ARIF ATAN
Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang menyifatkan mesej Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada AMANAH yang menggunakan perlambangan “sebesar zarah semangat Islam” sebagai tidak berasas.
Menurutnya, Abdul Hadi tidak wajar berkata demikian memandangkan perkara-perkara asas berkaitan kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan telah diberi penegasan akan dipertahan bahkan akan diperkasa.
“Pada saya, tidak wajarlah (Abdul Hadi) sebagai seorang yang pernah menjadi ketua saya dan saya sudah 40 tahun bersama Pas.
“Kalau ‘sebesar zarah keimanan mereka itu,’ seolah-olah terlalu begitu prejudis,” katanya dalam slot 100 Hari Malaysia Baharu di Astro Awani malam tadi.
Terdahulu, Ustaz Ahmad diminta perantara forum, Nazri Kahar untuk mengulas mesej Abdul Hadi kepada AMANAH dalam program sama di sebelah petangnya.
Abdul Hadi sebagai panel tunggal dalam slot selama sejam itu berkata, ‘suara Islam’ mesti tanpa segan dibawa dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
“Mesej saya sekiranya masih ada sebesar zarah semangat Islam di dalam diri mereka (AMANAH), mereka mesti mempertahankan kedudukan Islam dengan tidak rasa malu dan segan dalam Pakatan Harapan.
“(AMANAH) mesti membawa suara Islam dalam kerajaan. Ini mesej kita. Mereka dulu bersama Pas kerana Islam maka jika keluar pun kerana Islam juga dan mesej ini mesti dibawa dalam kerajaan.
“Ini tanggungjawab yang amat besar,” tegas Abdul Hadi lagi yang turut menganggap parti komponen PH mempunyai ideologi dan pendekatan yang berbeza walaupun mendapat kemenangan dengan harapan yang satu iaitu menjatuhkan BN.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad berkata, Pas sebenarnya balik ke 30 tahun ke belakang bukan anjakan paradigma seperti yang dianggap apabila berfikir seolah-olah Malaysia ini hanya dihuni masyarakat Melayu Islam.
Menurutnya, kecenderungan untuk menakut-nakutkan atas nama kaum dan agama masih terus berbangkit walaupun hakikatnya majoriti pimpinan tertinggi parti komponen PH adalah beragama Islam.
“Tentang isu kaum dan agama, ini adalah lanjutan daripada apa yang ditegaskan oleh Umno-BN dan juga dikukuhkan Pas terutama semasa kempen PRU-14.
“Dulu ditakutkan kalau PH memegang tampuk pemerintahan Putrajaya, DAP akan dominan, dan ditakut-takutkan sampai hari ini pun masih dibangkitkan sekarang dalam PH, jumlah Ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai,” ujarnya.
Jelasnya, pendekatan PH dalam memerintah tidak sama dengan BN walaupun memang Umno sebagai parti teras memandangkan dalam PH terdapat Majlis Presiden yang dianggotai keempat-empat parti komponen iaitu AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP.
Sehubungan itu, Ustaz Ahmad berpendapat kuasa agama Islam perlu dikembalikan kepada Majlis Raja-raja Melayu yang telah dicabuli oleh kerajaan BN terdahulu.
“Kita (PH) tidak ikut cara kerajaan dulu (BN). Pentadbiran Islam di peringkat Kerajaan Pusat mesti dengan perkenan Majlis Raja-raja, mengangkat kuasa Majlis kebangsaan Islam.
“Pelbagai himpunan atas nama Islam ketika kerajaan BN dahulu tak nampak imej raja-raja. Kenapa program berkaitan Islam, raja-raja tiada? Padahal, merekalah ketua agama Islam.
“Apa yang dimaksudkan mereformasi institusi itu adalah mengambil jalan terbaik, dalam pada masa sama mengekalkan kuasa kepada Majlis Raja-raja,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment