KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 hanya untuk individu yang beragama Islam.
Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminudin Yahya berkata, mereka yang bukan beragama Islam tidak perlu takut dengan undang-undang ini.
Dakwanya, hari ini, beberapa orang Melayu liberal dan orang bukan Melayu telah berkumpul di Petaling Jaya dalam himpunan tolak RUU.
"Tapi jumlah mereka lebih kurang 100 orang sahaja, jauh berbeza dengan di sini. Kita nak beritahu mesej kepada mereka dan juga ahli parlimen sama ada Melayu atau bukan untuk menyokong RUU ini.
"Sesiapa ahli parlimen yang menentang usul ini pada Mac ini, kita pastikan PRU14 ini mereka aman diturunkan," katanya dalam ucapan Himpunan RUU di Padang Merbok, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa hari lalu, laporan akhbar mendedahkan bahawa kelahiran anak tidak sah taraf sepanjang 10 tahun lepas dari tahun 2005 hingga 2015 adalah seramai 500,000 orang.
Soalnya, "bagaimana 10 tahun akan datang? Mungkin jumlahnya boleh mencecah 1 juta anak tidak sah taraf. Adakah ini yang kita mahu?
"Jika kita biarkan maksiat berleluasa di negara ini, maka dia akan mengundang bala dari ALLAH. Mereka memperkatakan, golongan liberal kata ini hak asasi manusia, hak individu. Jika jiran buat maksiat, kita mahu biarkan? Ini fahaman Islam bagaimana? Mereka tak baca Al Quran? Hadis? Ini Islam apa?
"Kenapa mereka takut? Ini adalah jelas bahawa undang-undang ini untuk orang Islam sahaja," katanya.
Tambahnya, kita menyeru untuk sama menyokong isu ini kerana perjuangan ini tidak akan berhenti sehingga isu ini diluluskan dalam Parlimen.
Pada 24 November lepas, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.
RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang turut dikenali Akta 355.
No comments:
Post a Comment