Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Isu dana politik yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Mohd Najib Razak mencetuskan kontrovesi kerana ia turut dikaitkan dengan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemudian diperbesarkan oleh media sosial, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Menurut beliau, jika ia dimasukkan sebagai sumbangan untuk Umno, maka dana itu tidak akan menjadi isu besar kerana ia adalah urusan dalaman parti berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu berkata, situasi kini lebih berkisarkan kepada 'perang persepsi' kerana pelbagai isu bercampur aduk dan saling berkaitan.
"Soal pembiayaan politik ini tidak menjadi masalah. Soalnya isu sekarang ini telah bercampur aduk dengan lain-lain isu dan tuduhan.
"Kalau (berkisarkan) pembiayaan politik saja, saya fikir ia tidak patut menimbulkan apa-apa masalah. Keduanya, jumlah dana itu besar. Kemudian pula dikaitkan ia duit 1MDB. Dan kemudian mengikut ada pemimpin (Umno) mengatakan mereka tidak tahu dana parti, lagilah orang ramai penuh tanda tanya dan persoalan," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
Syed Hamid menambah, 'kuasa' media sosial yang menjadi agen penyebar maklumat menghangatkan lagi isu berkenaan, dan ia sedikit berbeza dengan zaman presiden Umno sebelum ini.
"Ia jadi bahan perbahasan. Ahli-ahli Umno pun sekarang macam berbeza..Saya tak pernah tengok pemimpin Umno, lagi-lagi yang tertinggi dipersoalkan semacam itu. Ia menjadi perdebatan di khalayak ramai.
"Tidak seperti zaman sebelum ini, perkara seperti ini tidak ada siapa pun tahu. Bila sudah jadi macam ini, ahli persoal, mantan presiden persoal, tambah pulak ia bukan hanya mengenai pembiayaan politik tetapi dikaitkan dengan 1MDB.. Jadi ia bercampur aduk," katanya.
Dana RM2.6 bilion dikaitkan dengan 1MDB oleh akhbar Wall Street Journal bulan lalu, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi yang menjadi modal untuk pembangkang dan pengkritik menyerang Najib. Namun, selepas siasatan di jalankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan dana itu sumbangan pihak tertentu dari Timur Tengah dan bukan wang 1MDB.
Najib sudah pun memulakan tindakan undang-undang ke atas WSJ setelah memberi perakuan beliau tidak menggunakan wang itu untuk sebarang kepentingan peribadi.
Ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang semalam, Najib menegaskan beliau tidak pernah mempersoalkan presiden Umno mengenai pembiayaan atau soal dana parti sewaktu menjadi Timbalan Presiden mahupun Naib Presiden Umno.
"Ini amalan dalam parti dan kita teruskan amalan parti," kata Najib yang seterusnya meminta ahli parti meyakini bahawa sebarang tindakannya adalah untuk kebaikan parti.
Syed Hamid berkata kenyataan Najib perlu di susuli dengan satu lagi penerangan jelas mengenai dana RM2.6 bilion itu untuk meleraikan sebarang kekusutan di peringkat akar umbi parti dan rakyat.
"Beliau kena jelaskan. Kalau tidak jelaskan, lagi banyak persepsi dan andaian orang buat," kata Syed Hamid yang menjadi ahli jemaah menteri di bawah teraju Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi sebelum dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
No comments:
Post a Comment