Sekumpulan ketua Umno cawangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping menggesa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Perlis yang melawan titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyembah maaf atau melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat.
Ketua Umno Cawangan Panggas Kecil Md Isa Seman yang mewakili mereka berkata Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim juga wajar melepaskan jawatan kerana seorang wakil rakyat tidak boleh membantah titah raja.
"Mereka ini bukan orang biasa-biasa... Rakyat berasa sangat marah, dah bagi mandat, mereka tinggal rakyat pula, tak usahlah bersama kami lagi.
"Jika enggan mohon maaf kepada tuanku, tindakan lebih tegas akan kami ambil selepas ini, jangan pandang rendah kepada pemimpin masyarakat seperti kami," katanya kepada pemberita semasa mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap Tuanku Syed Sirajuddin di Chuping dekat Padang Besar, hari ini
Khamis lepas sembilan wakil DUN BN tidak hadir pada pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar kerana mendakwa pelantikan Datuk Seri Azlan Man tidak mendapat sokongan majoriti wakil DUN.
Mereka sebaliknya berada bersama Pengerusi BN negeri di Kuala Lumpur dan Shahidan kemudiannya pada sidang akhbar mengumumkan cadangan memecat keanggotaan Azlan dalam parti.
Tindakan kumpulan berkenaan menimbulkan dukacita baginda yang bertitah bahawa keputusan melantik menteri besar adalah bawah kuasa baginda mengikut perlembagaan negeri.
Turut hadir pada perhimpunan pagi ini beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Perlis, Persatuan Silat Pesaka Perlis serta wakil kaum Siam Chuping.
Pengerusi Persona Perlis, Abdul Rahim Ahmad berkata banyak masalah yang patut dibaiki BN terlebih dahulu dan bukannya membantah seumpama itu apatah lagi melibatkan institusi diraja.
"Urusan berkaitan pentadbiran harus dipermudahkan, tubuh kerajaan secepat mungkin di Perlis untuk jadi lebih baik.
"Wakil-wakil rakyat diminta fikir dan kembali kepada titah tuanku agar kemelut ini berakhir," katanya.
-Bernama
No comments:
Post a Comment