Sunday, February 12, 2017

Hadi: Tiada kerjasama dengan PPBM, PKR 'tengok nanti'




ANTARAPOS.COM





AMPANG: PAS tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti itu menjalin permuafakatan dengan DAP dan Amanah, kata presiden PAS.

Dalam membuat penegasan itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya juga akan membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama tahaluf siyasi PAS-PKR pada April depan.

PKR adalah rakan komponen DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan. Ketiga-tiga parti itu mengikat kerjasama politik sesama diri dan PPBM untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14.

Hadi berkata parti itu bersedia menamatkan sebarang rundingan mengenai kerjasama dengan PPBM tanpa menunggu tempoh sebulan yang ditetapkan oleh pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tak perlu tunggu sebulan dengan BERSATU (PPBM). Kita sudah ada dasar. Dasar (kita) tidak kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.

“Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan DAP dan Amanah, kita tak ada hubungan dengan mereka.

“Tak perlu tunggu (PPBM) . Bila dia dah ada hubungan dengan DAP dan Amanah, habislah,” katanya kepada pemberita.

Mengenai hubungan tahaluf siyasi dengan PAS-PKR yang dimeterai sejak tahun 2008, Hadi berkata perkara itu akan dirungkai pada muktamar tahunan PAS April depan.

“(Pasal) PKR pun kita akan buat keputusan masa muktamar nanti. Itu(tahaluf siyasi) akan kita lihat bila tiba masanya,” ” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan pihaknya dan Pakatan Harapan.

Selain PKR, pakatan itu merangkumi dua musuh utama PAS iaiu DAP dan Amanah yang bercadang meletakkan calon di kerusi-kerusi yang secara tradisi di tandingi oleh PAS sebelum ini.

Hadi berkata soal hubungan PAS dengan parti lain adalah berasaskan dasar yang jelas.

“Kita ada dasar yang tak kerjasama dengan parti tentang Islam dan yang ada hubungan dengan parti yang menentang Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment