Hishamuddin
Rais
Ketika tulisan ini
digarap, Najib Razak iaitu suami Rosmah Mansor sedang kepanasan. Najib Razak
yang juga presiden parti United Malays National Organisation sedang diserang
oleh ahli parti sendiri. Suami Rosmah ini sedang terkepung oleh perbuatan
sendiri.
Serangan Umno Pagoh
minggu lalu ke atas suami Rosmah amat-amat difahami. Ketua parti Ketuanan Melayu
bahagian Pagoh ialah Muhyiddin Yassin sendiri.
Pastilah warga Pagoh
marah kerana anak watan Pagoh telah ditendang keluar dari menjadi menteri
kabinet. Justeru, mesyuarat bahagian Pagoh telah digunakan untuk menyerang suami
Rosmah dan mempertahankan Muhyiddin.
Perkara yang sama juga
berlaku dalam mesyuarat bahagian Kluang, malah lebih memeranjatkan. Bukan sahaja
kepimpinan suami Rosmah telah dipertikaikan, satu cawangan United Malaya
National Organisation Kluang telah meluluskan ketetapan yang meledakkan suasana.
Cawangan ini mengajukan resolusi: Siapa beri arahan bunuh
Altantuya?
Untuk pertama kalinya
satu cawangan United Malays National Organisation secara rasmi telah membawa
resolusi berhubung isu Altantuya ke dalam mesyuarat resmi parti. Nama Altantuya
ini bersabit rapat dengan suami Rosmah. Mengikut akuan bersumpah PI Bala yang
pertama, Altantuya adalah penyedap Najib.
Mengajukan resolusi
Altantuya bukanlah tindakan mencari pasal. Bahagian ini menimbulkan isu
Altantuya ini secara sedar sebagai senjata ampuh untuk menyerang suami Rosmah.
Ini satu serangan berbisa dari penyokong Muhyiddin Yassin.
Apakah resolusi
Altantuya ini akan sampai ke persidangan agung parti ketuanan Melayu? Kita lihat
dan tunggu. Apa yang jelas, suami Rosmah kini kepanasan.
Minggu lalu rakyat
Malaysia terbaca berita bagaimana suami Rosmah turut dimalukan secara terbuka di
Pasir Gudang, Johor.
Tendangan dari
Johor
MB Johor Khaled Nordin
selaku tuan rumah dalam ucapan pembukaan tanpa segan silu telah menyatakan
bahawa suami Rosmah yang juga presiden parti, yang juga perdana menteri, tidak
ada jemputan rasmi untuk datang bertandang ke Pasir Gudang.
Suami Rosmah mengikut
kata Khaled Nordin telah menjemput dirinya sendiri. Ini satu ucapan yang amat
jobo. Ucapan sedemikian bukan lagi satu tamparan tetapi jelas satu tendangan
dari Bangsa Johor terhadap suami Rosmah.
Dari klip video
mesyuarat Pasir Gudang kelihatan suami Rosmah berapi-api menjual propaganda
BR1M. Sayangnya ahli parti dalam dewan tidak ambil pot. Luka bertambah sakit
apabila suami Rosmah melaung bertanya “hendak BR1M lagi atau tidak?”, tiba-tiba
ramai yang menjawab “tidak”.
Walaupun dimalukan
dengan laungan “tidak” ini, suami Rosmah tetap cuba berpolitik dengan
menerangkan bahawa ada lagi kes yang lebih besar dari kes 1MDB, seperti kes
syarikat penerbangan MAS.
Tetapi suami Rosmah
enggan membuka kesah ini untuk menjaga parti. Tiba-tiba terdengar laungan dari
dalam dewan: “Buka... Buka... Bukalah pekung”.
Di Pasir Gudang, pada
awalnya suami Rosmah diumumkan akan mengadakan sidang akhbar . Tetapi selesai
memberi ucapan suami Rosmah telah lari keluar dewan tanpa meneguk air. Sidang
akhbar dibatalkan kerana suami Rosmah cabut lari.
Semua ini bukan fitnah
pembangkang. Semua ini bukan fitnah dari Wall Street Journal. Semua ini bukan
fitnah dari portal Sarawak Report. Tidak ada agenda Yahudi di sini. Ini adalah
fakta dan babak politik yang telah berlaku. Semua ini adalah serangan ahli parti
United Malays National Organisation terhadap Najib Razak.
Apa yang sedang berlaku
sekarang bukan satu pekara yang baru. Ini adalah sambungan dan rentetan dari
beberapa babak yang terdahulu. Pemain utama ialah Mahathir Mohamad bekas PM
Malaysia.
Hasrat
Mahathir
Mahathir mahu suami
Rosmah mengundur diri dari menjadi PM. Mengikut logik Mahathir, jika suami
Rosmah terus menjadi PM dan memimpin United Malays National Organisation maka
parti ini akan kalah dalam PRU14.
Prestasi dan keupayaan
suami Rosmah telah diukur oleh Mahathir dalam PRU13. Terbukti dalam PRU13 suami
Rosmah kehilangan lebih banyak kerusi berbanding dengan Abdulah Badawi yang
terkenal dengan tidurnya.
Mahathir Mohamad sedar
jika United Malays National Organisation kalah dalam PRU14 maka malapetaka akan
sampai. Mahathir Mohamad sendiri, bersama suami Rosmah dan konco-konconya pasti
akan ditangkap untuk didakwa. Jenayah Mahathir Mohamad ini tidak jauh bezanya
dari jenayah yang sedang dilakukan oleh suami Rosmah.
Hakikatnya, Mahathir
Mohamad mahu suami Rosmah berundur kerana Mahathir mahu menyelamatkan dirinya
sendiri. Dalam strategi perang apa yang dirancang dan dicadang oleh Mahathir ini
adalah betul. Jeneral yang manai pasti akan kalah perang, apatah lagi jika
jeneral ini takut pada bini.
Sebelum Muhyiddin dan
Shafie Afdal digugur dari kabinet ada dua lembaga sedang menyiasat kes 1MDB.
Jawatankuasa Parlimen dan SPRM membuat siasatan secara rapi. Umum mengetahui
bahawa tali jerutan siasatan ini semakin rapat ke leher suami
Rosmah.
Beberapa sosok penting
yang bersangkutan dalam SRC International (anak syarikat 1MDB) telah hilang
melarikan diri. Yang lain telah memberikan keterangan. Hakikatnya SPRM telah
mendapat bahan bukti yang diperlukan.
Ini menunjukkan bahaw,
Pejabat Peguam Negara telah bersedia untuk mendakwa suami Rosmah atas dakwaan
pecah amanah kerana duit dari syarikat kerajaan masuk ke dalam akaun peribadi
Muhamad Najib Abdul Razak. Khalas. Period.
Jangan silap faham –
memang betul ada RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun suami Rosmah. Ini duit dari
luar negara. Agak susah untuk dicari salasilahnya.
Apa yang sedang
disiasat ialah dakwaan duit jutaan ringgit dari Syarikat SRC International –
anak syarikat 1MDB – masuk ke akaun suami Rosmah.
Najib serang
balas
Justeru pegawai dari
syarikat ini lari menghilangkan diri. Dua di antara pegawai SRC International
dikehendaki oleh Bank Negara. Mereka lari untuk menyelamatkan suami
Rosmah.
Sebelum surat dakwaan
Peguam Negara sampai ke tangan suami Rosmah, dengan licik suami Rosmah telah
menyerang balas. Rombakan Kabinet dilakukan, jawatankuasa kira-kira wang negara
Parlimen disabotaj dan SPRM diganggu-gugat. Peguam Negara dipaksa bersara.
Pengarah SPRM dicutikan ke Amerika.
Dengan sekelip mata
suami Rosmah selamat. Apakah betul suami Rosmah selamat? Apakah bangkai rasuah
1MDB dapat ditutup?
Surat dakwaan ke atas
suami Rosmah dari pejabat Peguam Negara tiba-tiba bocor. Dengan pantas suami
Rosmah berkata ini surat dakwaan palsu.
Yang menjadi lawaknya,
ada pula ahli majlis tertinggi parti ketuanan Melayu menuduh semua yang berlaku
ini adalah rancangan Yahudi. Ini kerana Sarawak Report berpusat di London dan
Wall Street Journal di New York.
Tidak cukup dengan
menyerang Yahudi, lembaga SPRM pula diserang. Pegawai SPRM ditangkap, ditukar
dan diugut. Semua ini dilakukan dengan niat agar siasatan ke atas suami Rosmah
dihentikan.
Sayang seribu kali
sayang, semua ini tidak meredakan serangan terhadap suami Rosmah. Facebook,
Twitter, portal berita dan blog terus menyerang. Lawak jenaka terhadap suami
Rosmah makin menjadi-jadi dalam alam siber.
Akhirnya media baru
berjaya memunculkan satu persepsi bahawa Najib Razak suami Rosmah tidak boleh
lagi dipercayai. Suami Rosmah ini sedang membawa malapetaka kepada
Malaysia.
Malaysia sedang menuju
ke arah negara gagal jika Rosmah dan suaminya terus berkuasa. Persepsi ini
menular luas.
Rayuan
Najib
Laporan berita
mesyuarat bahagian parti Ketuanan Melayu yang sedang berjalan memperkukuhkan
lagi persepsi ini. Pegawai-pegawai kerajaan mula melihat bahawa parti United
Malays National Organisation ini semakin lumpuh dan wajib diganti. Orang-orang
kampung mula bersembang kosong tentang Rosmah dan suaminya.
Najib Razak sedar akan
bahaya persepsi ini. Justeru minggu lalu dalam mesyuarat bahagian Bandar Tun
Razak, si Najib ini merayu agar ‘pejuang siber’ parti ketuanan Melayu bangun
menyerang mempertahankan presiden parti.
Suami Rosmah ini
bermimpi dan berharap ahli-ahli partinya akan mengikut perangai ahli dan
penyokong pembangkang yang terus menerus mempertahankan Anwar Ibrahim dalam apa
sahaja keadaan.
Apabila suami Rosmah
merayu dan bermimpi seperti ini maka umum melihat ini sebagai tanda-tanda bahawa
nafas suami Rosmah semakin sesak. Hari-hari akhir semakin dekat.
Pada tahap ini,
persepsi yang diwujudkan melalui ruang siber telah merebak dan mempengaruhi
golongan perniagaan. Nilai ringgit berbanding dengan dolar semakin susut. Di
sempadan Siam dan di Kota Jakarta, pengurup wang mula enggan menerima ringgit.
Mereka tidak mahu rugi kerana nilai tukaran ringgit terus merudum.
Dalam masa yang sama di
Bursa Saham Kuala Lumpur saban hari nilai saham jatuh beberapa mata. Semua ini
memperkuatkan lagi persepsi bahawa suami Rosmah tidak ada pilihan melainkan
berundur.
Lalu timbul soalan
untuk Najib Razak:
Najib Razak telah
menerangkan kepada rakyat Malaysia bahawa duit sebanyak 700 juta dolar bersamaan
RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya itu sebenarnya adalah wang
derma.
Ya ampun ya maulana –
jika duit ini duit derma kenapa tidak diumumkan pada hari pertama berita ini
meledak dalam Wall Street Journal? Kenapa baru sekarang hendak
diterangkan?
Ya ampun ya maulana –
jika duit RM2.6 bilion ini wang derma kenapa pula Muhyiddin Yassin dan Shafie
Apdal ditendang keluar dari kabinet?
-malaysiakini-
No comments:
Post a Comment