Tuesday, May 1, 2018

Hadi: PAS tak pernah kafirkan Umno


Anne Muhammad
Diterbitkan 2 Mei 2018, 9:21 pagi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan bahawa parti itu pernah mengkafirkan umat Islam lain tetapi sebaliknya mendakwa ini dilakukan oleh ahli partinya yang melompat menyertai Umno.

Katanya, PAS tidak berhak berbuat demikian kerana itu bukan ajaran Islam yang sebenarnya.

“Kita ajak dan beritahu orang Islam, kita mesti percaya pada Islam. Dia kata kita mengkafirkan orang, bukan kerja kita mengkafirkan orang.

“PAS tidak mengkafirkan si anu dengan si anu, sia anu dengan si anu. (PAS tak kata) Umno kafir orang tu kafir, PAS tak kata begitu.

“Memang ada orang dalam PAS yang cakap begini, orang PAS yang cakap begini masuk Umno belaka tak ada dalam PAS. Yang cakap keras-keras tu pergi ke Umno. Kerana dalam PAS kita ajar batas-batas iman dan kufur,” kata Abdul Hadi dalam ceramahnya di Markas PAS Kuah Langkawi, malam semalam.
Abdul Hadi turut berkata urusan mengesahkan seseorang itu menjadi kafir adalah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah setelah mendengar hujah individu tersebut.

Pada ceramah itu presiden PAS itu juga menjadikan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sasarannya.

“Zaman Tun Mahathir (menjadi perdana menteri), saya diletak nombor satu nak kena ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri ) tapi tak jumpa dalam ucapan saya diletak anu bin si anu kafir.

“Dalam buku tulisan saya tak ada sebut si anu dengan si anu kafir, tak ada.

“Kita tunjuk batas iman dan kufur tak boleh cakap begini. Kalau kita jahil jangan bercakap, Ni tak tahu pun nak bercakap juga,” katanya.

Kontroversi tercetus pada 1981 apabila 'Amanat Haji Hadi' merujuk ucapan pemimpin PAS yang tersebar di kalangan orang Melayu di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu.
Dalam ucapan itu, Hadi mendakwa PAS menentang Umno kerana parti berkenaan mengekalkan undang-undang kafir.

Amanat Haji Hadi itu didakwa sesetengah pihak turut menyebabkan tercetusnya rusuhan di Kampung Memali, Kedah pada 1985 yang mengorbankan 14 nyawa, termasuk anggota polis.

Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir berkata, mufti tidak menegur amanat yang dikeluarkan Abdul Hadi sebaliknya diam seribu bahasa menyebabkan tercetusnya tragedi hitam itu.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, PAS menjarakkan diri daripada Umno kerana terdapat ‘kebocoran’ dari segi pemerintahan parti berteraskan Melayu itu.

Selain itu PAS juga tidak mahu bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana terdapat DAP yang menentang hukum Islam selain bertentangan dengan dasar PAS.
Siapa dalam HARAPAN ini, yang tolak hadis nabi, Quran boleh pakai tak boleh pakai. Yang tolak hadis, islam liberal, halalkan haram, haramkan yang halal.

“DAP yang terang-terang tentang Islam dengan berani tentang Islam dalam perkara berkait orang Islam, DAP tak boleh campur, dalam perlembagaan urusan Islam orang bukan islam tak boleh campur. Hukum orang islam, hak orang Islam.

“DAP campur hal orang Islam kita tak izin, parti yang macam ni tak boleh buat kawan maka PAS bersendiri,” katanya.

Sebagai rekod, PAS pernah bersama DAP semasa berada dalam Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

No comments:

Post a Comment