[TMI]
Bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times (NST), Datuk A
Kadir Jasin tidak menolak kemungkinan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Umno di Terengganu yang keluar parti boleh bertukar fikiran jika
kena pada "harganya".
Kemelut
politik dalaman Umno di negeri itu tercetus selepas peletakan jawatan
Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar dan kemudian diikuti dua
lagi Adun.
Lebih
meruncingkan, PAS mendakwa empat lagi Adun akan keluar parti sebagai
tanda membantah keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak.
"Ini hanya perkembangan awal.
"Ahli
politik boleh bertukar fikiran secara sukarela jika kena pada
'harganya'. Seringkali dikatakan ahli politik yang kita percayai sudah
tiada lagi," kata Kadir dalam blognya kadirjasin.blogspot.com hari ini.
Kadir
juga membayangkan keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya beberapa
Adun lain di Terengganu mengambil langkah sama keluar parti.
"Situasi pasti buruk kepada BN (Barisan Nasional) sekiranya ada Adun Umno lain mengikut jejak Ahmad dan Ghazali," katanya.
Jangkaan
Kadir tersebut semakin menjadi kenyataan apabila Adun ketiga, Roslee
Daud dari Bukit Besi meninggalkan Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.
Kadir
berkata, PAS boleh membentuk kerajaan baharu di Terengganu dengan
mendapatkan undi tidak percaya ke atas menteri besar baharu menerusi
sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Mereka
(PAS) juga boleh mendesak sesi khas DUN untuk mendapatkan undi tidak
percaya ke atas menteri besar memandangkan beliau tidak memiliki
majoriti di dalam dewan," katanya.
Ahmad
bersama dua lagi Adun Umno keluar parti beberapa jam selepas Datuk
Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai menteri besar baharu semalam.
Tindakan
tersebut menyebabkan komposisi DUN yang dikuasai oleh BN di Terengganu
berubah dan menjadikan jumlah kerusi sama dengan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun,
Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata BN
masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya keluar
parti.
Beliau
berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17
kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan
negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang
memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.
Secara
konvensyennya, kebanyakan ahli politik menandatangani surat peletakan
jawatan undur tarikh sebelum memegang jawatan di Malaysia.
Ahmad
yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat
sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk
Seri Idris Jusoh.
Idris kini merupakan menteri pendidikan II dalam Kabinet Najib.
Tahun
lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ketika Pilihan Raya Kecil
(PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu jika
berlaku DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.
Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu. – 13 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment