Wednesday, August 19, 2015

Ya, kita gembira sambut anak panda tetapi berapa kos membesarkannya?


oleh V Shuman
Bergembiralah Malaysia! Kita mendapat anak panda!
Jika berita gembira kelahiran makhluk ini pada hari Selasa menyebabkan anda mencebik, ketahuilah yang anda tidak keseorangan.
Itu juga merupakan reaksi penulis.
Pada petang Selasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencoretkan pesanan ini di akaun Twitter dan Facebook beliau: "Gembira mendapat berita bahawa Liang Liang, panda di Zoo Negara, telah selamat melahirkan seekor anak pada 1.45 tengah hari tadi."
Najib juga memberi jaminan pada halaman Facebook berbahasa Cinanya bahawa penjaga zoo akan menjaga anak panda tadi dengan baik, dan akan memastikan "keluarga tiga orang" ini bahagia dan kekal di negara kita dalam keadaan sihat.
Jangan salah anggap.
Penulis benar-benar gembira kerana anak tadi berjaya dilahirkan dengan selamat. Setiap spesies yang dicipta oleh Tuhan mempunyai hak untuk membiak dan membesar dengan sihat.
Tetapi apabila membaca berita itu, kita tidak boleh mengelak dari memikirkan mengenai ringgit dan sen yang pembayar cukai terpaksa tanggung bagi membesarkan si kecil tadi.
Lagipun, ibu dan ayah anak tadi dipinjam oleh Malaysia dari China dengan kos yang sangat mahal, sejak Mei tahun lepas.
Semahal kira-kira RM60 juta. Pasangan itu – Xing Xing dan Liang Liang, dipinjamkan dari Chengdu, China selama 10 tahun, di mana jumlah yang amat tinggi telah dibelanjakan – RM25 juta untuk kandang mereka di Zoo Negara, RM20 juta untuk sewaan dan RM15 juta lagi untuk kos penyelenggaraan.
Itu hanya untuk ibu bapanya. Berapa juta lagi yang rakyat Malaysia perlu belanjakan untuk "membesarkan" anak panda tadi?

No comments:

Post a Comment