Friday, February 10, 2017

Siapa menteri kabinet letak jawatan?


Khairil Ashraf and Tarrence Tan

| February 10, 2017


"Tolong lah Azmin, bagi tahu kami siapa dia. Jangan buat kami 'saspen'," kata Nazri.


PETALING JAYA: Tweet ringkas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyebabkan media tercari-cari siapa menteri kabinet yang meletakkan jawatan, bagi menjawab tanda tanya yang ditimbulkan menteri besar Selangor itu.

Azmin di Twitter petang tadi meminta orang ramai supaya mengikuti perkembangan itu.

“Benarkah ada seorang menteri kanan telah meletakkan jawatan? Khabarnya beliau tidak mahu bersubahat dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya.

FMT cuba mengesahkan khabar angin itu dengan beberapa pemimpin BN.

“Saya tak tahu. Semua orang hubungi saya tetapi sudah tentu ia bukan saya,” kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, menteri pelancongan dan kebudayaan.

“Tolong lah Azmin, bagi tahu kami siapa dia. Jangan buat kami ‘saspen’ (berdebar-debar),” katanya.

Panggilan telefon FMT kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dijawab, manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed belum menjawab pertanyaan kami.

“Tak ada dengar pun,” kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri sumber asli dan alam sekitar. “Setahu saya tidak ada.”

Azmin juga membuatkan peguam terkemuka dan bekas pengerusi Bersih 2.0 tertanya-tanya.

Ketika berucap di himpunan sempena tahun kedua pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata beliau tidak dapat mengesahkan khabar angin itu, tetapi ia “memberi harapan kepada kita” dan menggesa anggota kerajaan supaya “membuat pendirian yang betul”.

Peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada 27 Jun lalu secara tiba-tiba mencetuskan kontroversi sehingga ada yang mengaitkan tindakannya itu kepada skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Tambun itu melepaskan jawatan menteri kewangan II dan kesemua jawatannya dalam Umno.

Husni dilaporkan menafikan peletakan jawatannya mempunyai kaitan dengan 1MDB pada 7 Julai lalu, namun bangkit mempersoalkan beberapa perkara berkaitan syarikat itu pada sidang Dewan Rakyat yang lepas.

No comments:

Post a Comment