih 205
keterangan daripada pelbagai pihak termasuk anggota keluarga penumpang
dan anak kapal Malaysia Airlines MH370 bagi membantu siasatan berhubung
kehilangan pesawat berkenaan.
Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lebih banyak lagi yang
akan dipanggil untuk membantu siasatan dan polis tidak akan mendedahkan
hasil keterangan yang diambil bagi mengelakkan gangguan siasatan.
``Siasatan
ini berterusan, dan setakat petang semalam kami telah merekodkan lebih
205 kenyataan dan lebih banyak kenyataan yang akan direkodkan...
terdapat perkara tertentu yang kami perlu teliti semula untuk menjadikan
siasatan kami lebih jelas,'' katanya kepada pemberita selepas majlis
menghadiri aktiviti keagamaan Buddha sempena Peringatan Hari Polis
ke-207 di sini, hari ini.
Ketika
mengulas kenyataan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor
yang menafikan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370
adalah dari daerah Muar, beliau berkata ``tidak semestinya manggis itu
ditanam di Johor, pembekalnya dari Muar.
``Saya
tidak cakap ia dipetik dari Muar, saya cakap kita akan menyiasat sampai
peringkat itu (di mana ia dipetik)... saya tidak kata ladangnya di
Johor, memang manggis itu sebelum dibawa ke KLIA ia dihimpun di Muar.
Fama
Johor sebelum ini menjelaskan manggis yang dibawa ke China menerusi
pesawat MH370 tidak mungkin dihasilkan dari daerah Muar dan berdasarkan
rekod Fama, tiada dusun di Johor yang menghasilkan manggis ketika ini
kerana musim buah itu mulai Jun ini.
Khalid
menjelaskan siasatan turut akan dijalankan bagi melihat sama ada
makanan yang disediakan pembekal makanan bagi pesawat berkenaan beracun.
Penerbangan
MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah
malam dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang
pada 2.40 pagi ketika berada di ruang angkasa Malaysia-Vietnam.
No comments:
Post a Comment