Monday, August 24, 2015

ADUYAI...DULU HARAM JADAH DAN BANGANG, KINI BANGSAT PULAK!!


shahbudindotcom

Walaupun Perdana Menteri, Najib Razak berasal daripada keluarga bangsawan dan merupakan anak Tun Razak yang disanjungi ramai, perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya kadangkala tidak sepadan dengan asal usulnya.

Ini kerana biasanya anak-anak bangsawan diajar berbudi bahasa dan menggunakan perkataan-perkataan yang lembut dan tidak kasar, sesuai dengan keperibadian mereka yang dipandang tinggi, bahkan sesuai dengan penampilan yang sentiasa berpakaian mahal dan menjamah makanan yang berkualiti setiap hari.

Jarang benar kita lihat anak-anak bangsawan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sesuai dengan penampilan mereka, apatah lagi jika sudah berjawatan Perdana Menteri.

Jika pun seseorang itu sudah menjadi bangsawan melalui kedudukan yang berjaya diraihnya, mereka juga sudah tentu akan menjaga budi bahasa dan perlakuannya.

Lihat saja Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah, baik ketika berbual secara peribadi, mahu pun dalam pengucapan awam, tidak pernah sama sekali mengeluarkan perkataan-perkataan kasar yang boleh merendahkan keperibadiannya.

Tetapi lain benar dengan Najib ini. Menggunakan perkataan kasar bukan pertama lagi dilakukannya. Semalam beliau menggunakan perkataan "bangsat" kepada orang-orang Melayu sebagai ingatan sekiranya UMNO hilang kuasanya.

Sebelum ini, ketika mengecam para peneroka Felda yang menentang penyenaraian saham Felda Global Ventures atau FGV di Bursa Malaysia, Najib menggelarkan mereka sebagai "haram jadah" kerana kononnya menolak nikmat yang cuba diberikan oleh kerajaan.

Tetapi hari ini semua orang tahu nilai saham FGV di pasaran hanya tinggal tidak sampai RM2 berbanding harga permulaannya RM4.55 ketika mula-mula disenaraikan dahulu.

Siapa yang "haram jadah" sebenarnya? Itu belum dikira dengan pelbagai skandal pembelian hartanah Felda di luar negara menggunakan duit peneroka sehingga turut mengundang SPRM menyiasat dan menahan reman beberapa orang yang disyaki mengaut keuntungan daripadanya. 

Sejak kebelakangan ini, Najib sendiri sudah lama tidak menyebut mengenai  FGV ini. Mujur juga para peneroka masih berbudi bahasa tidak memulangkan semula perkataan "haram jadah" itu kepada Najib.

Kemudian ketika melahirkan rasa kesal kepada blogger-blogger UMNO yang menerima upah tetapi tidak menpertahankan parti dengan sewajarnya, beliau menggelarkan mereka sebagai "bangang".

Blogger-blogger "bangang" ini, kata Najib, lebih ghairah menembak pemimpin sendiri daripada menyerang pihak lawan. Ramai blogger upahan UMNO tersipu-sipu malu dengan gelaran itu.

Daripada "haram jadah" dan "bangang",  kini perkataan "bangsat"  pula keluar dari mulut Najib. Akan datang, entahlah....mungkin perkataan dahsyat yang mencarut dan memaki hamun pula akan digunakannya.

Dalam kes "bangsat"  ini, bukan saja perkataan itu tidak sesuai diucapkan oleh bibir merah jambu seorang Perdana Menteri kerana ia terlihat kasar dan hanya sesuai diucapkan di tepi-tepi jalan oleh bibir-bibir hitam dan kotor, "kebangsatan"  orang Melayu juga bukanlah semata-mata kerana ketiadaan lagi kuasa yang dimiliki oleh UMNO.

Orang Melayu di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tidak pula kelihatan "bangsat" walaupun negeri-negeri tersebut bukan diperintah oleh UMNO?

Malahan ramai Melayunya yang lebih gembira, makan lebih berselera dan ketawa lebih kuat berbanding mereka yang tinggal di negeri yang dikuasai oleh UMNO.

Tidak ternampak sama sekali mereka sebagai Melayu yang "bangsat" atau terpinggir daripada rumah yang selesa kepada menghuni bawah kolong atau gelandangan jadinya.

Lebih dari itu, kalau mahu dihitung satu persatu, UMNOlah yang lebih lebih banyak "membangsatkan" bangsanya sendiri berbanding parti-parti lain di negara ini.

Melalui kuasa yang dimilikinya, siapakah sebenarnya yang lebih mengkhianati tanah, saham, permit dan sebagainya yang sepatutnya untuk mengukuhkan ekonomi Melayu tetapi dilencongkan untuk kepentingan kelompok sendiri dan menjualnya kepada bangsa lain?

Ditambah dalam era kepimpinan Najib sekarang yang tidak perlu disenaraikan lagi satu persatu caca marba dan celarunya, UMNO bukan saja sedang menuju zaman gelap, bahkan rakyat lebih ditekan lagi kehidupannya dengan pelbagai beban seperti pemansuhan subsidi, GST, kenaikan kos hidup dan sebagainya, kononnya atas nama kepentingan negara.

Isu 1MDB dan derma RM2,600 juta pula serta merta menjadikan nama negara dan pemimpinnya sebagai bahan cemuhan dan olok-olok di seluruh dunia. Daripada bangsa yang disanjung dan dihormati dengan pelbagai keupayaannya sebelum ini, Najib sebaliknya menjadikan nama negara tidak lagi indah di mana-mana.

Tidakkah malu jika wang RM2,600 juta pun kita bangga sebagai derma dan kemudian menjajanya seolah-olah itulah dana penyelamat bangsa?

Lebih malu apabila SPRM mengatakan ia hanya mengesahkannya sebagai derma saja tetapi masih belum menutup penyiasatannya lagi. Bukankah dalam takrifan SPRM, derma juga sebahagian daripada rasuah?

Hakikatnya, Najiblah yang lebih membawa "kebangsatan"  kepada Melayu itu sendiri.  Negara dan UMNO lebih mudah dipulihkan jika beliau tidak lagi menjadi ketuanya. 

Yang menentukan Melayu jadi "bangsat" atau sebaliknya bukanlah sangat disebabkan UMNO hilang kuasa atau tidak, tetapi lebih ditentukan oleh jenis pemimpinnya.

No comments:

Post a Comment