Wednesday, May 21, 2014

KETUA WANITA UMENO : DIA TU MENGANCAM!, KITA TERANCAM !

Mengapa Dyana Sofya jadi ancaman kepada UMNO?


Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sepatutnya diadakan untuk merebut kerusi Parlimen tetapi kini menjadi medan pertempuran antara Dyana Sofya Mohd Daud dengan Umno apabila pencalonannya di atas tiket DAP dipertikaikan.

Kemunculan Dyana mencetuskan kebimbangan beberapa pemimpin Umno, daripada Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil – kedua-duanya mempertikaikan penyertaan orang baru dalam politik itu kerana tidak menyertai Umno.

Malah Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali juga menggunakan "tangan kotornya" masuk campur dengan menggesa Gerakan menggunakan gambarnya bersama calon muda berusia 27 tahun itu sebagai bahan kempen.

Namun Gerakan menolak cadangan menggunakan gambar itu sebagai kempen untuk memenangkan presidennya Datuk Mah Siew Keong, juga calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK 31 Mei ini.

Mengapa Umno terlalu gentar dengan graduan undang-undang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, yang ibunya juga merupakan ahli Umno?

Beberapa alasan mungkin boleh menjadi sebabnya.

Pertama. Pencalonan Dyana Sofya di atas tiket DAP membuktikan bukan Umno sahaja parti untuk Melayu, selain daripada PKR dan PAS.

Lebih-lebih lagi apabila semakin ramai rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai bangsa Malaysia dan tidak lagi membezakan diri mengikut kaum.

Semakin banyak perkara ini terjadi, Umno dan parti berasaskan kaum lain termasuk pertubuhan seperti Perkasa akan kekurangan ahli dan mungkin semakin pupus, malah menjadi semakin tidak relevan di Malaysia.

Dr Mahathir, Shahrizat dan Ibrahim juga tidak mampu menghalangnya kerana ini akan menjadi penghujung sejarah Umno dan kuasanya dalam politik Malaysia.

Kedua. Kata-kata Dr Mahathir benar, generasi muda sudah lupa tentang perjuangan pemimpin Umno dan ahlinya.

Mungkin ini disebabkan Umno lama sudah dibatalkan pendaftarannya ketika di bawah pemerintahan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

Umno hari ini cuma bayangan samar perjuangan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein memerdekakan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Umno sekarang percaya segalanya adalah milik mereka dan cuma memberikan sisa baki untuk dikongsi dengan yang lain.

Dan setiap hari, Umno memberi satu sebab untuk rakyat Malaysia membenci mereka. Setiap hari.

Ketiga. Pencalonan Dyana Sofya membuktikan ada parti politik di luar sana yang berani mempertaruhkan anak muda dan idealisme daripada hanya bergantung kepada ahli politik berpengalaman untuk menguji kekuatan mereka.

Dalam DAP tak perlu beratur panjang untuk jadi calon, tidak seperti BN apabila presiden dan pemimpin tertinggi menjadi calon pilihan dan mengenepikan ahli parti muda. Mungkin juga BN ketandusan bakat muda untuk diketengahkan menjadi calon.

Masa depan Malaysia milik generasi Dyana Sofya, bukan individu yang pernah diuji kekuatannya dan mahu kekal berkuasa.

Keempat. Pencalonan Dyana Sofya membuktikan graduan muda daripada universiti tempatan seperti UiTM juga mempunyai kebijaksanaan, keberanian dan ciri kepimpinan dalam menentukan nasib sendiri dan tidak mengikut telunjuk ibu bapa.

Generasi muda seperti ini mampu berfikir dan tahu mereka boleh melakukan perubahan. Mereka dahagakan perubahan dan enggan berpeluk tubuh.

Pemikiran mereka tidak seperti ahli tipikal BN yang hanya menurut perintah dan cuma mampu sabar menunggu diberikan peluang untuk menyinar dalam politik.

Cuma segelintir sahaja yang mempunyai pertalian dengan pemimpin boleh berjaya dalam BN. Keadaan berbeza dengan DAP atau parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR) yang terpaksa meletakkan calon muda kerana tak ramai yang sanggup bertanding.

Jika ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan Melayu mengikut jejak langkah Dyana Sofya, karier politik Umno akan sampai ke penghujung.

Umno tidak akan membenarkan perkara itu terjadi, dan disebabkan itu mereka perlu memalukan, mengutuk, mengganggu dan mencalarkan imej Dyana Sofya supaya tidak akan ada lagi yang mengikut langkah beliau.

Kejayaan dan kemenangannya di Teluk Intan nanti bukan hanya untuk DAP mengekalkan kerusinya di Parlimen atau isu anak muda Melayu menjadi ahli Parlimen DAP.

Ia juga bakal membuktikan Umno tidak lagi boleh menegaskan parti itu sebagai satu-satunya platform untuk Melayu mengekalkan kuasanya sebagai pemerintah Malaysia.

Sungguh menyedihkan apabila melihat Umno kini berjuang menentang seorang wanita muda hanya untuk mengekalkan kuasa ~ The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment