shahbudindotcom.
Belum pun sampai sebulan Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri, namanya sudah terpalit dengan bibit-bibit kronisme dan nepotisme yang pernah ditentangnya suatu ketika dahulu.
Ini berikutan pendedahan bahawa syarikat adiknya, Real Time Networking Sdn Bhd adalah antara pembida dalam sistem pengurusan kemasukan 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh dengan Kementerian Dalam Negeri.
Selain menjadi Timbalan Perdana Menteri, Zahid ketika ini adalah juga Menteri Dalam Negeri.
Mohd Hakim Hamidi adalah pengerusi eksekutif syarikat tersebut yang dipercayai menawarkan pakej sehingga RM3,000 bagi setiap pekerja asing yang dibawa masuk melalui kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Imigresen dan Jabatan Sumber Manusia.
Sebenarnya budaya adik beradik, anak atau kaum kerabat menjalankan perniagaan di mana abang, ayah serta keluarga terdekat menjadi menteri bukanlah perkara baru di negara ini.
Ia berlaku sejak dulu dan berlarutan sehingga kini. Kecuali sebilangan kecil yang mungkin boleh dibilang dengan jari, selalunya kaum keluarga terdekat menterilah yang banyak mendapat kontrak perniagaan di sesebuah kementerian itu.
Orang luar hanya boleh dapat sipi-sipi atau "kari yang lebih kuah daripada isi". Setengahnya kerana menteri tersebut suka melakukan amalan sedemikian, manakala yang lain disebabkan kaum keluarganya bijak mengambil kesempatan.
Cuma, apabila ia turut berlaku di kementerian yang Zahid sendiri menjadi menterinya, ia kelihatan pelik lagi janggal dan seolah-olah beliau sudah lupa dengan pendiriannya menentang kronisme dan nepotisme semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO dahulu.
Isu yang dibangkitkan Zahid itu jugalah yang menyebabkan kemarahan Tun Mahathir sehingga beliau mengeluarkan senarai penuh di akhbar-akhbar harian mengenai mereka yang mendapat kontrak perniagaan atau penswastaan daripada kerajaan.
Dalam kes Zahid dan adiknya ini, jika beliau sendiri yang meminta atau tiada halangan kaum keluarganya berniaga di kementerian yang diketuainya, ia memang merupakan kesalahan moral baginya sebagai seorang pemimpin
Beliau seharusnya mengelakkan perkara itu daripada berlaku dengan menyedari prinsip yang pernah ditujukannya kepada Tun Mahathir suatu waktu dahulu, ditambah lagi orang Perak juga "udah tak sabor" lagi mahu melihatnya menjadi Perdana Menteri selepas ini.
Maka, janganlah dilakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kaki tergelincir sedangkan hanya setapak saja lagi mercu yang mahu dituju.
Tetapi jika adiknya pula yang mengambil kesempatan atas kedudukan abangnya, maka kedua-duanya adalah bersalah. Adik yang mengambil kesempatan salah, abang yang memberi ruang juga turut bersalah.
Sebagai adik, mereka sepatutnya faham dengan kedudukan abangnya sebagai menteri dengan terus memberi sokongan supaya terus berkhidmat kepada rakyat dengan jujur, sambil mendaki tangga karier yang lebih tinggi dan bukannya mengambil kesempatan daripada jawatannya.
Kalau betul adiknya itu seorang peniaga atau usahawan tulen, carilah peluang perniagaan di tempat atau kementerian lain. Kenapa mesti meniaga di situ juga?
Kita ada 37 menteri dan berpuluh-puluh lagi timbalan menteri, beratus agensi serta GLC, kenapa tandatangan abang sendiri juga yang dicari?
Sebagaimana yang diperkatakan oleh Mohd Hakim Hamidi dalam mempertahankan dirinya, beliau bebas meniaga di mana saja, asalkan bukan mengedar dadah, maka kata-kata itu seharusnya dibuktikan dengan keupayaan tanpa menumpang walau sedikit pun di bawah naungan hidung abangnya itu.
Alasan bebas berniaga di mana saja bukanlah hujah untuk mengaut lebih nikmat daripada kedudukan abang sendiri.
Sebagai abang pula, Zahid tentunya boleh menasihati adiknya mengenai kedudukannya dalam kerajaan serta risikonya jika adik beradiknya diketahui mendapat kontrak di bawah kementeriannya.
Menolong adik sendiri ketika menjadi menteri tidaklah sama seperti seorang abang memberi banyak gula-gula kepada adiknya yang manja sewaktu kecil dahulu.
Dengan menjalankan perniagaan di tempat di mana abang sendiri menjadi menteri, makna lainnya juga ialah mengesahkan kepada umum bahawa kedudukan adik-beradiknya hanyalah "peniaga celup" dan bukannya "usahawan tulen".
Lebih buruk jika diketahui syarikat yang membida itu baru saja ditubuhkan atau kemasukan sebagai pengarah hanya dilakukan tidak berapa sebelum itu.
Melalui pergantungan sebegini, akhirnya apabila abang pindah ke kementerian lain, mereka juga turut pindah meniaga ke kementerian tersebut.
Abang pencen sebagai menteri kemudiannya, mereka pun sama pencen meniaga dengan keuntungan sempat diraih berjuta-juta.
No comments:
Post a Comment