SELANGOR KINI
SHAH ALAM: Penduduk Sepang terpaksa menunggu berbelas-belas tahun janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mendirikan hospital tetapi masih tidak ditunaikan.
"Kami penduduk daerah Sepang amat terkilan kerana hanya dengan perancangan mengambil masa dua tahun sahaja Kerajaan Pusat dapat mengeluarkan dana jutaan ringgit membawa dan menyediakan infrastruktur hanya untuk dua ekor panda.
"Sedangkan saya dan penduduk daerah Sepang sudah belasan tahun menanti janji-janji kerajaan bagi mendirikan Hospital Daerah Sepang," tulis seorang pembaca dipetik Harakahdaily yang menggelarkan Zahar KLIA2.
Beliau menambah, terbukti panda didahulukan dan rakyat dibelakangkan, terima kasih BN.
Pasangan panda gergasi Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) tiba di Kompleks MASkargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.53 pagi Rabu lalu.
Sebelum ini, Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri, berkata tindakan kerajaan membawa Fu Wa dan Feng Yi berusia lapan tahun itu dengan diberikan layanan istimewa tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.
Sebanyak RM70 juta wang rakyat perlu digunakan untuk menanggung beban kos dua ekor panda China dalam tempoh 10 tahun.
Dengan kehadiran dua ekor panda itu, bermakna Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta setiap tahun untuk membela haiwan berkenaan untuk tempoh 10 tahun.
Perkara itu dilaporkan seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China, pada 15 Jun 2012.
Dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara membabitan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar bagi menempatkan pasangan panda berkenaan.
Dilaporkan, RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bakinya oleh kerajaan.
Kos penjagaan panda oleh Zoo Negara pula dianggarkan RM1.5 juta setahun.EZY
No comments:
Post a Comment