Sunday, February 19, 2017

Benarkah Pas bukan lagi parti pembangkang?


19 Februari 2017 | ARIF ATAN

Akhbar pro Umno BN hari ini tidak lagi menganggap Pas parti pembangkang
Akhbar Mingguan Malaysia hari ini menyenaraikan pecahan kerusi pembangkang di Dewan Rakyat dengan hanya meletakkan Pakatan Harapan dan Bersatu bersama wajah ketua parti masing-masing.
DAP mempunyai 37 kerusi, diikuti PKR (28), Amanah (6) dan satu kerusi lagi Bersatu. Tanpa memasukkan 15 kerusi dimiliki Pas, akhbar pro Umno-BN itu melalui ruangan Awang Selamat menganggap DAP lebih dominan termasuk dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat.
Menurut Awang, Mahathir perlu tunduk mengikut rentak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kononnya merupakan pemimpin 'de facto' pembangkang dengan keputusan besar dan penting ditentukan parti berlambangkan roket itu.
Bercakap bagi pihak Pas, akhbar pro Umno-BN itu secara terbuka menyanjung tinggi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lantaran menolak pelawaan untuk bekerjasama dengan PPBM.
"Prinsipnya tetap sama. Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN (Amanah). Awang tabik Hadi kerana konsisten menolak DAP dan tidak gentar dengan segala tekanan," katanya.
Sementara itu, Mingguan Malaysia turut memuatkan laporan penuh mengenai Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 semalam termasuk reaksi peserta dan kronologi syor pindaan akta tersebut pada halaman tengah di muka surat 12 dan 13.
Berlatarkan warna ungu dan hijau, kandungan laporan bagi program bermula petang sehingga malam itu dilihat bernada positif tidak seperti yang lazim berlaku terhadap siri himpunan BERSIH.
Ini termasuklah lebih separuh di halaman 13 dipenuhi foto peserta himpunan antaranya sedang menunaikan solat, melaungkan takbir dan bergambar dengan penyanyi Datuk Jamal Abdillah.
Dilihat seolah-olah sudah mampu menggantikan lidah rasmi Pas, Harakah, artikel pengarang kanan Mingguan Malaysia bertajuk, "Pas: Antara perjuangan dan kerjasama" di ruangan Rencana Muka 6 menjadi bukti Pas pada masa ini bukan lagi parti pembangkang yang dimusuhi Umno-BN.
Penulisnya, Zulkiflee Bakar berpendapat Abdul Hadi membuat kenyataan tegas untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang dianggapnya mengamalkan politik makan keliling.
"... (Bersatu) berbaik dengan DAP dan pada masa sama mahu bekerjasama dengan Pas. Jika Pas terperangkap dengan taktik politik itu, yang rugi adalah Pas," tegasnya.

No comments:

Post a Comment