[FB]
SAYA terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali
mengulas isu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA
khinzir dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia
hari ini. Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf
al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan
antarabangsa, beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan
lain-lain yang mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.
Bagi
menyokong hujahnya, penceramah itu secara 'janggal' menyebut
empat-empat mazhab mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf
tentang kulit babi.
Saya
ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah
mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia
hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas.
Dr
Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan
yang berlangsung di Morocco pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak
tahu bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah
yang telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam pelbagai mazhab
Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini.
Isunya,
bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin
memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan
bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat
kimianya.
Adapun
kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah
canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan
semua mazhab termasuk al-Auza'i, al-Thauri, Laith bin Sa'd, Zahiri,
Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak. Namun,
bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah.
Adapun
kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya bukan
sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu. Apakah
boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun bone china
seperti hari ini ataupun tidak boleh? Walaupun banyak imam yang melarang
perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan. Contoh boleh
lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang menyebut
beberapa pendapat.
Jika kita semak pendapat yang membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani.
Sebenarnya,
masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan
seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di
Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma
al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.
Bukan
orang Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan
bahan yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi.
Ini
boleh difahami juga seperti rakyat muslim Singapore yang meminum new
water iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang
digunakan di Singapore sekarang. Bukan mereka nak minum najis, tetapi
air itu asal bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.
Kita
mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu
kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan
lain-lain. Namun hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan
maklumat dan pengetahuan.
Sekali
lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Setiap orang
membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin lebih diredhai Allah
untuk dirinya. Fatwa ini dibincangkan oleh para sarjana Islam moden
sebab bahan berkena kepada banyak produk yang wujud terutama mereka yang
hidup di negara minoriti muslim. Sementara sifat Islam itu memudahkan
umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat hal ini berlaku
apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi pengguna.
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Berkaitan:
Ustaz Kazim Sangkal Fatwa Al-Qaradawi DNA Babi Ditransformasi Halal Digunakan
[AA]
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai
Ustaz Kazim menolak fatwa yang dikeluarkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi
yang mengatakan gelatin haiwan termasuk babi adalah halal digunakan jika
ia ditransformasikan menjadi bahan lain.
Dalam
satu laporan oleh Sinar Harian pada Ahad, Kazim berkata umat Islam
perlu berpegang teguh kepada ketetapan agama yang digariskan oleh mazhab
dimana selama ini ia menjadi ikutan kepada umat Islam di negara ini.
"Keempat-empat
mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan
babi tidak boleh dimakan, setiap benda makanan haram yang masuk dalam
badan akan jadi daging.
"Kalau
makanan itu makanan haram, nerakalah tempatnya bagi kita, kalau makanan
itu halal maka syurgalah tempatnya untuk kita," katanya.
Menurut
beliau, hukum melibatkan makanan haram dan halal merupakan satu isu
yang besar dan tidak patut diperkecilkan oleh mana-mana pihak.
Pada Sabtu lalu, bekas Mufti Perlis,
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong pandangan Dr
Yusuf Al-Qaradawi bahawa gelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi
boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut
konsep Islam istihalah
Mengulas
lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu
yang dianggap haram boleh menjadi halal jika menggunakan konsep
'istihalah'.
Istihalah
ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain
yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.
"Apabila
sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia
telah kehilangan ciri-ciri asalnya ia tidak akan dinilai mengikut
asalnya kerana ia telah benar-benar berubah," kata beliau sambil
menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.
"Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah," katanya.
Dr
Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan
mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.
Sebelum
ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury
dikesan mengandungi DNA babi.
No comments:
Post a Comment