Monday, August 10, 2015

Bersih 4.0: Ahli PAS diminta tunggu arahan parti

 



PAS konsisten menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih bagi menjamin kelangsungan sistem demokrasi dalam negara ini. Pelbagai bantahan terhadap penyelewengan dalam pilihan raya seperti penggunaan jentera kerajaan, daftar pemilih yang dipertikaikan, persempadanan pilihan raya dan penggunaan media perdana oleh parti pemerintah sahaja adalah antara sebahagian isu dari pelbagai isu utama yang ada.

Pelbagai bentuk bantahan digunakan bagi melaksanakan tuntutan seperti menghantar memorandum, dialog bersama SPR, perhimpunan aman, dan mengumpulkan tandatangan adalah sebahagian usaha bagi menjayakan tuntutan tersebut. PAS mengambil bahagian dalam semua bentuk tuntutan secara aktif.

Tunggu arahan

PAS akan terus bersama kebangkitan rakyat khasnya anak-anak muda bagi menyatakan bantahan terhadap kemelut ekonomi, politik dan urustadbir negara kini.

Walau bagaimanapun oleh kerana kedudukan PAS kali ini bukan lagi penganjur bersama sebagaimana himpunan Bersih sebelum ini, maka parti telah bersetuju menghantar Naib Presiden PAS, YB Ustaz Idris Ahmad dan Saudara Kamaruzaman Mohamad bagi mendapatkan maklumat lanjut himpunan tersebut. Sebarang arahan kepada ahli akan dikeluarkan setelah kita mendapat gambaran sebenar format himpunan dan tentatif program sepanjang rally yang akan diadakan nanti.

Dalam suasana politik negara yang tidak stabil kini, PAS tidak akan bersetuju dengan apa jua usaha yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang ada, kerana ia akan diambil kesempatan oleh parti pemerintah bagi mengalih isu utama kepada tindakan provokasi bagi mencetuskan kegawatan dalam negara.

Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden, bahawa PAS tidak akan membuat kerahan atau larangan kepada ahli. Kita akan hantar wakil parti bagi mendapat gambaran sebenar format himpunan tersebut.

Kongres Rakyat

Insya Allah, bagi melunaskan maksud mendukung cita-cita perjuangan rakyat yang mahukan perubahan positif dalam negara ini, PAS akan menganjurkan Kongres Rakyat yang menghimpunkan NGO, tokoh-tokoh masyarakat, parti politik, gerakan mahasiswa dan lainnya yang bakal diadakan dalam tempoh masa terdekat bagi meneruskan agenda dan tuntutan rakyat.

Kongres ini adalah kesinambungan pelbagai himpunan parti bersama rakan-rakan NGO yang diadakan sebelum ini. Kongres ini akan dikendalikan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat bersama pelbagai pihak yang akan turut serta sama ada sebagai penganjur bersama atau sebagai peserta.

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN

No comments:

Post a Comment