Oleh Abu Hassan Adam
Orang Melayu kurang membaca. Aku tak kata semuanya begitu. Namun apa yang aku perhatikan kebanyakannya begitulah. Aku tak berapa hairan sekiranya keadaan sebegini berlaku di kawasan desa sebab aku sedar bahawa terlalu sukar untuk medapatkan bahan-bahan bacaan yang bermutu di sana. Yang aku merasa pelik ramai yang berada di Kuala Lumpur juga amat kurang mendekatkan diri dengan sumber ilmu yang amat berguna ini.
Aku membuat kesimpulan sebegini ekoran dari kemelut politik yang berlegar dengan 'panas'nya di negara kita kini. Berbagai cerita yang 'tak masuk akal' berlegar di negara kini yang berhubung kait dengan isu IMDB dan wang berjumlah RM 2.6 billion ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi DS Najib. Berbagai 'cerita rekaan' telah muncul. Aku masih mengatakan 'cerita rekaan' kerana tidak terbukti kesahihannya dan boleh dipertikaikan.
Yang anihnya, walaupun cerita rekaan, namun ahli UMNO di semua peringkat semacam begitu yakin dan percaya dengan 'cerita rekaan' yang disampaikan oleh pemimpin mereka sehinggakan DS Najib sendiri merasakan bahawa penjelasan berkaitan dengan IMDB dan Wang RM 2.6 billion eloklah disampaikan kepada ahli UMNO secara tertutup. Mungkin pada pandangan beliau, hanya golongan UMNO sebegini sahaja yang mahu 'mengangguk' mengiakan apa saja yang diperkatakannya.
Tetapi soalnya, DS Najib bukanlah Perdana Menteri bagi ahli UMNO semata-mata. DS Najib adalah milik rakyat Malaysia seluruhnya dan setiap rakyat berhak untuk mengetahui keadaan sebenarnya tentang apa yang berlaku kepada IMDB dan keadaan sebenar-benarnya berkaitan dengan wang RM 2.6 billion yang tersimpan dalam akaun peribadi beliau.
Rakyat pada umumnya tentu tidak begitu yakin dengan penjelasan seorang pemimpin UMNO yang mengatakan wang sebesar itu jumlahnya dihadiahkan kepada DS Najib semata-mata untuk memerangi pihak Yahudi dan ISIS. Walaupun ada segelintir kecil masyarakat di Malaysia kini yang masih mengangguk dengan apa juga penjelasan yang diberikan, namun sebahagian besar rakyat Malaysia masih tidak yakin dengan penjelasan sedemikian.
Betul-betul menghairankan kita bahawa masih ada lagi golongan masyarakat ( orang Melayu) yang boleh percaya dan yakin dengan berbagai 'cerita rekaan' yang disampaikan oleh pemipin UMNO kepada mereka tanpa keraguan. Dan keadaan sedemikian bukan saja berlaku kepada golongan akar umbi UMNO peringkat kampung dan desa tetapi ada juga pemimpin UMNO peringkat bahagian di kawasan bandar yang tolong menyebarkan 'cerita rekaan' itu kepada pengikutnya. Dan pengikut mereka terus mengangguk tanda setuju.
Suasana sebegini amat membimbangkan. Bimbang dengan keadaan orang Melayu yang semacam tidak banyak berubah setelah setengah abad mencapai kemerdekaan. Seolah-olah orang Melayu ( yang diwakili oleh ahli UMNO misalnya) masih tidak mahu melakukan anjakan paradigma, dari keadaan yang dianggap kolot dan kuno kepada suatu keadaan yang boleh dapat memperlihatkan yang orang Melayu itu telah berubah.
Seingat aku semacam tidak banyak perubahan yang dapat dilihat jika dibandingkan zaman arwah emak aku menganggotai UMNO ( 1950an) dengan keadaan pemikiran ahli UMNO kini. Semenjak zaman berzaman mesyuarat UMNO peringkat cawangan atau bahagian adalah seperti pesta-pestaan memuji dan memuja 'pemimpin' yang disudahi dengan jamuan makan. Mungkin ada mesyuarat UMNO yang membincangkan isu-isu serious tentang kedudukan dan kelangsungan kehidupan bangsa Melayu, namun dapat dikatakan bahawa tidak banyak mesyuarat UMNO yang bersifat demikian.
Malah Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan di PWTC dapat memberikan gambaran bagaimana mesyuarat UMNO peringkat cawangan dan bahagian dijalankan. Aku tidak mengatakan bahawa PAU yang diadakan saban tahun di PWTC tidak langsung memberikan manfaat kepada perjuangan bangsa dan negara, tetapi aku merasakan bahawa stelah puluhan tahun PAU diadakan tentulah perlu mengadakan perubahan yang lebih besar dan drastik demi kelangsungan dan kemajuan bangsa Melayu.
Tentulah lebih banyak dan lebih bererti boleh dilakukan oleh ahli UMNO dalam usaha memajukan bangsa dan negara. Tentulah PAU boleh mengubah cara berfikir perwakilan yang hadir di persidangan berkenaan.
Aku terkejut dan terperanjat apabila mendapat tahu bahawa masih ada lagi mesyuarat UMNO peringkat bahagian dan cawangan yang masih mengikut 'format' mesyuarat tahun-tahun 1950an dan 1960an.
Seolah-olah ahli UMNO begitu 'malu' dan 'segan' untuk mengadakan perubahan ke arah sesuatu yang boleh mengubah kehidupan orang Melayu. Semacam tidak dapat diramalkan langsung bilakah akan ada perubahan dari segi cara berfikir ahli UMNO sedemikain.
Adalah dirasakan bahawa punca yang menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO tidak melakukan perubahan ialah keengganan mereka untuk merapatkan diri dengan pembacaan. Agak tidak keterlaluan sekiranya aku mengatakan bahawa kebanyakan ahli UMNO kurang membaca. Lantas dengan sebab itu mereka agak 'renggang' dengan perkembangan ilmu yang meledak dalam zaman globalisasi ini.
Kebanyakan ahli UMNO hanya tahu 'meminjam' ucapan dan ungkapan sebagaimana yang dilafazakan oleh pemimpin mereka (yang juga kurang membaca). Lalu 'trend' kurang membaca ini berlanjutan daripada pemimpin peringkat kebangsaan kepada peringkat bahagian dan seterusnya ke peringkat cawangan.
Persoalannya ialah bagaimanalah para ahli UMNO peringkat akar umbi mampu untuk berfikir secara kritis sekiranya pemikiran mereka tidak sedikit pun 'dicanai' oleh bahan-bahan bacaan yang bermutu yang memboleh mereka bertindak secara rasional. Selama mana lagi agaknya keadaan sebegini akan berterusan.
Apakah orang Melayu akan terus dibangsatkan…..abuhassanadam
No comments:
Post a Comment