Thursday, August 6, 2015

ZAHID PERLU HENTIKAN GANGGUAN POLIS KEPADA SPRM, SIASAT BOCOR MAKLUMAT KEMUDIAN



Isu derma RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak bukan lagi sekadar isu politik yang memanaskan topik perbualan dalam masyarakat dan sama ada salah atau betul perbuatan itu, tetapi telah menjadi perkara yang meruntuhkan sebahagian sistem dalam pentadbiran negara.

Disebabkan wang tersebut, SPRM dan PDRM saling berbalah dan seolah-olah sedang bermusuh, manakala Jabatan Peguam Negara yang berhak terhadap sesuatu pendakwaan pula semakin tidak diyakini oleh masyarakat berikutan Gani Patail tiba-tiba disingkirkan daripada jawatannya.

Walaupun SPRM sudah membersihkan nama Najib berhubung sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya dengan mentaktifkannya sebagai derma, tetapi badan itu masih lagi menyiasat berkaitan SRC Internanational Sdn Bhd yang turut menyumbang sebahagian daripada jumlah tersebut.

Melalui pendedahan The Wall Street Journal sebelum ini, SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan didakwa menyalurkan RM50 juta kepada sebuah syarikat subsidiarinya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, yang kemudian disumbangkan kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd dengan jumlah yang sama.

Ihsan Perdana yang merupakan syarikat berkaitan perlaksanaan tanggungjawab sosial bagi 1MDB kemudian menyalurkan pula sebanyak RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib. RM8 juta lagi dikekalkan dalam akaun syarikat itu.

Siasatan terhadap SRC International dan kaitannya dengan Najib ialah berikutan syarikat itu telah dibantu mendapatkan dana Kumpulan Wang Amanah Pencen sebanyak RM4 bilion sebelum ini. Sumbangan RM50 juta kepada Ihsan Perdana dan RM42 juta daripadanya dimasukkan ke akaun Najib didakwa kerana bantuan pinjaman yang diperolehinya itu.

Ini bermakna secara tidak langsung daripada RM2.6 bilion itu terdapat sebahagian kecil wang berkaitan 1MDB iaitu RM42 juta manakala AS$681 juta lagi dimasukkan daripada luar negara melalui Falcon Private Bank.

Dalam pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini, SPRM bertanggungjawab menyiasat unsur-unsur rasuah berkaitan SRC International ini, termasuk juga sudah menahan reman CEO Ihsan Perdana, Dr Shamsul Anwar Sulaiman.

Walaupun pasukan petugas khas sudah dibubarkan oleh Peguam Negara yang baru Apandi Ali, tetapi SPRM tetap menyatakan tugas mereka menyiasat kes berkaitan SRC International belum berakhir dan berazam untuk menyelesaikannya dengan telus dan adil.

SPRM juga berpegang kepada Seksyen 72 Akta SPRM 2009 yang memberikan kekebalan undang-undang kepada pegawainya dalam menjalankan siasatan berkaitan kesalahan di bawah akta tersebut memandangkan penyiasatan yang dijalankan adalah dengan suci hati.

Bagaimanapun, belum pun SPRM habis melaksanakan tugasnya itu, beberapa pegawai dan kakitangan mereka telah ditahan oleh pihak polis atas dakwaan membocorkan maklumat. Maklumat bocor yang sedang disiasat itu ialah berkaitan perbankan dan deraf kertas pertuduhan terhadap Najib oleh Sarawak Report baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment