Sunday, February 12, 2017

Yayasan 1MDB perlu isytihar sumber dana program haji: Presiden Isma



Isma Web ·



Bagi mengelakkan polemik berterusan, Penganjur Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu tampil menyatakan sumber dana yang digunakan bagi membawa jemaah haji tajaan mereka.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, sebaiknya yayasan itu menjelaskan sumber digunakan untuk menaja jemaah haji.

Tindakan itu katanya, boleh mengelakkan pelbagai spekulasi yang timbul ketika ini, dan mungkin juga perkara itu disebabkan penganjur tidak mendedahkan sumber dana diperoleh untuk menaja jemaah haji yang terpilih.

“Nyatakan dari mana ia diperoleh dan dibelanjakan, keuntungan perniagaan apa serta bahagian mana diperuntukkan untuk kebajikan untuk menghilangkan kekeliruan.


“Kita sebagai manusia tidak boleh melabel atau memutuskan seseorang itu memperoleh haji mabrur atau tidak, tetapi penjelasan mengenai sumber dana boleh merungkai polemik ini,” katanya kepada Ismaweb hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jemaah yang ditaja menerusi program itu tidak mendapat haji mabrur.

Ia berikutan didakwa daripada wang haram yang dikatakan dicuri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Najib boleh bagi, kenapa dia boleh bagi kerana dia curi duit, duit curi halal ke tidak. Kalau dia bagi duit curi kita buat kerja haji, bagus ke tidak?

“Itulah yang dia buat, tiap-tiap tahun nak hantar 1,000 orang buat kerja haji dengan duit curi. Saya ingat bukan haji mabrur la tu, haji kurang mabrur,” kata Tun Mahathir.

Mengulas lanjut Ustaz Abdullah berkata, sememangnya adalah menjadi tanggungjawab pihak penaja memberi tajaan dari sumber yang halal.

“Mana-mana pihak yang ingin menaja umat Islam menunaikan haji memastikan dana digunakan adalah dari sumber halal dan tidak menimbulkan keraguan,” katanya.

No comments:

Post a Comment