Thursday, May 17, 2018

Apa ada dalam peti besi di rumah Najib?


Sebuah peti besi yang ditemui anggota polis dari Bukit Aman di tingkat satu rumah Datuk Seri Najib Razak masih gagal dibuka walaupun diusahakan sejak pagi tadi, kata peguam anggota parlimen pembangkang itu.

Kata Datuk Harpal Singh Grewal, anak guamnya tidak memiliki kunci kepada peti besi berkenaan dan ia tidak dibuka-buka sejak 20 tahun lalu.

"Pada kira-kira jam 8.30 pagi, beberapa anggota polis memasuki sebuah bilik di tingkat satu dan memutuskan untuk menggerudi sebuah peti besi yang terkunci selama dua dekat apabila anak kuncinya tersalah letak.

"Penggerudian berlanjutan walaupun sekarang sudah lebih jam 5 petang dan memang tidak ada ketenangan di kediaman beliau (Najib)," katanya dalam satu kenyataan.

Menjelaskan perkembangan siasatan di kediaman bekas perdana menteri itu Harpal Singh memberitahu seramai 50 hingga 60 anggota serta pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman tiba di kediaman Naji kira-kira jam 10 malam tadi.

Mereka kemudian mengawal persekitaran premis itu serta memaklumkan mahu melakukan penggeledahan.

Katanya Najib bersetuju memberi kerjasama penuh dan membenarkan polis menjalankan kerja mereka.

"Anggota polis itu berpecah kepada beberapa kumpulan dan melakukan pemeriksaan di seluruh kediaman anak guam saya dan membuka beberapa kotak mengandungi barangan peribadi yang kemudian dibungkus dan dibawa dari kediaman rasminya.

"Pencarian itu berterusan sehingga kira-kira jam 5 pagi apabila tiga kotak berisi barangan peribadi serta beg tangan serta pakaian dibungkus dalam beberapa kotak sebelum dibawa pergi oleh polis," katanya.

Harpal Singh menjelaskan polis memberitahu mereka akan beredar dari rumah itu selepas siap membungkus kotak terakhir.

Kira-kira jam 5 pagi kata peguam itu masih ada beberapa anggota polis di luar rumah Najib sehingga beberapa jam kemudian.

Selepas itulah katanya mereka menemui peti besi berkenaan.

Menurut Harpal Singh ketika ini Najib keletihan, terganggu dan sedang berehat.

"Bagaimanapun polis tidak menyoal siasat beliau," katanya.

Katanya polis tidak menemui sebarang bahan yang penting dan tiada dokumen diambil.

Harpal Singh juga memberitahu waran penggeledahan yang diperolehi polis adalah berkaitan dengan isu antipengubahan wang haram.

Menurut peguam itu, penggeledahan yang dilakukan di premis terbabit serta pelbagai barang yang dirampas dan penggerudian peti besi lama mungkin menyebabkan gangguan kepada Najib, keluarganya serta penghuni lain di kawasan berkenaan.


Katanya ia juga memberikan imej buruk kepada Najib.

"Lebih penting serbuan dijalankan itu berlaku pada bulan Ramadan dan Najib, keluarga serta kakitangannya dinafikan daripada hak mereka untuk beribadat menjelang berbuka pada hari pertama puasa," katanya.

Menurut Harpal Singh lagi Najib sudah menyatakan kesanggupannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak yang berkenaan namun berlaku gangguan berterusan selama hampir 18 jam ini serta tiada hasil yang bermakna," katanya.

No comments:

Post a Comment