shahbudindotcom
Mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian tahun ini barangkali yang tersibuk bagi Najib Razak kerana paling banyak bakal dirasmikan olehnya. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang mana hanya beberapa UMNO bahagian saja dirasmikannya manakala selebihnya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang lain, tahun ini keadaan itu jadi sebaliknya.
Tahun ini seperti setiap minggu ada saja acara perasmian itu untuk Najib. Macam dah berlumba-lumba pula dengan Muhyiddin Yassin yang sudah dipecatnya. Sebahagiannya kerana jemputan bahagian, yang lainnya mungkin atas permintaan Presiden UMNO itu sendiri.
Minggu lepas, Najib merasmikan tiga bahagian iaitu Seremban, Kota Melaka dan Hulu Selangor. Ketika itu juga beliau perlu pergi ke kawasan Parlimennya, Pekan kerana mengadakan jamuan hari raya di sana.
Sibuk betul Najib sejak memecat timbalannya walaupun ada wang RM2,600 juta dalam akaun peribadinya....nasib baik ada jet peribadi dan helikopter yang boleh membawa ke sana sini dengan cepat.
Minggu ini pula beliau merasmikan mesyuarat UMNO Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan dan Pasir Gudang, Johor. Di Pasir Gudang, sebagaimana yang diberitahu oleh Khaled Nordin, kehadiran Najib bukan atas jemputan atau kehendak bahagian itu tetapi kerana Najib sendiri meminta untuk menjadi perasminya.
Aduyai...malu wehh!!
Kenapa sampai meminta-minta. Biasanya jemputan merasmikan ini terpulang kepada sesuatu bahagian itu. Dengan kesibukan tugas sehariannya menguruskan negara, adalah biasa Perdana Menteri menolak jemputan merasmikan mesyuarat UMNO, tetapi tentulah luar biasa bila beliau seolah-olah merayu mahu datang ke sebuah bahagian itu.
Rasanya inilah pertama kali sejak UMNO ditubuhkan seorang Presidennya meminta untuk merasmikan mesyuarat UMNO bahagian dan ia kemudian didedahkan pula seolah-olah UMNO Pasir Gudang tersepit di kedudukan "rela dalam terpaksa" menerima kehadiran Najib itu.
Di sisi Najib, perbuatan meminta-minta ini lebih tepat diumpamakan "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong."
Jika UMNO Pasir Gudang sepenuhnya rela dan gembira dengan kehadiran Najib, buat apa Khaled perlu memberitahu kehadirannya sebagai perasmi itu bukan kehendak bahagian, sebaliknya diminta oleh Presiden UMNO itu sendiri?
Selepas memecat Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, kehadiran Najib tidak lain ialah untuk "menyuci dosa-dosanya" terhadap perbuatannya itu sambil mengharapkan sokongan dapat diteruskan kepadanya.
Tetapi kehadiran Najib bukan saja mendapat sambutan lesu, itu pun setelah diingatkan oleh Khaled agar perwakilan UMNO Pasir Gudang yang diketuainya berdisiplin dan berhemah menyambut kedatangan tetamu, bahkan ugutan Najib sama ada BR1M perlu diteruskan atau sebaliknya, disambut dengan jawapan "tidak" oleh mereka.
Selain itu terdapat juga memorandum daripada cawangan-cawangan dalam UMNO Pasir Gudang yang diserahkan dengan tangan kepada Najib sendiri memintanya berehat daripada jawatannya.
Sekali lagi...malu weh diperlakukan sebegini rupa!
Harapan Najib untuk mendapatkan sokongan daripada UMNO Johor dengan hadir merasmikan bahagian yang dipimpin oleh Menteri Besarnya bukan saja tidak kesampaian, malah malu pula bertompok-tompok menimpanya.
Ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bandar Tun Razak sehari sebelum itu, Najib bersungut kerana pemimpin UMNO tidak bersungguh-sungguh mempertahannya sedangkan mereka sudah menerima wang daripadanya.
"Sebagai Presiden parti, apa yang saya buat, sama ada kutip dana atau apa-apa, adalah semata-mata untuk kepentingan parti, bukan yang lain-lain.
"Zaman saya banyak pertolongan disalurkan kepada bahagian, banyak kerja amal dibuat, ramai orang pergi haji, banyak bahagian dapat sumbangan setiap bulan.
"Tetapi janganlah apabila (wang) sudah dapat, semua senyap. Apabila saya diserang, kita pula tambah tuang minyak," katanya lagi.
Jika di Pasir Gudang, Najib menonjol-nonjolkan perbuatan "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong", di Bandar Tun Razak pula, beliau tidak malu-malu bersikap "buruk siku" kepada pemmpin-pemimpin UMNO yang menerima wang daripadanya.
Sekali lagi, amatlah malang ada Presiden UMNO sebegini rupa. Kenapa perlu diungkit-ungkit pemberian yang sudah diberi? Berapa sebenarnya wang yang diberikan oleh Najib kepada bahagian-bahagian berbanding RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya?
Lagi pun, bukankah wang itu diberi untuk menggerakkan aktiviti parti dan bukannya sampai ke peringkat mempertahankan sesuatu yang tidak wajar atau salah dilakukan oleh Presiden UMNO sekali pun?
Apakah jika tidak didedahkan oleh The Wall Street Journal dan Sarawak Report, Najib mahu mengaku wang RM2,600 juta itu sebagai sumbangan penderma untuk dana politik?
Apa pun, sama ada secara nyata mahu pun terlindung, sikap "buruk siku" dan "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" yang ditunjukkan oleh Najib ini tidak lain menunjukkan dirinya semakin terdesak untuk mempertahankan diri, walaupun hakikatnya sudah wujud tanda-tanda beliau semakin tidak dikehendaki lagi dalam UMNO.
Dalam kehidupan seharian pula, orang "siku buruk" dan ditambah pula dengan perbuatan "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" adalah mereka yang paling dibenci dan diumpat setiap hari.
Begitu juga dengan Najib, dua perbuatannya ini akan terus menjauhkannya daripada UMNO dan juga rakyat. Penolakan dan kebencian itu sudah kian merata sehingga semakin ramai tidak segan-segan meluahkannya di facebook milik Najib sendiri.
No comments:
Post a Comment