Tuesday, May 15, 2018

Harga sawit melonjak selepas BN kalah









Reuters







Harga minyak sawit meningkat hampir 3% kepada RM2,452 satu tan hari ini, paras tertinggi sejak 10 April lalu.





(Gambar Reuters)







KUALA LUMPUR: Penanda aras dagangan hadapan minyak sawit mentah Malaysia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan pada pembukaan dagangan hari ini, sesi pertama sejak kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum Rabu lalu, selepas 6 dekad memerintah negara.




Ahli politik veteran, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Pakatan Harapan mengalahkan parti pemerintah yang pernah dipimpinnya dan menewaskan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dituduh terlibat dalam skandal rasuah.




Harga minyak sawit menokok hampir 3% pagi tadi kepada RM2,452 (AS$615.46) satu tan, mencecah paras tertinggi sejak 10 April lalu. Ia ditutup pada harga RM2,435 satu tan.






Peniaga berkata, harga itu disokong kejatuhan nilai ringgit, mata wang yang digunakan dalam dagangan itu, yang susut 1% ke paras terendah dalam 4 bulan, hari ini.




Ringgit yang lemah memberi sokongan kepada harga minyak sawit kerana ia menjadikan minyak itu lebih murah bagi pemegang mata wang asing.




“Pasaran dibuka lebih tinggi disebabkan kelemahan nilai ringgit,” kata peniaga yang berpangkalan di Kuala Lumpur, tetapi beliau menjangkakan kenaikan itu tidak kekal lama dan ia akan mengukuh kemudiannya. Beliau enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.




“Harga minyak sawit juga lebih rendah daripada anggaran akhir simpanan yang diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).”




Simpanan minyak di Malaysia, pengeluar minyak sawit ke-2 terbesar di dunia, jatuh ke paras terendah 2.17 juta tan dalam tempoh 7 bulan pada akhir April lalu, lebih rendah daripada jangkaan pasaran, kata pengawal selia industri MPOB pada Khamis.




Bursa Malaysia ditutup pada hari pengundian Rabu lalu, manakala Khamis dan Jumaat pula diumumkan cuti umum khas.

No comments:

Post a Comment