Tuesday, May 15, 2018

5 Kelemahan Yang Harus Dibaiki PAS Untuk Terus Maju Jaya


PRU lepas telah menyaksikan tsunami rakyat yang menjatuhkan kerajaan bobrok Barisan Nasional setelah lebih 60 tahun berkuasa. Pecahan-pecahan pembangkang secara keseluruhan telah memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab dalam membolehkan cita-cita ini tercapai.

PAS, sebagai sebuah parti yang membawa teras dan dasar Islam sebagai penyelesaian, menyertai perlumbaan dan memenangi dua buah negeri selain menjadi ‘king-maker’ di dua buah negeri lain.

Walaubagaimanapun, di peringkat persekutuan, PAS sedikit ketinggalan kerana dilihat oleh rakyat sebagai belum mempunyai kekuatan yang cukup untuk berdiri sendirian menentang gergasi UMNO-BN.

Perlu diingat, matlamat majoriti rakyat segenap lapisan dalam PRU kali ini adalah untuk menjatuhkan kerajaan lama yang telah membarah, menyebabkan mereka memilih ketumbukan yang dilihat lebih menyeluruh dan ‘inklusif’ bagi mencapai tujuan tersebut.

Daripada segi gagasan idea, jentera tenaga kerja dan wawasan masa hadapan, apa yang dibawa PAS mempunyai tarikan tersendiri dan dengan kerja kuat serta kepimpinan melalui teladan, bakal membawa parti tersebut mengorak langkah lebih jauh di masa hadapan.

Tetapi ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, secara ringkas saya kongsikan seperti berikut :

1. Memperkasakan Jentera Media Sosial

PAS mempunyai tenaga kerja yang terbaik dan terbesar di medan nyata. Tetapi PAS lambat dalam menyedari hakikat bahawa peranan media sosial telah mengatasi sistem lama culaan, penerangan dan meraih undi rumah ke rumah. Dalam perang media sosial PRU lepas, jelas bahawa PAS yang jauh ketinggalan adalah parti yang paling kuat dihentam dan dibuli, tanpa mempunyai saluran yang dominan untuk menjawab tuduhan dan fitnah.

Sebagai perbandingan, bayangkan Dr. Mahathir bin Mohamad mempunyai 3.1 juta pengikut selain laman-laman rasmi pro TDM, Najib Razakmempunyai 3.4 juta pengikut dan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempunyai 367 ribu pengikut sahaja!

Selain laman rasmi pemimpin tertinggi parti, BN seperti biasa menggunakan seluruh jentera dan media rasmi seperti RTM dan TV3, yang sampai ke seluruh pelosok dan ceruk kampung, Pakatan Harapan mempunyai berbagai portal berita yang pro kepada mereka seperti Malaysiakini, Free Malaysia Today dan the Malay Mail sedangkan PAS bergantung kepada Harakahdaily yang belum dianggap ‘mainstream’.

Selain itu analisa dan dapatan kajian, serta hebahan manifesto diharapkan kepada individu dan penganalisis politik tanpa fokus terancang, di kala parti lawan menonjolkan dapatan kajian mereka melalui institusi seperti INVOKE, Merdeka Centre dan IDE.

Pada pandangan peribadi saya, antara laman terbaik yang memainkan peranan mempromosi PAS kepada rakyat ialah laman Jabatan Profesional Muda DPPM - JPro, tetapi malangnya laman ini hanya mempunyai 30 ribu pengikut sahaja!

Bayangkan sekiranya tokoh muda seperti Saudara Syahir Sulaiman yang menunjukkan prestasi sangat baik khususnya di dalam wawancara Sinar Harian mengatasi dua panelis lain yang jauh lebih senior, ditonjolkan sebagai pemikir dan perancang persis Rafizi Ramli. 

PAS perlu mewujudkan kumpulan cyber-troopers yang lebih efisien dengan jumlah anggota yang besar dan terancang, melandaskan perkongsian dengan dasar Budaya Politik Matang dan Sejahtera dan melatih mereka menulis untuk menonjolkan kekuatan yang ada pada PAS.

Kadangkala, kita merendah diri sehingga lupa, rakyat perlu mengenali kita.

2. Memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)

Masalah paling besar PAS dalam PRU lepas adalah ia dilihat terlalu ‘inklusif’, atau lebih tepat tidak merangkumi kelompok bukan Melayu dan bukan beragama Islam.

DHPP wujud tetapi PAS perlu ikhlas bermuhasabah sejauh mana telah memberikan kefahaman dan mendekati kelompok bukan Islam.

Fitrah manusia menerima kebaikan dan menolak kerosakan. Masyarakat Islam dan bukan Islam akan menolak kepimpinan yang mengamalkan kronisme, nepotisme dan rasuah. Mereka juga secara naluri menolak peningkatan kadar jenayah dan kebejatan sosial.

Justeru tatkala mereka mencari penyelesaian dan alternatif, adakah PAS dilihat mengisi kelompangan yang ada?

Pergiatkan kempen mendekati mereka, perbanyakkan program-program pemahaman dan penulisan, ambillah manfaat daripada rakan-rakan DHPP yang telah sedia memahami nilai Islam yang membawa kesejahteraan.

Kalau setiap minggu para ustaz PAS memberi ceramah di 7 buah masjid berbeza, jadikan satu daripadanya di dewan terbuka untuk berkongsi cerita dengan rakan-rakan berlainan agama.

3. Melonjakkan Identiti Tokoh Setiap Negeri

Banyak pihak meletakkan kemenangan PH di atas bahu Tun Dr Mahathir Muhammad. Begitu juga kemenangan PAS di Terengganu disandarkan kepada kasihnya rakyat Terengganu kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi, dan Kelantan kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Rakyat di dalam negara sedang membangun sangat mudah meng’idola’kan tokoh yang mereka sukai. Lihat sahaja bagaimana seluruh rakyat bergembira ketika Siti Nurhaliza melahirkan anak pertama seolah si Pipi Merah adalah anak mereka semua, dan bagaimana mereka menangis tatkala ada artis yang porak-peranda rumahtangga.

PAS sebenarnya mempunyai barisan tokoh yang hebat dan disegani penduduk setempat. Tokoh-tokoh ini mempunyai imej bersih, memainkan peranan menyebarkan agama dan sangat dekat dengan masyarakat.

Jika penduduk Terengganu boleh bangkit kerana cintakan TGHH, sepatutnya rakyat Perlis bangkit kerana Mursyidul Am Tuan Guru Hashim Jasin adalah daripada negeri kecil mereka. Rakyat Melaka ada Tuan Guru Zulkifli Ismail, dan rakyat Kelantan ada Dato’ Bentara Ahmad Yaakob.

Setiap figur ini, dan tokoh di negeri-negeri lain wajib mempunyai laman media sosial dan pasukan media yang mengetengahkan mereka kepada masyarakat. Jangan mengharapkan satu sumber secara pukal dapat meliputi seluruh tokoh yang ada.

Setiap negeri juga, perlu menyedari bahawa kemenangan di Terengganu dan Kelantan disandarkan kepada persatuan anak negeri yang komited mengembali dan mempertahankan tempat mereka. Assobiyyah la sikit, tak jeles ke tengok negeri orang dah menang?

4. Mendekati Golongan Muda Yang Berpolitik Lima Tahun Sekali

PRU kali ini tidak ada yang senyap. Saya kagum dengan rakan-rakan sebaya yang giat berpolitik dan berkempen dengan cara masing-masing khususnya di media sosial, dan majoriti mereka kelompok atas pagar yang sebelumnya penglibatan mereka dengan politik hanyalah setakat mengkritik cincin Rosmah.

Kelompok ini perlu didekati bermula sekarang. Kalau dalam PRU-14 disebut bahawa 40% pengundi adalah pengundi atas pagar, pada PRU-15 komposisi ini perlu dikecilkan. Selami keperluan dan kepayahan peniaga online contohnya, variasikan program agar sampai kepada generasi muda yang lebih luas dan mainkan peranan yang lebih menyerlah dalam menyelesaikan masalah mereka.

Perlunya rakyat bergantung kepada PPIM misalnya untuk menyelesaikan masalah mereka membuktikan rakyat masih mencari ‘hero’ yang boleh mereka dekati dan harapkan.

5. Memasarkan Kejayaan PAS Dengan lebih Berkesan

PAS ibarat kek coklat yang sedap tetapi berada di dalam ‘display’ kaca yang berkunci.

Kejayaan dan kemampuan PAS memimpin sangat membanggakan, tetapi setiap kali pilihanraya PAS perlu berpeluh ketiak mempertahankan apa yang telah dicapai di bumi Kelantan dan menolak fitnah bahawa Kelantan mundur.

Setiap kali datang pilihanraya PAS perlu menonjolkan bahawa pimpinan mereka sifar rasuah dan tidak lompat katak.

Saya yakin juga kalau bukan kerana pilihanraya, rakyat terbanyak tidak akan tahu pun bahawa PAS memenangi permohonan interlokutori menentang Sarawak Report dengan jumlah sama RM155,000.

Malah, bila datang musim pilihanraya barulah rakyat tahu bahawa PAS mempunyai tenaga mahir dan cendekiawan berwibawa mengatasi parti-parti yang lain!

Inilah yang saya sebutkan awal tadi, kadangkala merendah diri memakan diri.

Perkemaskan semula jentera penerangan agar rakyat mengetahui prestasi PAS, dan letakkan ‘benchmark’ tertentu yang perlu dicapai.

Laman facebook Kelantan TV misalnya, yang sepatutnya mempromosikan Kelantan kepada seluruh Malaysia bukan kepada penduduk Kelantan sahaja perlukan sekurangnya 3 juta pengikut bukan sekadar 300 ribu.

Lidah rasmi PAS laman Harakahdaily tidak cukup dengan 1 juta pengikut.

TranungKite Online Online yang akan berkongsi berita kerajaan teknokrat Terengganu perlukan sekurangnya 1 juta pengikut dalam tahun pertama, daripada jumlah 52 ribu pengikut sekarang.

Promosi berita memerlukan kos, bukan mengharap berita viral sahaja. Letakkan bajet untuk laman-laman utama ini, kerana di hujung jari, apa yang boleh dicapai di 100 ceramah dan kempen penerangan, dengan perancangan kemas boleh dicapai di media sosial dalam masa sehari.

Kelantan dan Terengganu perlu dipertahankan, negeri-negeri lain perlu ditawan, dan hamba yang faqir ini, jauh dari bumi Gaza, bersedia berkorban dan memberi khidmat sekiranya diperlukan.

Tahniah sekali lagi, rakyat Malaysia!

Nadir Al-Nuri,
11 Mei 2018
Gaza

No comments:

Post a Comment