Sunday, February 19, 2017

MCA tidak berhasrat campur tangan isu RUU 355


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan
Ong Ka Chuan

IPOH - MCA tidak pernah berhasrat untuk mencampuri urusan berkaitan agama Islam seperti pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.  

Beliau berkata ini kerana apabila parti itu menyuarakan pandangan mengenai RUU 355, ia bukan bermakna mereka anti Islam atau mahu campur tangan dalam hal ehwal agama Islam di negara ini.  

"Isu ini (RUU 355) sangat sensitif kerana ia melibatkan agama dan sebagai parti politik, kita perlu menyuarakan pandangan bagi pihak masyarakat Cina  supaya tidak ada kekhuatiran dan kebimbangan di kalangan mereka.

"Seterusnya isu itu tidak akan memecah belah semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

"Saya meminta maaf kalau ada sesiapa yang tersinggung perasaan kerana MCA berniat baik, kita mahu sentiasa bersatu padu dan hidup dalam keadaan aman damai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Wanita MCA Perak yang turut dihadiri Ketua Wanitanya Datuk Heng Seai Kie di sini hari ini.

Sebelum ini, pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-63, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata MCA akan membantah RUU itu kerana dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

RUU Persendirian berkenaan telah dibawa oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 24 November tahun lepas bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Dalam perkembangan lain, Ong berkata MCA akan mengadakan mesyuarat agung luarbiasa (EGM) pada 4 Mac depan bagi meminda perlembagaan parti untuk membolehkan Pengerusi Wanita Bahagian dan Cawangan menjadi perwakilan seterusnya dapat memilih kepimpinan tertinggi peringkat pusat dan menghadiri mesyuarat agung tahunan parti itu di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II berkata perlembagaan parti itu perlu dipinda kerana sebelum ini Pengerusi Wanita Bahagian dan Cawangan hanya boleh menghadiri mesyuarat agung tahunan di peringkat wanita sahaja tetapi tidak boleh menghadiri mesyuarat agung tahunan parti itu.

"Jadi dengan meminda perlembagaan ini, Pengerusi Wanita Bahagian dan Cawangan dapat menghadiri kedua-dua mesyuarat peringkat wanita dan mesyuarat agung tahunan.

"Perubahan ini bagi membolehkan ramai perwakilan wanita dalam badan induk MCA dan memberi mereka peluang menyertai dalam pemilihan pucuk pimpinan parti," katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment