Thursday, May 17, 2018

Nik Omar sebak cerita 'disingkir' dari Masjid Tok Guru

Belum genap 10 hari selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) slot kuliah subuh Nik Omar Nik Abdul Aziz di Masjid Pulau Melaka - yang lebih dikenali sebagai Masjid Tok Guru - sudah digantikan.

Pagi tadi anak kedua bekas menteri besar Kelantan itu tidak lagi dibenarkan menyampaikan kuliah seperti selalu.

Sebaliknya tugas itu diberikan kepada anak kelima pemimpin yang disegani ramai itu, Nik Abduh.

Menceritakan insiden itu di Kota Bharu pagi tadi Nik Omar berkata sejak bapanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pengisian program di masjid berkenaan dibahagi-bahagikan sesama anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Nik Omar sendiri diberikan tugas memberikan kuliah Maghrib pada malam Khamis dan Rabu, serta kuliah subuh pada Jumaat.

Dengan nada suara yang dapat dikesan sedikit sebak, Nik Omar berkata semasa sembahyang Subuh tadi adiknya tiba-tiba menjadi imam dan mengambil tempatnya menyampaikan kuliah.

"Lepas tu dia bersalam, cuma ambo kata, tak apa ke bersalam ni? Tak najis ke ambo ni?" katanya disambut ketawa orang ramai yang mendengar kuliahnya di Wisma Tok Guru di Kota Bharu.

Kuliah itu disiarkan secara langsung melalui Facebook Husam Musa.

Sebelum itu Nik Omar meminta maaf kerana tidak dapat menyampaikan kuliahnya seperti biasa di bangunan berkenaan seperti selalu ekoran insiden di Masjid Pulau Melaka berkenaan.

"Ambo ni pagi mintak maaf banyak-banyak sebab tak boleh nak fokus, tak boleh nak bagi kuliah," katanya.

Nik Omar berkata Nik Abduh memberitahunya bahawa dia tidak lagi dibenarkan menjadi imam atau memberi kuliah di masjid berkenaan seperti sebelum ini.

"Dia (Nik Abduh) kata, ia keputusan keluarga," katanya.

Baca Nik Omar: Kelantan cuma 'jambatan' rakyat ke Putrajaya

Menurut Nik Omar apa yang terjadi kepadanya adalah harga yang terpaksa dibayar kerana menyertai Pakatan Harapan.

Namun katanya dia tidak akan berundur selepas membuat keputusan berkenaan.

Dalam PRU ke-14 pada 9 Mei lalu Nik Omar diletakkan mewakili HARAPAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka - kawasan yang diwakili Nik Abdul Aziz sebelum ini.

Tidak seperti jangkaan ramai, HARAPAN gagal memberi kesan di Kelantan. Malah Nik Omar kalah di kerusi berkenaan.
-malaysiakini

No comments:

Post a Comment