Sunday, June 8, 2014

APA KATA UMNO ???

Campur Tangan Istana Johor, Apa Kata PAS?





PAS membidas campur tangan Istana Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan menyifatkannya mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan negara sejak negara Merdeka. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kepada institusi pemerintahan negara perlu dipertahankan.
"PAS menyokong sistem Raja Berperlembagaan dan perlu dipertahankan.
"Usaha untuk memberi kuasa eksekutif sepatutnya tidak berlaku," kata Mohamad pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur petang ini.

Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan campur tangan raja dalam pentadbiran kerajaan akan mencemarkan kesucian institusi tersebut.

"Sebarang usaha mengheret institusi Istana akan mencemar dan merendahkan sistem Raja Berperlembagaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman menggesa pembentangan rang undang-undang itu ditangguhkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

"Pengasingan kuasa (separation of powers) perlu wujud dalam rang undang-undang dan kita sedang usaha sebelum pembentangan esok untuk menangguhkannya," katanya.

Mazlan juga memberitahu wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) Johor akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan isu tersebut dan mengambil pendirian. Awal hari ini, pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak konflik akan wujud antara istana dan kerajaan sekiranya diberikan kuasa langsung dalam pentadbiran.‎

Aziz berkata tindakan tersebut akan menyebabkan kuasa yang diperuntukan dalam DUN berkurangan, sekaligus menganggu pentadbiran negeri Johor jika ia diteruskan. Kritikan turut disuarakan oleh bekas Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan terpaksa mengikut telunjuk Istana Johor jika rang undang-undang kontroversi perumahan diluluskan.

Menteri besar Johor, baru-baru ini mengesahkan kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), jika diluluskan, akan menyaksikan pembabitan sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berkata cadangan pembentangan satu enakmen baru bagi penubuhan LPHJ mestilah membawa kebaikan, manfaat dan melindungi kepentingan semua terutama rakyat. Najib menegaskan enakmen itu juga mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem raja berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta amalan demokrasi negara ini.

No comments:

Post a Comment