Sunday, February 12, 2017

Gantung arahan Trump dan iktibar untuk Malaysia






Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN

Hakim Mahkamah Persekutuan Seattle telah mengeluarkan perintah sementara seluruh negara untuk menghalang arahan larangan perjalanan terhadap tujuh negara Islam, yang sebelum ini ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Hakim Persekutuan James Robart menolak dakwaan pendakwa raya pentadbiran Trump bahawa negeri-negeri di AS tidak boleh mencabar perintah eksekutif presiden itu. Sebelum ini lima negeri yang membantah larangan perjalanan itu ialah Washington, Massachusetts, New York, Virginia dan Los Angeles.

Satu perkara yang menarik untuk diamati adalah proses demokrasi yang berlaku di dalam negara mereka. Tidak dinafikan Amerika terkenal sebagai negara yang sangat banyak melanggar prinsip demokrasi di peringkat antarabangsa, kerana menggunakan kuasa veto membatalkan keputusan PBB. Tetapi di peringkat nasional, proses demokrasi yang dipraktikkan sangat matang untuk dicontohi.

Kita boleh melihat doktrin pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman berlaku dengan sanagat efisien. Presiden yang mengetuai kuasa eksekutif boleh dicabar oleh kuasa kehakiman sekiranya melanggar undang-undang sebagaimana isu arahan eksekutif di atas. Begitu juga, Kongres dan Senat Amerika boleh menetapkan sebarang polisi walaupun disanggah oleh Presiden Amerika.

Apa yang kita boleh pelajari dari Amerika adalah sikap rakyatnya yang cukup matang dalam berpolitik. Perintah seorang presiden tidak dianggap sebagai mandatori. Ia sebaliknya boleh dibantah dan dibatalkan mengikut saluranyang sebenarnya tidak bercanggah dengan undang-undang.

Sebaik sahaja menerima arahan eksekutif Trump, kumpulan pengamal undang-undang telah bersuara bahawa ianya tidak mengikut proses perundangan yang betul. Justeru itu mereka telah mengambil tindakan membawanya ke mahkamah. Hasilnya, arahan orang no.1 di negara paling berpengaruh di dunia dibatalkan!

Kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama di Malaysia? Isu GST, 1MDB, kenaikan harga minyak, atau apa sahaja, kenapa rakyat tidak berani mendakwa Perdana Menteri di mahkamah? Soal menang kalah itu nombor dua. Yang penting kita memberi isyarat kepada ketua eksekutif negara hari ini, bahawa dia tidak memiliki kuasa mutlak ke atas Malaysia.

Situasi politik kita di Malaysia tidak banyak berbeza dengan Amerika dan Britain. Di Amerika, Trump menaiki takhta dengan majoriti yang sangat tipis. Kedudukan Dewan Rakyat di Kongres Amerika pula adalah seimbang; Republikan menguasai 51.2% kerusi manakala bakinya adalah pembangkang didominasi oleh parti Demokrat. Di Malaysia BN menguasai 59.46% kerusi Dewan Rakyat.

Begitu juga di Dewan Senat Amerika. Daripada 100 kerusi, Republikan hanya menguasai 52 kerusi, manakala Demokrat 46. Dari segi undi popular, Demokrat mengungguli walaupun tidak menjadi mejaoriti di dua dewan tersebut. Situasi yang sangat hampir dengan Malaysia pasca PRU13 sejak Mei 2013.

Dengan kedudukan ini, Dewan Senat telah beberapa kali menolak cadangan Presiden Donald Trump, contohnya dalam isu perlantikan timbalan presiden dan kabinet menteri Amerika. Walaupun majoriti Dewan Senat dikuasai parti Trump iaitu Republikan, ia tidak mengikat semua ahlinya dalam dewan itu untuk mengikut semua kata Presiden.

Begitulah kematangan demokrasi yang sepatutnya ada di Malaysia. Wakil rakyat BN tidak semestinya perlu berpihak kepada semua kata Perdana Menteri. Kuasa legislatif mesti terpisah dari kuasa eksekutif dan juga kehakiman. Barulah Dewan Rakyat dan Dewan Negara boleh berperanan dengan baik. Keseimbangan kuasa sangat perlu dalam memastikan demokrasi negara telus dan efisien

No comments:

Post a Comment