Sasaran Malaysia layak ke Piala Dunia 2014 dikritik di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR: Sebahagian Anggota
Parlimen hari ini mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang
gagal menunaikan janjinya apabila sasaran pasukan negara untuk layak ke
Piala Dunia 2014 tidak menjadi kenyataan.
Perkara itu dibangkitkan Datuk Wan
Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang mempersoalkan kemampuan
pasukan bola sepak negara yang masih gagal mencapai sasaran berkenaan
ketika pertandingan berprestij itu sedang berlangsung di Brazil.
Menjawab pertanyaan itu, Menteri Belia
dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau tidak mempunyai jawapan
tentang perkara itu kerana sasaran terbabit diletakkan oleh FAM yang
sepatutnya bertanggungjawab menjadikannya sebagai kenyataan.
Bagaimanapun, Khairy berkata, beliau
yakin pasukan negara akan berupaya beraksi di Piala Dunia suatu masa
nanti melalui program pembangunan bola sepak yang dilaksanakan
kementeriannya, namun tidak mahu meletakkan sasaran khusus seperti FAM.
"Saya bukan Presiden FAM dan tidak boleh
menjawab perkara ini, cuma kita berharap melalui pelan pembangunan bola
sepak yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kita akan
layak ke Piala Dunia, namun tidak mahu meletakkan sasaran bila? Nanti
saya kena jawab pula nanti, macam hari ini," katanya dalam persidangan
Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Khairy berkata:"Melalui pelan pembagunan
ini kita kena bermula semula dari awal. Kita sudah bincangkan sebelum
ini saiz bukanlah halangan, contohnya pasukan kegemaran saya Argentina
pagi tadi masih mampu mencipta kemenangan walaupun saiz pemainnya tidak
begitu besar."
Katanya, masalah yang dihadapi negara
sehingga masih belum berupaya melayakkan diri ke Piala Dunia adalah
disebabkan tidak memberi tumpuan kepada aspek pembangunan bola sepak.
Malah beliau yang pernah menjadi
Timbalan Presiden FAM menyedari bahawa peruntukan untuk tujuan
pembangunan bola sepak cukup kecil, begitu juga persatuan negeri lebih
memberi tumpuan kepada soal pembayaran gaji pemain senior.
Sementara itu menjawab mengenai
pembangunan infrastrukrur sukan bagi tujuan Sukan Malaysia (Sukma) yang
berlangsung di Perlis baru-baru ini, beliau berkata ia tidak akan
dijadikan gajah putih sebaliknya akan digunakan bagi pembangunan sukan
khususnya melatih bakat baharu.
Katanya, sehingga kini hanya Kelantan
saja yang belum menganjurkan Sukma kerana negeri itu tidak pernah
mengemukakan permohonan penganjuran sukan terbabit yang boleh dijadikan
sebagai batu loncatan pembinaan infrastruktur sukan peringkat negeri.
No comments:
Post a Comment