Putrajaya beri konsesi bina UiTM Pasir Gudang kepada Adun Umno, kata PKR
KONSESI UITM PASIR GUDANG KEPADA ADUN UMNO DUN BERTAM & RAKAN KONGSI
Jawapan
Perdana Menteri kepada soalan Parlimen saya bertarikh 10 April 2014
mengesahkan bahawa satu perjanjian konsesi telah ditandatangani di
antara Kerajaan Malaysia dan Cosmic Dimension Sdn Bhd bagi pembinaan
UiTM Kampus Cawangan Pasir Gudang yang akan dibina oleh Cosmic Dimension
Sdn Bhd dan disewakan kembali kepada UiTM.
Dalam
jawapan yang sama, Perdana Menteri mengakui bahawa kos kampus adalah di
antara RM280 juta ke RM315 juta tetapi UiTM terikat dengan satu
perjanjian konsesi selama 23 tahun dengan bayaran sewa tahunan di antara
RM56 juta hingga RM69 juta.
Semakan
menunjukkan bahawa Cosmic Dimension Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang
mana salah seorang pemilik saham utamanya adalah YB Shariful Azhar
Othman, ADUN Bertam (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dari Umno.
Beliau
memegang sebanyak 1 juta saham Cosmic Dimension Sdn Bhd iaitu 20% saham
pemegang konsesi tersebut. Bersama-sama seorang lagi pengarah dan
pemegang saham utama iaitu Mohamed Rafik Mohd Idris (pemegang 45%
saham), YB Shariful Azhar Othman mengawal secara majoriti Cosmic
Dimension Sdn Bhd.
Kedua-dua
YB Shariful Azhar Othman dan Mohamed Rafik Mohd Idris mempunyai
hubungan rapat melalui satu yayasan iaitu Yayasan Abadi yang ditubuhkan
secara bersama oleh mereka. YB Shariful Azhar Othman adalah Pengerusi
Lembaga Pemegang Amanah sementara Mohamed Rafik Mohd Idris adalah
pengarah urusan Yayasan Abadi.
Semakan
terkini pada 14 April 2014 dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
menunjukkan bahawa penyata kewangan terakhir yang difailkan oleh Cosmic
Dimension Sdn Bhd dengan SSM adalah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun
2008.
Penyata kewangan itu menunjukkan kedudukan aset sebanyak hampir RM6 juta dan perolehan tahunan sebanyak RM150,000 sahaja.
Sebab
itu, bukan sahaja saya mempersoalkan kaedah penswastaan kampus cawangan
UiTM yang digunapakai oleh Barisan Nasional, malah saya berpendapat
latar belakang syarikat pemegang konsesi tidak menunjukkan kedudukan
kewangan yang kukuh dan pengalaman yang panjang dalam sektor pembinaan.
Apabila
dibandingkan dengan konsesi kampus-kampus cawangan lain yang
menunjukkan setiap konsesi berkait dengan seorang yang rapat dengan
Umno, saya menggesa Perdana Menteri menjawab sama ada perjanjian konsesi
ini diberi kepada Cosmic Dimension Sdn Bhd kerana syarikat itu berkait
rapat dengan seorang ADUN Umno?
Perjanjian
konsesi 23 tahun yang membebankan UiTM ini sudah tentu akan membawa
kesan kepada yuran dan perbelanjaan-perbelanjaan lain satu hari nanti
seperti mana perjanjian tol dan IPP telah mengekang kemampuan kewangan
Kerajaan Persekutuan.
RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
No comments:
Post a Comment