Roketkini.com
KUALA LUMPUR, 28 JUN: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru semua parti dalam Pakatan Rakyat agar sentiasa mengutamakan dasar bersama Pakatan Rakyat, jika benar-benar ingin mendapatkan sokongan rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang.
"Rakyat Malaysia ingin terus menyokong Pakatan dan ingin melihat kita menggantikan BN sebagai kerajaan. Namun ia bersyarat – Pakatan perlu menunaikan kepercayaan rakyat untuk mengutamakan dasar bersama (seperti yang dijanjikan).
"Ini akan menjadi ujian besar untuk pimpinan Pakatan dalam DAP, PAS dan PKR, sama ada mereka berjaya mengatasi krisis serta menunaikan janji (untuk memperjuangkan dasar yang dipersetujui bersama) itu kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau membangkitkan kejayaan Pakatan mendapat 52 peratus undi popular pada Pilihanraya Umum yang lalu – pertama kali dalam sejarah – berkat kerjasama utuh, terutama dalam memperjuangkan isu yang dipersetujui bersama.
Awal tahun ini, isu pelaksanaan hudud sekali lagi menimbulkan pergeseran dalam Pakatan, terutama antara PAS dan DAP.
Walaupun isu itu kini tidak lagi panas berbanding beberapa bulan sebelumnya, tiada siapa yang dapat menolak ia sekali lagi diperalatkan Umno BN untuk memecahbelahkan Pakatan, terutama menuju PRU ke-14 beberapa tahun dari sekarang.
Mengulas lanjut, beliau membangkitkan kebimbangan yang semakin bertambah di kalangan rakyat, sama ada Pakatan akan mengikuti jejak yang dilalui Barisan Alternatif (BA) yang hanya mampu bertahan untuk satu PRU sahaja.
"Adakah Pakatan akan sama seperti BA yang hanya berjaya bertanding dalam PRU 1999? Atau kita akan kekal bersama sebagai satu pakatan untuk bertanding dalam PRU ke-14, seterusnya menggantikan tempat BN di Putrajaya?," soalnya.
Beliau berkata, Pakatan berjaya mengatasi krisis yang melanda pada akhir 2011, dengan menyelesaikan perbezaan antara parti dan membuat penegasan untuk terus memperjuangkan dasar bersama Pakatan dalam kenyataan bersama pada 28 September 2011.
Maka, katanya lagi, tiada jalan lain selain meneruskan komitmen itu untuk masa akan datang, terutama bagi menghadapi PRU ke-14.-Roketkini.com
No comments:
Post a Comment