February 1, 2017
Harga minyak
Nilai Ringgit terhadap USD naik sedikit di bulan Januari 2017. Harga minyak sedunia pula kelihatan stabil sekitar USD55 setong.
Mengapa harga minyak negara naik sebanyak 20 sen di bulan Februari?
Sebagai kerajaan, ia perlu memahami bahawa setiap keputusan yang dilakukannya akan membawa impak.
Nilai Ringgit yang lemah telah menyebabkan kos harga barangan naik mendadak. Semua yang bekerja mengharapkan kenaikan gaji dan bonus untuk menampung kos tambahan ini.
Para peniaga kecil-kecilan, sederhana mahupun pengusaha sendiri juga mengharapkan penambahan pendapatan untuk menampung kos yang meningkat.
Kini, kos yang meningkat itu bukan sahaja disebabkan nilai Ringgit yang rendah malah disebabkan harga petrol domestik yang tinggi yang bakal meningkatkan kos pengangkutan. Tidak hairan kalau kumpulan peniaga ini terpaksa mengambil keputusan untuk menaikkan harga jualan mereka.
Tapi jika semua pihak inginkan penambahan pendapatan (ini bermakna kos perniagaan pada puratanya akan meningkat), siapa pula yang sanggup turunkan harga hanya kerana harga minyak menurun?
Ramai yang berkata harga barangan perlu menurun sejajar dengan trend kejatuhan harga minyak. Tapi realitinya, ini tidak akan berlaku. Siapa yang sudi pendapatannya dipotong?
Lihatlah pada tambang bas, bas sekolah, pengusaha pengangkutan swasta mahupun pengangkutan awam, penjual makanan dan barangan – ada siapa yang berdiri keluar untuk menyatakan mereka akan menurunkan harga servis dan produk mereka sejajar dengan penurunan harga minyak?
Impak daripada keputusan kerajaan menaikkan harga minyak hari ini sebanyak 20 sen hari ini tidak dapat dikurangkan dengan penurunan harga minyak di bulan-bulan akan datang.
Apabila harga barangan dan servis dah naik, ia agak mustahil untuk diturunkan semula walau apa sebabpun kerana ia berkait rapat dengan gaji dan pendapatan orang-orang tertentu.
Oleh itu, sejak awal-awal lagi, ramai yang menyuruh kerajaan untuk tidak menaikkan harga minyak sewenang-wenangnya kerana ia membuka peluang kepada kenaikan harga barangan dan servis secara keseluruhannya yang tidak dapat dinyahkan apabila harga minyak kembali turun.
Tahun 2017 yang mencabar ini kini menjadi lebih mencabar bagi rakyat kerana kerajaan yang tidak prihatin kepada kesusahan rakyat hari ini.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
1 Februari 2017
No comments:
Post a Comment