Sunday, February 12, 2017

Mega-Skandal RM4.3 Bilion Felda: Siapa Bertanggungjawab?


KENYATAAN MEDIA

Mega-Skandal RM4.3 Bilion Felda: Siapa Bertanggungjawab?

Pengakuan Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda, bahawa RM4.3 bilion duit Felda hasil penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) tidak dapat dikesan boleh dianggap antara skandal terbesar bagi tahun ini. Menurut beliau, RM200 juta daripada wang yang hilang ini telah dibelanjakan tanpa “kelulusan, protokol atau keadaan yang sepatutnya” dan mungkin tidak akan dapat dipulangkan kepada Felda.

Keterbukaan TS Shahrir untuk mengaku kehilangan RM4.3 bilion ini adalah betul, tetapi ianya tidak memadai jika tidak disusuli dengan tindakan tegas. Malah pengakuan TS Shahrir ini meyakinkan lagi rakyat Malaysia bahawa hanya satu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (Royal Commission of Inquiry, atau RCI) yang turut dianggotai Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang mampu mendapatkan penjelasan ke atas skandal kehilangan RM4.3 bilion hak milik Felda ini.

Terutama dalam konteks pengakuan TS Shahrir hari ini, RCI ini perlu mengenalpasti dalang-dalang mega-skandal RM4.3 bilion ini, ke mana perginya RM4.3 bilion ini, dan apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mengembalikan wang yang hilang ini kepada Felda. Sudah menjadi kepastian bahawa dalang-dalang skandal ini perlu dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, saya menggesa TS Shahrir untuk membentangkan laporan hasil siasatan dalaman Felda mengenai mega-skandal RM4.3 bilion ini kepada orang ramai dalam siri mesyuarat umum (‘townhall’) di setiap negeri yang mempunyai rancangan Felda. Ini supaya orang ramai terutama peneroka-peneroka Felda akan dapat mendengar sendiri bagaimana mega-skandal RM4.3 bilion Felda ini telah dibenarkan berlaku, dan siapakah yang sebenarnya 
bertanggungjawab.

Fahmi Fadzil

Pengarah Komunikasi KEADILAN

12 Februari 2017

No comments:

Post a Comment