Skandal di Kementerian Pertahanan akan disiasat secara teliti
Menteri Pertahanan yang baru, Mohamad Sabu akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang disokong Arab Saudi untuk membanteras golongan radikal dan ekstremis.
“Kita akan bincang dengan perdana menteri dan Kementerian Pertahanan untuk kita ambil tindakan seterusnya pada masa akan datang.
“Saya tidak mahu laksanakan apa-apa yang baru tanpa perbincangan,” katanya dalam sidang media pertama di kementeriannya, hari ini.
KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
KSCIP akan ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan MWL, atau lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami.
Najib pada Julai 2017 dilaporkan berkata, pusat itu bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya, bersamaan 20 padang bola sepak.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu pernah mempersoalkan komitmen Malaysia menjadi tuan rumah kepada KSCIP yang diilhamkan Arab Saudi, pada Julai 2017.
Beliau terkilan Malaysia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk memerangi keganasan dan ekstremisme, sedangkan negara itu di bawah penelitian disebabkan ideologi pelampaunya.
Sementara itu, Mat Sabu berkata, siasatan akan dilakukan ke atas skandal dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak mahu dengar cakap-cakap mulut, kita dengar itu dan ini tanpa kita menyelidik, kalau di atas cakap mulut kita bertindak, maka akan berlaku kerosakan imej di pihak jabatan.
“Kalau ada tindakan, ia akan melalui bukti dan penyelidikan yang rapi, ini termasuk isu kapal selam Scorpene. Kita juga ada audit dalaman.
“Kalau dalaman tidak berupaya, baru pergi ke peringkat luaran dan kalau ada serius, kita akan bawa ke Kabinet. Ertinya, tidak boleh bertindak semberono atas sesuatu yang kita dengar.”
Katanya, beliau akan lebih berhati-hati dengan setiap tindakan dan kenyataannya kerana perlu menjaga hati negara jiran dan bertutur menggunakan fakta.
“Saya selalu hidup bersama rakyat, tetapi sekarang ini perlu ikut peraturan dan protokol, ini adalah sesuatu yang baru. Saya perlu membiasakan diri dengan perubahan ini, tetapi saya tidak akan ubah gaya Mat Sabu.
“Saya Presiden Amanah, tetapi saya juga menteri pertahanan Malaysia. Dua perkara itu perlu lebih saya jaga dan berhati-hati kerana sebarang percakapan akan dikaji kawan dan lawan, sama ada dalam negara atau antara negara lain.”
Beliau yang tinggal di rumah teres di Shah Alam akan mempertimbang untuk berpindah ke kediaman rasmi kerajaan.
“Saya tengah fikir ke arah itu sebab saya datang ke sini juga agak jauh perjalanan. Saya akan tengok, pindah atau tidak saya akan putuskan dalam masa terdekat.” –
No comments:
Post a Comment