Sunday, February 12, 2017
Ku Li kumpul pengkritik, penyokong Akta 355 dalam satu forum
Alyaa Alhadjri
Kira-kira 100 orang terdiri daripada pengkritik dan penyokong cadangan pindaan Akta 355 hari ini berkumpul dalam satu forum anjuran Angkatan Amanah Merdeka, sebuah NGO yang diasaskan ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, forum itu, yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya - bertajuk "Sebanyak Mana Anda Tahu Tentang Hudud" - dianjurkan untuk mengumpul pandangan mengenai undang-undang Islam itu.
Forum tiga jam itu menampilkan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, penasihat undang-undang UiTM Prof Shad Saleem Faruqi dan pensyarah sains politik USM, Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Mereka yang hadir termasuk Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali, pengasas G25 Datuk Noor Farida Ariffin, peguam dan aktivis Siti Kasim, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan juga aktivis, Azrul Mohd Khalib.
Tengku Razaleigh juga berkata forum itu, yang diadakan seminggu sebelum perhimpunan PAS untuk mendapatkan sokongan pindaan kepada Akta 355, adalah tepat pada masanya untuk menangani ketakutan dan kebimbangan ditimbulkan berhubung perkara itu.
"Adalah diharapkan forum ini akan dapat memperbaiki pelbagai pandangan mengenai hudud yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak dan individu," kata Tengku Razaleigh dalam ucapan perasmian beliau.
Beberapa soalan yang boleh ditangani, katanya, termasuk pindaan perlembagaan yang dicadangkan; implikasi undang-undang terhadap dua hukuman bagi kesalahan yang sama; serta sama ada relevan dengan sosio-ekonomi semasa.
"Forum ini boleh menjadi platform untuk percambahan minda dalam pelbagai sudut pandang isu ini yang banyak diperdebatkan.
"Pada masa yang sama, forum ini turut menyediakan saluran yang penting untuk pihak berkaitan melibatkan orang ramai dengan cara yang telus, dalam usaha untuk menjelaskan rasional yang mendasari mengenai pindaan yang dicadangkan," katanya.
Terdahulu, forum itu adalah inisiatif non-partisan untuk membincangkan isu hudud, menjelang perhimpunan PAS akan datang dan pembentangan rang undang-undang bagi pindaan Akta 355 di Parlimen yang dijangka pada sesi Mac depan.
Perhimpunan Akta 355 bertujuan untuk menyokong pindaan itu yang pertama kali dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pindaan itu bagi membenarkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat dengan meningkatkan had hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment