Muhasabah untuk Pakatan
Muhasabah untuk Pakatan daripada Dr. Dzul
Oleh ABD SHUKUR HARUN
SANGAT menarik ucapan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kelana Jaya, Selangor Ahad lalu, yang saya kira membuka minda kita dalam banyak perkara.
Ucapannya itu bersifat muhasabah, memeriksa kekuatan dan kelemahan bukan saja PAS, tetapi juga semua komponan dalam Pakatan Rakyat. Dengan pandangan yang terus terang ini, pada pendapat saya Dr. Dzul telah menyerlahkan kejujuran dan keterbukaannya untuk menjadi renungan dalam usaha memperbaiki kedudukan PAS dan rakannya dalam Pakatan Rakyat.
Dalam ucapannya itu beliau berkata, seteru PAS dan Pakatan sangat tahu bahawa hanya isu Hudud mampu 'memporak-perandakan' Pakatan.
PAS jauh lebih superior dan unggul dalam penggarapan semua isu pertentangan agama seumpama ‘Isu Kalimah Allah’ dan ‘Penghayatan Tasaamuh Beragama’ dalam isu kitab Injil, serangan Rumah Ibadat dan lain-lain, sebab PAS tahu benar-benar tuntutan ‘Wasatiyyah, sementara Najib Tun Razak dan UBN hanya pandai mewiridkan kalimat itu macam semua Mufti, Perkasa, Jati dan ISMA yakni NGO yang pro-UBN.
Kata Dr. Dzul, mereka memang menampilkan Islam yang ganas dan agresif dengan penganut agama yang lain dan sangat berlawan dengan sifat Islam yang Rahmah dan Adil kepada semua.
“Maka PAS wajar tahu bahawa parti Islam ini tidak perlu membuktikan bahawa PASlah yang telah secara konsisten dan komited sejak berzaman memperjuangkan Islam. Mutakhir ini lebih mantap dan 'releven' dalam pengolahan polisi dan dasar-dasar sesuai dengan tuntutan Perlembagaan PAS dalam Fasal 5 (i) dan (ii) yang menekankan persoalan nilai dan hukum-hakam bagi membina sebuah masyarakat dan pemerintahan dalam negara ini untuk mendapatkan keredhaan Allah.
“Nilai-nilai itu adalah seluruh ahklak dan moral yang dianjurkan Islam dari segi penghayatan individu dan masyarakat. Hukum-hukum itu pula adalah yang menyangkut mengenai hal urusan Fiqh Ibadat, Munakahat (Nikah-Kahwin), Mu'amalat (Urusan Komersial-Perniagaan-Harta) dan Ahwal-Syakshiah (Undang-undang Keluarga). Terkini yang dibacarakan PAS adalah untuk melaksanakan satu lagi juzuk Syariat Allah yang telah PAS Undang-undangkan (Taqninkan atau Enakmenkan) menjadi Undang-Undang Jenayah Syar'iyyah II (Kelantan -1993),” katanya.
Bagi beliau, PAS sangat memahami bahawa dalam berusaha untuk melaksanakan tuntutan agama ini yang menjadi sebahagian dari tuntutan Syariat Allah, PAS berdepan dengan masalah bukan saja dengan seteru dan lawannya Umno-BN, tetapi juga dengan kawan-kawannya dalam Pakatan Rakyat.
Dakwaan bahawa Hudud tidak 'constitutional', kata Dr. Dzul, sudah cukup menyiksakan umat Islam, tidak termasuk pula segala kelemahan negara umat Islam yang melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam ini.
Katanya, betul kalau dilihat dari segi aspek korupsi atau ketirisan dan integriti, namun dari segi statistik, keberkesanan dari segi pencegahan jenayah seperti curi dan rompakan contohnya wajar membawa wacana dan diskusi untuk memaparkan keberkesanan atau efikasi undang-undang Jenayah Islam.
Dr. Dzul menyebutkan, bagi perbandingkan rompakan contohnya yakni sumber statistik adalah dari Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation). Bagi setiap 100,000 penduduk, perhatikan kekerapan rompakan berlaku di negara yang dianggap 'failed states' seperti Pakistan atau Arab Saudi berbanding negara maju.
Di Arab Saudi 2.9 kes setiap 100,000, Pakistan 1.0 kes pada setiap 100,000. Bandingkan USA 146.4 kes setiap 100,000, Sweden 94.2kes setiap 100,000 dan Denmark 48.8 setiap 100,000.
Namun PAS, kata beliau, perlu tahu banyak lagi aspek-aspek yang perlu diyakinkan kepada semua pihak termasuk aspek 'prosedural laws' atau 'undang-undang tata cara' serta betapa perlaksanaaan jenayah membantu memurnikan dan membersihkan rakyat dan tidak memangsakan golongan miskin dan melepaskan yang kaya dan penguasa.
“Meskipun isu ini menjadi cabaran paling besar buat PAS dalam mempastikan keutuhan dan survival Pakatan sebagai wadah koalisi atau Muafakat Politik, saya masih optimis bahawa kebijkasanaan pimpinan tertinggi parti akan mampu mengatasi dan mengemudi laluan getir ini. Semua pihak perlu sedar bahawa Pakatan Rakyat adalah satu-satunya wadah yang berupaya menumbangkan dan menamatkan kezaliman dan kegelojohan pentadbiran buruk UBN.
“Pada waktu yang sama seandainya PAS berjaya mengurus isu ini dengan baik dan bijak, maka PAS akan keluar daripada kemelut ini dengan satu pengalaman atau Tajribah Perjuangan ‘Political Islam’ yang sangat unik dan segar serta pastinya ia berkait rapat dengan tokoh kepemimpinan tertinggi PAS, kedua-dua Mursiyidul Amnya dan Presidennya yang menguasai realiti masyarakat majmuk dan politik pluralisme di negara ini yang sarat dengan tuntutan yang kerapnya bertentangan atau mutually exclusive,” kata Dr Dzul.
Cabaran ini, menurutnya, pastinya tidak mudah iaitu PAS dan Pakatan mesti berani menggarap isu ini dengan penyelesaian yang lebih berjangka panjang dan bukan dengan cara 'melepaskankan' tengkuk masing-masing atau menjaga 'tapak sokongan masing-masing'. Walau apa punyelesaiannya, kata beliau, Pakatan dan PAS mesti mendepaninya secara bersama.
Beliau menyatakan rasa sukar untuknya mmemperincikan hal ini di sini, meskipun sangat diharapkan bahawa Pakatan akan mampu mengatasinya dan terus membuat penerangan yang lebih bersepadu dan konsisten.
“Kalau PAS dan Pakatan benar-benar punya kewibawaan kepemimpinan dan polisi yang lebih konsisiten dan berkesan, serta berani membuat penerangan ke seluruh negara bersama-sama dan bergandingan, maka layaklah pusingan akan datang adalah giliran Pakatan Rakyat untuk mentadbir pusat pentadbiran negara di Putrajaya.
Sebaliknya kalau dua kali kali lima saja dengan UBN dari segi hendak menjaga kerusi dan kepentingan kepartian sempit masing-masing, kata Dr. Dzul, maka sekali lagi penentu kemenangan akan bergantung kepada ‘Politik BRIM dan Politik Kuasa Melayu’ kerana kononya PAS dan Melayu PKR tidak mampu mempertahankan kepentingan orang Melayu kerana Hudud pun PAS tidak boleh perjuangkan.
Akhirnya beliau mengingatkan bahawa, adalah kesilapan berterusan PAS, DAP dan PKR andainya doktrin ini terus dibiarkan kukuh, iaitu biar Umno terus memerintah walaupun mereka rasuah, membazir dan membolot kekayaan negara, sebab yang pentingnya, konon, kuasa politik masih di tangan orang Melayu. -
No comments:
Post a Comment