Setahun selepas PRU13, isu kaum dan agama terus bermaharajalela
Siri untuk memperingati ulang tahun pertama pilihan raya umum
paling sengit negara; The Malaysian Insider menilai isu yang masih
menguasai negara.
Selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri
pada tahun 2009, tumpuan adalah terhadap perpaduan negara dan ekonomi
terbaik yang disimpulkan dengan konsep 1Malaysia.
Hari ini, setahun selepas mendapat mandat peribadinya yang pertama,
negara ini masih hanyut seolah-olah tiada siapa yang mengawal Putrajaya,
dan konsep 1Malaysia hanya nota kaki dalam sejarah.
Selepas memenangi lebih sedikit kerusi daripada pemimpin yang banyak
difitnah Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas kehilangan mandat, majoriti
dua pertiga dalam Pilihan Raya 2008, Najib Razak, Umno dan Barisan
Nasional (BN) masih dalam belenggu itu.
Perlumbaan dalam isu kaum dan agama serta kelesuan dalam pendidikan terus melanda Malaysia tanpa penghujung.
Pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) pula masih membakar diri
masing-masing dengan isu hudud atau undang-undang jenayah Islam.
PAS ingin membawa rang undang-undang persendirian bagi membolehkan hukum
hudud dilaksanakan di Kelantan selepas digalakkan oleh Umno dan
beberapa kumpulan Melayu Islam, mengecewakan sekutunya DAP sementara PKR
masih belum memberikan maklum balas yang sesuai.
Walaupun bersetuju dengan pelan 10 perkara untuk menghormati kebebasan
beragama pada tahun 2011, kerajaan BN melalui Peguam Negara masih merayu
terhadap hak bukan Islam menggunakan perkataan Arab seperti Allah,
manakala Bible berbahasa Melayu dan Iban, Al-kitab berisiko dirampas di
bawah undang-undang agama yang bertujuan untuk menghalang penyebaran
agama bukan Islam.
Kumpulan sayap kanan seperti Perkasa dan Isma menggunakan isu-isu ini
untuk memaksa pandangan mereka bahawa Malaysia mesti sentiasa diuruskan
oleh orang Melayu Islam dan bukannya mana-mana kaum lain yang membentuk
30 juta penduduk negara ini.
Pentadbiran Najib terus berdiam diri dengan desakan ini, samada sebelum
atau selepas PRU13, bahkan Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin
juga diturunkan sebagai calonnya.
Ia juga membiayai aktiviti Perkasa dan Isma, meskipun pendirian mereka
bertentangan dengan Najib yang mahu perpaduan diwujudkan di bawah
1Malaysia dan pelan perdamaian yang belum diketahui dengan sepenuhnya.
"Isu kaum dan agama terus mendominasi Malaysia kerana ia lebih mudah
untuk digunakan berbanding bekerja keras untuk inisiatif yang lain
seperti ekonomi atau ketelusan," kata seorang ahli politik BN yang
enggan dinamakan kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, Umno tahu bahawa isu seperti ini akan memecahkan
pembangkang sama seperti perpecahan Barisan Alternatif pada tahun 2011
apabila DAP keluar selepas PAS berkeras menguatkuasakan undang-undang
agama di Terengganu.
"PAS berpecah belah tentang hudud, yang juga akan memecahkan PR," katanya.
Pengkritik juga menyatakan bahawa cara pengendalian isu penerbangan MH370 yang hilang adalah lambang semua kelemahan negara ini:
Tindak balas yang kacau-bilau di peringkat awal kehilangan pesawat
Boeing 777- 200ER dengan 239 penumpang, keperluan untuk kelulusan
daripada perdana menteri untuk mula mencari di pantai barat atau untuk
mengeluarkan laporan, dan kerahsiaan butir-butir pesawat dan kenyataan
para penyiasat serta ahli politik dan pegawai awam yang tidak cekap
dalam menjalankan tugas pentadbiran.
"Pegawai kanan awam kita hanyalah hamba-hamba. Mereka ragu-ragu membuat
keputusan dan menunggu ahli politik membuat keputusan untuk mereka,
mengorbankan masa dan wang," kata seorang penganalisis politik.
"Jika anda tidak boleh bergantung kepada ahli politik untuk kepimpinan
dan anda tidak boleh bergantung kepada penjawat awam untuk kecekapan
dalam menjalankan tugas mereka, apa yang boleh anda harapkan? Adakah ia
satu keajaiban bagi negara ini, yang seolah-olah berada di dalam
lubang," soal beliau.
Kumpulan hak-hak sivil dan ahli akademik berkata Malaysia perlu melangkaui isu-isu kaum dan agama sahaja.
"Sejarah tidak pernah bergerak dalam garis lurus. Saya optimis bahawa
kegilaan ini tidak akan bertahan. Satu hari ia akan meletus untuk
membolehkan kita ambil pengajaran, saya tidak tahu, tetapi ia akan
berlalu," pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem
Faruq berkata baru-baru ini, mencadangkan sistem pendidikan diubah dan
tindakan terhadap ucapan yang membawa kebencian diambil sebagai satu
cadangan untuk memulihkan perpaduan.
Tetapi dengan hudud dan isu-isu Allah masih dimainkan dalam politik dan
undang-undang, isu kaum dan agama akan terus menguasai wacana nasional
dalam perebutan pengaruh di Malaysia di kalangan kedua-dua pakatan dalam
pilihan raya umum yang akan datang. – 5 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment