Monday, August 24, 2015

Nostalgia dan kenangan suka duka dengan Pas sangat banyak, tapi ...

 



Oleh Mohd Sayuti Oamr

Hormat semua. Lewat malam tadi seorang pimpinan tertinggi GHB telefon saya minta untuk minum

malam dengan saya. Saya tinggalkan buku yang baru saya hadap dan terus berjumpa pemimpin berkenaan.

Banyak perkara yang diajukan kepada saya dan beliau juga memberi tahu perkembangan dalam GHB yang positif dan memberangsangkan.

Yang nyatanya dia sedih dan amat berat untuk mengambil keputusan komited dan bersama GHB.

Nostalgia dan kenangan suka duka dengan Pas sangat banyak. Bahkan katanya Paslah yang mengajarnya erti perjuangan, politik dan juga merasai tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.

Tetapi apa boleh buat, disebabkan pimpinan baru dalam Pas, khasnya budak-budak yang baru mengenal kuasa dan kedudukan dalam Pas semacam enggan berkompromi dan berdamai dengan pihak yang kalah dalam pemilihan, mereka juga tidak hentikan maki hamu dan cercaan, dia menjadi begitu angkuh, akhirnya dia membuat keputusan amat berat.

"Sheikh jangan salah sangka kepada ana, ana sudah habis berfikir dan keputusan yang mungkin ana ambil ini dijerkahi oleh sejarah," katanya.

Saya mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa dan faham kenapa dia memanggil dan menjelaskan situasi dirinya. Dia sangat mengingati saya dalam keadaan apa sahaja. Dia juga seorang kawan yang saya sanjungi.

Saya nampak kedua belah matanya berkaca, kemudian dia menundukkan muka ke meja dan menangis seperti budah. Ah... beginilah keadaan seorang pejuang yang ada moral dia akan berfikir panjang sebelum mengambil keputusan.

"Apakah enta sudah istikharah seperti mana diajar oleh Tok Guru Nik Aziz?' soal saya selepas dia mengangkat muka dengan belenjaan air mata.

"Hah..." dia mengangguk dan airmata berberai di atas meja. Dan malam tadi sepanjang malam saya tidak bisa melelapkan mata kerana mengenang kawan itu.

Kenyataan dari MP DAP Bukit Bendera & GHB Pulau Pinang berkenaan isu Kg. Mutiara



Perjumpaan JK Khas (Ghb) Kg Mutiara dgn YB Zairel.


Fakta.

1. Kes ini adalah antara Penduduk Kg Mutiara dengan Tuan Tanah.

Ringkasan.

Tanah Kg Mutiara asalnya milik Lorraine Osman.

Atas sebab2 tertentu, Bank melelong tanah tersebut dan dibeli oleh Tuan Tanah sekarang pada 2007.
Tuan Tanah selaku Plaintif, telah memfailkan di Mahkamah supaya penduduk mengosongkan tanah miliknya.

Kes ini telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi, seterusnya di Mahkamah Rayuan, memihak kpd Tuan Tanah.

2. Kes ini pada asal dan awalnya dikendalikan oleh Umno. 'Kebetulan' majoriti penduduk Kg Mutiara adalah ahli dan/atau penyokong Umno.

3. Tanah Park Royal Hotel.

Sebahagian penduduk Kg Mutiara sebelum ini menduduki tanah Hotel Park Royal. Bila Hotel Park Royal dibina, mereka berpindah ke Kg Mutiara.


4. Sehingga hari ini, TIDAK PERNAH ADA perundingan/perbincangan antara Penduduk dgn Tuan Tanah.

Atau antara Penduduk dengan Kerajaan Negeri.

Yang ada, adalah naik turun mahkamah yg akhirnya tetap berpihak kpd Tuan Tanah.

5. Oleh kerana kes ini kes yg melibatkan penduduk dan tuan tanah, dan pada asal dan awalnya dikendalikan oleh Umno, Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam kes ini.

6. Peranan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri akan berpegang kpd polisi pentadbiran nya; iaitu TIDAK AKAN MELULUSKAN apa jua projek memajukan tanah tersebut SEHINGGA penduduk diberi pampasan yang sewajarnya.

Hingga hari ini, Tuan Tanah tidak hantar apa2 permohonan untuk memajukan tanahnya.

7. Tuan Tanah tidak mengemukakan apa apa permohonan untuk memajukan tanahnya, sebaliknya, mengguna kuasa Mahkamah supaya penduduk mengosongkan tanahnya.

8. Atas kuasa tersebutlah, kampung tersebut sepatutnya dirobohkan pada hari ini, 24.8.15.

9. Atas pandangan keselamatan pihak polis, mereka menangguhkan perobohan ini selama 2 minggu.

10. Ambil maklum, bahawa TIADA PERNAH PERUNDINGAN RASMI antara Penduduk vs Tuan Tanah , dan Penduduk vs Kerajaan Pulau Pinang.

YB Zairel , TKM1, dan YB Mujahid akan cuba membawa Tuan Tanah ke meja rundingan BUAT PERTAMA KALI.

Ini akan dilakukan dalam masa 2 minggu ini.

Semoga dipermudahkan Nya dan berjaya.

Dr Zaidi Zakaria
Wakil JK Khas (Ghb) Kg Mutiara.

Ini pula kenyataan MP Bukit Bendera..

Bantah sebarang projek pembangunan di atas tanah Kampung Mutiara selagi pampasan adil tidak diberikan kepada penduduk

Penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi yang sudah menetap di kawasan tersebut sejak 50 tahun dahulu kini berhadapan dengan tindakan pengusiran berikutan penghakiman mahkamah bertarikh 3 Julai 2012, perintah bertarikh 20 April 2015, writ milikan bertarikh 25 Jun 2015, dan akhirnya, notis keluar bertarikh 9 Julai 2015.

Kemelut Kampung Mutiara, yang terdiri daripada 90 lebih unit rumah kampung, telah bermula pada tahun 2007 apabila pemilik baru, Encik Loke Leng Seak, telah membeli hartanah Lot 39 dan 40, Seksyen 1, Daerah Timur Laut, Bandar Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang berukuran seluas lebih kurang 3.5 ekar.

Setahun kemudian, Encik Loke telah memulakan tindakan mahkamah untuk mengusir penduduk kampung tanpa sebarang pampasan kepada mereka. Walaupun tidak bercanggah dengan kanun tanah negara, namun tindakan ini merupakan tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Di bawah garis panduan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana pelan pembangunan tidak akan diluluskan tanpa pampasan adil dan setimpal kepada penduduk di kawasan tersebut. Sebagai contoh, di Kampung Chetty, iaitu sebuah kampung berdekatan dengan Kampung Mutiara, pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah (LMC) telah diberi sebagai ganti rugi bagi setiap rumah yang dikosongkan. Ini adalah hasil rundingan antara penduduk dan pihak pemaju dengan Kerajaan Negeri sebagai pemudahcara.

Namun begitu, dalam kes Kampung Mutiara, sampai sekarang tidak ada sebarang permohonan kebenaran merancang yang dibuat. Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak mempunyai locus standi untuk menolak atau menyekat tindakan mahkamah yang diambil oleh tuan tanah Encik Loke.

Pun begitu, kami selaku wakil rakyat tempatan bertekad akan membantah dan mendesak Kerajaan Negeri untuk menolak sebarang projek pembangunan di atas Lot 39 dan 40 Kampung Mutiara, selagi pampasan yang adil dan setimpal tidak diberi kepada semua penduduk kampung tersebut. Kami berpendapat bahawa pampasan bagi penduduk yang sudah berpuluh tahun menetap di situ adalah suatu hak asasi yang wajib ditunaikan atas prinsip perikemanusiaan.

Teh Yee Cheu
Adun Tanjong Bunga

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang

Anwar tetap calon PM...........

Jika Anwar PM ...
DAP tetap dengan ikrar mereka mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

DAP serta gabungan pembangkang yang akan terus menyokong Anwar sebagai bakal Perdana Menteri bagi pilihanraya umum ke-14 akan datang.

Jika Anwar yang menjadi PM Malaysia sekarang, negara tidak akan dilanda krisis politik, ekonomi dan kepimpinan seperti yang berlaku pada masa ini.
6 bencana yangberlaku sekarang dijamin tidak akan menimpa Malaysia berlaku jika Anwar adalah Perdana Menteri.

1) tidak akan berlaku krisis 1MDB yang mana sejak lima tahun lalu telah menghakis keyakinan ekonomi nasional dan antarabangsa serta iklim pelaburan di Malaysia.

2) tidak akan berlaku skandal wang RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, sama ada daripada 1MDB atau sumber lain, kerana Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan jelas mentakrifkan “derma” sebagai satu bentuk suapan rasuah untuk mendapat balasan kecuali dibuktikan sebaliknya.

3) tidak akan wujud Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah membebankan rakyat, peniaga kecil dan usahawan yang sehingga ada yang terpaksa tutup kedai.

4) keyakinan ekonomi tidak akan merudum sehingga menjatuhkan nilai ringgit kepada tahap paling lemah sejak 1998.

5) krisis ekonomi tidak akan jatuh teruk di mana rizab pertukaran asing Malaysia telah merudum di bawah USD100 bilion (RM392 bilion) untuk kali pertama sejak 2010.

6) kerajaan dan negara tidak akan retak teruk dan berpecah-belah di mana rakyat dan warga dunia telah menyaksikan “kegilaan sembilan hari di Putrajaya” di mana “perang” telah berlaku di antara polis dan SPRM.

Rakyat dan negara rugi kerana Anwar bukan PM, sebaliknya beliau terpaksa meringkuk di dalam Penjara Sungai Buloh.

Pelbagai usaha,termasuk reformasi melawan korupsi, menghidupkan pentadbiran berasaskan undang-undang, memastikan kebebasan dan integriti institusi nasional, menyokong media bebas, mengukuhkan pentadbiran baik, perlu dilaksanakan bagi memulihkan reputasi Malaysia.

'BERSIH diperlukan kerana Malaysia dalam ICU'




Momentum BERSIH 4 sedang meningkat di Pulau Pinang, dengan kira-kira 600 orang menghadiri forum anjuran Aliran malam tadi.
Ruang forum penuh sesak, dengan ramai lagi duduk di atas lantai, serta di luar dewan Kompleks Masyarakat Penyayang.
Timbalan Ketua BERSIH, Sarajun Hoda memuji penduduk Pulau Pinang yang datang beramai-ramai walaupun pada malam Isnin, dengan berkata mereka sentiasa menunjukkan contoh yang baik mengenai kuasa rakyat, terutamanya apabila mereka mengundi kerajaan baru pada tahun 2008.
"Sebab kita ada otak," kedengaran laungan seseorang dari kalangan hadirin, yang disambut dengan tepukan dan gelak ketawa orang ramai.
Mereka terkejut apabila Sarajun (foto) menunjukkan presentasi Powerpoint mengenai 45 agensi kerajaan yang secara langsung di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Najib mahu mengawal segala-galanya!" kata Sarajun, sambil menambah bahawa itulah sebabnya mengapa BERSIH perlu kerana Malaysia "sakit", dan perlu diselamatkan kerana negara "sekarang dalam ICU".
Presiden Aliran, Francis juga terkejut dengan jumlah kehadiran yang begitu besar, yang menurutnya "tidak dijangka".
Loh berkata BERSIH telah memberi kekuatan kepada rakyat kerana rakyat Malaysia tidak lagi takut untuk menyatakan pandangan mereka.

Video Mesyuarat Umno Di Kedah Desak Najib Letak Jawatan


 

video


Naib Pengerusi Umno Cawangan Kampung Kuala Sin, Abd Karim Ali mempertahankan hujah dan usulnya pada persidangan Mesyuarat Perwakilan Bahagian Merbok, Kedah, 22 Ogos lalu yang menggesa Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Kecewa dengan isu yang melanda parti Melayu terbesar itu, Karim, 51, yang juga bekas ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok berkata, perubahan perlu dilakukan demi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.

"Hari ini semua orang tahu apa yang berlaku, kita tidak boleh bersembunyi lagi. Rakyat yang akan undi pada pilihan raya nanti seramai 15 juta orang.

"Kita (ahli Umno) hanya 3 juta saja. Jadi saya merayu sangat presiden berundur," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Dia (Tajul) hanya mahu lari daripada isu. Sewaktu saya usulkan, tiada sebarang bantahan dan undi sebulat suara.

"Kenapa ketua bahagian tidak bantah semasa usul tersebut dibentangkan? Semua sudah undi bersetuju," katanya.

Karim berkata, ia bukan satu kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan usul seperti dilaporkan portal Malaysiakini sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata ia cadangan untuk membuat pindaan kepada usul dan mendapat sokongan sebulat suara melalui undian semua perwakilan, termasuk ahli jawatankuasa (AJK) bahagian.

Malah, pengerusi tetap persidangan Umno juga katanya meluluskan dan menerima usul pindaan ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan ketua Bahagian Merbok menafikan kenyataan Karim itu sebagai usul mesyuarat sepertimana yang dispekulasi pengguna media sosial.

Karim dikatakan hanya mengeluarkan kenyataan itu ketika membahaskan usul politik.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah, Anuar Abd Hamid turut berkata usul tersebut sebulat suara diterima pada hari tersebut.

Beliau turut mendesak pemimpin nombor satu parti itu berundur untuk menyelamatkan Umno.

"Semua sebulat suara. Lepas tepukan gemuruh diterima perwakilan tersebut, kita buat undi dan semua sebulat suara terima," katanya kepada The Malaysian Insider.

Anuar, 64, ketua cawangan selama lebih sedekad itu juga menggesa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan dengan kadar segera.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu yang disifatkan memberi kesan kepada imej parti itu.

"Tubuhkan RCI, siasat segera. Kini saksi sudah hilang. Macamana nak selesaikan isu 1MDB ini?," soalnya.

Anuar berkata, mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Merbok pada 22 Ogos lalu mempunyai lebih 130 cawangan dengan anggaran hampir 600 perwakilan.

Katanya, mesyuarat itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

Karim dan Anuar menjadi perhatian di media sosial apabila video perbahasan mereka pada mesyuarat Sabtu lalu dimuat naik ke laman Facebook.

Sebelum ini pada 16 Ogos, Pemuda Umno Bahagian Tampin di Negeri Sembilan sebulat suara menerima dan meluluskan usul meminta Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian itu.

Usul tergempar diketengahkan ahli Pemuda Cawangan Kampung Ulu Ladang, Azman Abdullah. Ia mendapat sambutan positif daripada majoriti lebih 200 ahli yang hadir. – 25 Ogos, 2015.

- tmi

Dosa dosa Tun M yg ramai tahu tapi tak pernah diceritakan


DOSA DOSA MAHATHIR SEPANJANG 22 TAHUN MEMERINTAH !!

Oleh Tun Telanai



Sejak kebelakangan ini mantan PM ke-4, Dr.Mahathir Mohamad mula menunjukkan yang ia seorang negarawan tulin yang kononnya ia mementingkan kebajikan rakyat dan kepentingan Negara sepanjang 22 tahun ia memerintah.

Memandangkan usianya semakin lanjut dan kesempatan yang masih berbaki, maka beliau menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk mempertahankan dirinya daripada kutukan dan cacian generasi muda terutama di masa beliau sudah tiada lagi di dunia ini.

Oleh itu, beliau cuba membetulkan persepsi rakyat terhadap kerakusan beliau ketika ia berkuasa. Langkah pertamanya ialah dengan menyalahkan pasukan polis dalam ‘Operasi Lalang 1987’ dan melahirkan kekesalan beliau terhadap pasukan polis yang menolak cadangan beliau untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Adalah dijangkakan banyak lagi isu-isu yang berkaitan dengan dirinya akan dibangkitkan pada masa terdekatkan ini bagi membersihkan dirinya seperti kes pembunuhan beramai-ramai di Memali, kes pemecatan Tun Salleh Abas dan banyak lagi kes-kes yang menjadi kontroversi yang masih tersimpan kemas dalam karbinet besi berkunci. Semua kes ini akan terbongkar ketika beliau dan UMNO tidak berkuasa lagi di satu masa nanti. InsyaAllah.

Di bawah ini saya perturunkan perkara-perkara yang mana pada pandangan dan anggapan saya adalah satu perbuatan jenayah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang telah dilakukan Mahathir dan juga ahli-ahli kabinetnya sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri :

1. Menyekat penyiasatan atau pendakwaan ke atas kroni-kroni kanan BN seperti kes:
  • Pemberian saham oleh Rafidah Aziz, ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada menantunya yang telah disiapkan kertas pertuduhan oleh Peguam Negara, tetapi tidak didakwa kerana ditutup failnya oleh Peguam Negara kononnya kekurangan bukti.
  • Penyiasatan ke atas bekas Ketua Menteri Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik tentang penglibatan beliau dalam kes rogol pelajar bawah umur dan pengamal rasuah yang tersohor.
  • Sekatan ke atas siasatan BPR dalam kes rasuah bekas Gabenor Bank Negara, Ali Abul Hassan Sulaiman yang didedahkan secara bersumpah oleh bekas Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
2. Kegagalan dan melambatkan proses penyiasatan ke atas kroni-kroni BN
  • Penyiasatan lanjut ke atas kes Perwaja dan Eric Chia (kerana perbicaaan dilakukan secara olok-olok yang akhirnya Eric Chia dibebaskan dan sudah pun meninggal dunia). Kes Eric Chia kini diulang tayang semula dengan pendakwaan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik dituduh terlibat menipu kerajaan dalam skandal PKFZ yang mana dijangkakan Ling juga akan turut dibebaskan seperti mendiang Eric Chia.
  •  
  • Penyiasatan kes BMF dan kes pembunuhan saksi utama dalam skandal BMF.
  •  
  • Penyiasatan kes pelaburan Tabung Haji bernilai RM200 juta yang diluluskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Hamid Othman.
  •  
  • Kes penyelewengan saham MAIKA Holding oleh bekas Menteri Kerja Raya dan bekas Presiden MIC S Samy Vellu.
  •  
  • Penyiasatan kes bekas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Perpaduan Negara, Dr Siti Zaharah Sulaiman yang menyeludup kereta mewah Mercedes Benz S320.
  •  
  • Penyiasatan kes membaik pulih rumah Menteri Besar Selangor dengan kos RM5 juta Khir Toyo dan lain-lain kegiatan rasuahnya yang telah dilaporkan secara detail kepada SPRM. Khir kini menghadapi satu kes daripada berpuluh kes yang dilaporkan. Khir hanya didakwa memiliki tanah dan rumah mewah bernilai jutaan ringgit sahaja. Itu pun dijangka akan dibebaskan juga kerana ia merupakan lakonan Najib mahukan rakyat tahu bahawa yang beliau anti kepada pemimpin yang rasuah. Persepsi rakyat: 
  • Mahkamah adalah sebuah institusi ‘pembersihan’ bagi para pemimpin UMNO yang dituduh kurop, kemudian dibebaskan oleh mahkamah dengan alasan yang lapok yang rakyat bosan mendengarnya. Mahkamah Malaysia bukan institusi menegak kebenaran dan keadilan.
3. Menyelewengan dana-dana awam untuk membantu kroni BN
  • Merompak wang royalti minyak Terengganu dan ditukar menjadi wang ehsan untuk kegunaan politik UMNO ketika PAS memerintah Terangganu dari tahun 1999 hingga 2004.
  • Mengagihkan projek lebuh raya Utara Selatan kepada syarikat milik Umno, UEM bagi tujuan membiayai pembinaan Ibu Pejabat UMNO, PWTC.
  • Memaksa Kumpulan Wang Simpanan Guru-guru (KWSG) menyelamat (bail out) 50.6 peratus saham MAS milik Naluri Sdn Bhd dengan harga RM8 sesaham ketika harga semasanya RM3.60 sesaham.
  • Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tajuddin Ramli yang bernilai RM1.8b.
  • Pengambilalihan syarikat UMNO, Renong dan UEM oleh kerjaan melalui Dana Harta.
  • Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL dengan penguasaan 80 peratus saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation.
  • Penyuntikan modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil alih oleh bank milik Umno, Bank of Commerce dan membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCB).
  • Pembelian saham Technology Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta .
  • Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom.
  • Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS.
  • Memaksa Petronas membeli saham Proton.
  • Memaksa Petronas mengambil alih Litar Sepang.
  • Memaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain.
  • Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian.
  • Pemilikan 200 syarikat oleh Mirzan Mahathir.
  • Kes anak Ling Liong Sik memiliki harta RM1b ketika berusia 28 tahun.
  • Penglibatan keluarga Daim Zainuddin dalam pelbagai jenis perniagaan, dan
  • Penglibatan adik dan anak Abdullah Ahmad Badawi dalam perniagaan.
4. Menyalahgunakan akta-akta draconian seperti ISA, OSA dan Akta Cetak dan Mesin Cetak bagi tujuan kepentingan politik UMNO:
  • Kes ISA seperti Operasi Lalang (1987), Operasi Kenari (1989), al-Arqam (1994), Reformasi (1998), al-Maunah (2000) dan KMM (2001).
  • Kes OSA seperti kes Mohd Ezam Mohd Noor (2002).
  • Kes Akta Cetak dan Mesin Cetak seperti kes Lim Guang Eng (1999).
5. Menyekat kebebasan badan penguatkuasa
  • Campur tangan terhadap tugas-tugas polis
  • Mengganggu penyiasatan BPR
  • Menghalang pendakwaan oleh Peguam Negara, dan
  • Mencampuri tugasan SPR dalam urusan pilihan raya.
6. Mengagihkan tender-tender secara runding terus kepada kroni yang tidak berkelayakan sehingga menyebabkan kes-kes seperti:
  • Keruntuhan makmal computer;
  • Kegagalan menyiapkan 2,192 makmal komputer dalam fasa pertama;
  • Terbengkalainya projek perumahan polis di Batu Pahat;
  • Keretakan PULAREK; dan
  • Penyelewengan pembekalan alat-alat saintifik ke Kolej Matrikulasi.
7. Mempengaruhi integriti dan kebebasan kehakiman
  • Kes Anwar Ibrahim (kes liwat 1)
  • Kes fiasco Tun Salleh Abbas;
  • Percutian Ketua Hakim Negara, Mohd Eusoff Chin bersama VK Lingam.
  • Kes tape Lingam, Suruhanjaya Diraja yang terlibat menyiasata kes ini mencadangan beliau bersama 5 orang lagi disiasat lanjut. Nazri Aziz kata tiada kes, maka kes ditutup.
  • Campur tangan seorang hakim kanan dalam pengendalian kes pengundi hantu DUN Likas.
  • Pendedahan oleh Datuk Syed Aidid, bekas Hakim Mahkamah Tinggi tentang 112 kes rasuah hakim-hakim.
  • Penghapusan bukti dalam kes seks DP Vijandran.
  • Perlantikan Mohtar Abdullah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan setelah beliau terlibat membebaskan Rahim Tamby Chik, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Rafidah Aziz dan sebagainya ketika menjadi Peguam Negara, dan
  • Perlantikan Ariffin Jaka dan Agustin Paul (sudah meninggal dunia kerana mengidap barah) sebagai Hakim Mahkamah Agung.
8. Kerugian dan penyelewengan dana-dana awam
  • Penyelewengan RM 40 juta wang PPRT;
  • Kerugian pelaburan Tabung Haji;
  • Kerugian RM15b Bank Negara;
  • Kerugian RM40 juta AIM;
  • Kerugian LRT Putra dan LRT Star; dan
  • Kemerosotan keuntungan KWSP hampir RM600 juta pada 2000.
9. Menghina dan menyekat Islam
  • Merancang membuang nama Islam daripada pertubuhan Islam;
  • Mengucapkan penghinaan ke atas sunnah-sunnah Nabi;
  • Mengucapkan penghinaan ke atas hukum-hukum Tuhan;
  • Membiarkan penulis-penulis menghina hukum Allah, Islam, nabi dan ulama;
  • Menyekat dan memperkecilkan sekolah agama rakyat; dan
  • Memecat Mufti Selangor kerana mempertahankan tiga orang ratu cantik.
10. Menghapuskan hak istimewa Melayu dan Bumiputera
  • Menutup dua MRSM di Terengganu;
  • Menutup sekolah agama rakyat; dan
  • Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Matematik dan Sains di sekolah.
Atas beberapa keadaan inilah maka saya berpandangan bahawa:

  • Dr Mahathir Mohamad sepanjang menjadi Perdana Menteri telah melakukan pelbagai jenayah atau melindungi kegiatan jenayah dengan menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri;
  • Dr Mahathir Mohamad telah menyalahgunakan dana-dana awam untuk membantu kroni-kroni, kaum keluarga dan kepentingan-kepentingan BN;
  • Dr Mahatir Mohamad juga telah melakukan pelbagai penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan termasuk membiarkan berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya;
  • Dr Mahathir Mohamad juga telah menggunakan kuasanya untuk mencampuri urusan badan-badan penguatkuasa dan menghalang kebebasan kehakiman; dan
  • Dr Mahathir Mohamad telah melakukan pencabulan ke atas hak asasi rakyat, mencabul kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan mencabul hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera.
Oleh yang demikian, Dr.Mahathir perlu disiasat bagi menentukan sejauh mana keterlibatan beliau dalam pelbagai jenayah, penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang 22 tahun memerintah negara ini. Pihak polis yang kena belasah oleh Dr Mahathir sekarang perlu membuat penyiasatan menyeluruh tentang kegiatan jenayah yang sebutkan di atas.

KEDAH - ISTANA MULA MENDESAK



ISU tuntutan Kedah terhadap Kerajaan Persekutuan, berhubung sumbangan besarnya dalam mengekalkan kawasan tadahan air untuk tujuan penanaman padi bergema lagi.
Pengerusi Majlis Pemangku Sultan Kedah, Tunku Salehuddin Tunku Badlishah ( gambar ) ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini, membangkitkan semula isu yang agak lama terbenam itu.

Tunku Salehuddin berkata, kerajaan negeri berkorban 240 ribu hektar kawasan hutan dijadikan kawasan tadahan, demi membekalkan air yang mencukupi kepada aktiviti penanaman padi, di mana Kedah membekalkan 35 peratus dari hasil beras negara. “Oleh kerana itu, Kedah harus diberi peruntukan tambahan yang setimpal oleh kerajaan Persekutuan di atas pengorbanan yang telah dilakukan.

Di zaman Dat0’ Seri Syed Razak jadi Menteri Besar, kerajaan Negeri sudah membuat tuntutan pada Pusat sebanyak RM100 juta setahun.

Masa itu Perdana Menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Tuntutan tidak ditunai. Mungkin ada kaitannya dengan pengakuan Tun bahawa beliau seorang yang kedekut. Pada ketika Dato’ Seri Mahdzir Khalid ( gambar ) jadi Menteri Besar tuntutan tidak disambung. Agaknya, malu alah Mahdzir terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan tuntutan tidak dibuat.

Apabila Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan jadi Menteri Besar, tuntutan kewangan begitu mendesak. Maklumlah Allahyarham membuat pelbagai projek besar untuk kepentingan rakyat, sedangkan Pusat tidak membantu. Pusat hanya menghulurkan bajet yang menjadi kewajipan mereka mengikut peruntukan dalam perlembagaan. Tiada tambahan.

Maka sekali lagi Kedah, melalui Ustaz Azizan selaku Menteri Besar, mendesak Pusat memberikan sumbangan terhadap negeri ini terhadap jasanya dalam menjamin keselamatan bekalanan makanan negara. Malah beliau pernah membuat kenyataan seolah-olah mengugut untuk menebang balak di kawasan tersebut jika tuntutan tidak dipenuhi. Ustaz Azizan tidaklah sampai melakukannya, namun Pusat juga tiada hati budi langsung untuk menunaikan tuntutan Kedah itu.

Hari ini bila tuntutan tersebut bergema semula di Sidang DUN, ia dikemukakan oleh pihak istana pula.



Kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Mukhriz sepatutnya melakukan tindakan susulan. Tapi masakan tuntutan yang besar itu dapat ditunaikan Pusat, sedangkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dijaja kerajaan negeri Kedah saban waktu pun tidak dipedulikan Najib.





Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa menegaskan bahawa banyak perkara yang melibatkan kebajikan rakyat dapat dibuat jika kerajaan tuntutan RM100 juta itu dipenuhi. RM100 juta itu bukanlah terlalu banyak. Ia hanya kirakira 0.04 peratus dari RM2.6 bilion yang didermakan jutawan Arab kepada Najib.

RM100 juja boleh dimanfaatkan oleh kerajaan negeri untuk membantu para penoreh yang tertekan dengan kejatuhan harga komoditi tersebut. Setakat ini kerajaan negeri hanya mampu menyumbang bungkusan gula kopi yang bernilai RM50. Ia tidak boleh membantu mengurangkan beban penoreh untuk sekurang-kurangnya enam bulan.
Kedah mempunyai rakyat yang terbabit dengan kegiatan penanaman padi paling ramai di Malaysia.

Mereka perlu menyara keluarga melalui hasil padi sedangkan pelbagai cabaran terkini yang datang menerpa aktiviti penghasilan padi.

Penyakit dan bencana alam menjadi cabaran utama. Hampir setiap musim ramai petani yang kerugian angkara penyakit dan banjir yang menenggelamkan sawah. RM100 juta adalah terlalu besar untuk dimanfaatkan kepada para petani yang menjadi ‘pegawai keselamatan makanan’ sepenuh masa.

Selain dari penyakit padi, nampaknya penyakit tidak mahu menghargai keringat pesawah padi yang berkorban untuk negara turut mencengkam. Berbilion wang negara dihilangkan atas alasan yang tidak munasabah namun mereka kedekut untuk menghulurkan sedikit dari wang tersebut untuk membalas pengorbanan rakyat Kedah.
Setelah mendapat signal dari istana terhadap tuntutan tersebut, adalah Mukhriz akan meneruskannya?

Mukhriz pun berserabut juga sebenarnya. Jangankan hendak menuntut RM100 juta wang pengorbanan menjaga keselamatan makanan negara, menuntut bajet terhadap enam projek mega yang disebut dalam Sidang DUN Bajet tahun lalu pun masih gagal.

Entahlah apa nak jadi pada Kedah di bawah BN? Mandat yang diberi oleh rakyat pada PRU13 lalu hanya sia-sia. Rakyat tidak dapat manfaat apa-apa selain dari kenyang menelan retorik politik BN sepanjang dua tahun ini.

Elok benar tindakan PAS Kedah melancarkan kempen Tolak BN pada 22 Ogos nanti, yang menghimpunkan sebahagian besar kepimpinan PAS Pusat yang akan turun menggempur Kedah nanti. Ia satu permulaan terbaik untuk mengembalikan PAS pada persada kuasa di Kedah setelah BN gagal.

Surat terbuka buat Abang Mat Sabu





Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR 
 
PAGI ini saat bergegas di kaunter pesawat tambang murah bandara kuala Terengganu, saya berpapasan dengan ikon anak muda dekad 80-an yang juga abang saya dalam perjuangan, iaitu Haji Mohamad Sabu. Tak terkesan dengan gelombang yang menimpa parti Islam pasca muktamar, Abang Mat tetap dengan senyuman khasnya kepada saya, bercanda dan kami bersarapan bersama di cafe bandara.

Abang Mat bersama Hanipa Maidin dan tim GHB semalamnya berceramah di Dataran Syahbandar Kuala Terengganu, manakala saya, Datuk Tuan Ibrahim, Dato Nik Amar berceramah di Dataran PGU Jerteh Besut.

Abang Mat meneguk minuman dan menelan beberapa biji pil ubat, bercerita tentang umur dan tahap kesihatan. Beliau masih bebas daripada penyakit yang biasanya dihinggapi insan seangkatan dengannya. Generasi pejuang dekad 80-an yang pernah mendekam dalam tahanan ISA seangkatan beliau telah ramai pulang kerahmatullah. Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Stimat Jusuh, Zainuddin Abdullah, Shuhaimi Said dan teman-teman angkatan pemuda dekad 80-an telah pulang menemui Tuhan. Abang Mat masih sihat dan sentiasa dengan guratan wajah ceria.

"Enta... takdak penyakit lagi ke ?" Tanyanya jujur dengan tatapan mata berseri
"Belum lagi Abang Mat...hi hi" jawabku separuh jujur dan tak pasti. Apabila disemak status kesihatan, kelihatan masih sihat tetapi jika kurang tidur akan merasa pening.
"Enta makanlah... sebelum ada apa-apa penyakit mai," katanya berlucu.

Saya tidak sempat menghabiskan sepinggan nasi berlauk ayam dan kopi panas apabila pembesar suara bandara memanggil nama saya untuk menaiki pesawat dengan segera. Menyalami Abang Mat dan teman-teman yang lain saya berlari ke ruang perlepasan. Dalam pesawat, benak akal saya menerawang jauh, mengimbau kisah hidup seorang tokoh yang pernah mencuat namanya dalam pentas anak muda radikal negara ini dekad 80-an dan 90-an.

Abang Mat alumni ITM, memulakan langkah bersama gerakan pelajar, seterusnya bersama gerakan sosio politik anak muda, ABIM. Awal dekad 80-an, beliau aktif berceramah dan vokal menentang regim Mahathir sehingga membayar harga yang mahal iaitu dihumban ke jeriji tahanan politik ISA. Antara rakannya Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abdul Mohamad ditahan tanpa bicara. Beliau berceramah saat manusia ramai masih paranoid dengan PAS dengan tema kembali kepada pemerintahan Islam, menjulang kepimpinan ulama serta mendobrak regim tirani BN.

BN dan Umno mengganasi aktivis-aktivis PAS tanpa sepicing rasa malu dalam dekad 80-an. Berlakunya pembunuhan di Lubuk Merbau, Kedah, peristiwa Memali, operasi lalang, operasi kenari dan pelbagai tekanan terhadap amilin PAS. Abang Mat tabah mengharungi euforia "negara polis" tajaan regim BN. Parti melihat potensi yang ada pada abang Mat dan beliau diberikan bertanding di Parlimen Nilam Puri Kelantan pada tahun 1990.

Beliau menang di Parlimen tersebut dan namanya tercatat di papan carta utama pemain politik negara ini. Suaranya dirindui rakyat di podium ceramah, bidasannya vokal di Parlimen, disenangi oleh anak-anak muda termasuk saya yang mencandui ceramahnya semenjak bangku sekolah menengah dan universiti. Abang Mat sentiasa mendengungkan kewajiban memenangkan Islam, memuliakan ulama dan terus istiqomahkan diri bersama PAS diposisi mana pun kita berada.

Saya berada dalam Dewan pemuda dalam tempoh dua dekad dan Abang Mat begitu dekat dengan anak muda, mudah berkira dan senang diurus. Tanpa jawatan diruang legislatif sekali pun, beliau masih aktif bertemu rakyat dan berceramah ke seluruh belahan negara. Watak dan sisi putih yang paling saya sukai daripada Abang Mat ialah beliau tahan bergurau dan tidak kisah dengan ugutan.

"hangpa maki la aku... rambut bercacak macam aku ni... tahan kena maki" dia menyeringai berlucu. Sikap itu menyebabkan beliau mempunyai ramai teman dan anak buah.

Saya mengimbau kembali fasa dua tahun terakhir ini, saya mengambil sisi kritis terhadap Abang Mat. Berhujah dalam banyak isu yang saya tidak senangi dalam mesyuarat seperti isu Jokowi, Langkah Kajang dan lain-lain lagi. Beliau tetap Mohamad Sabu yang saya kenali dengan rapat belasan tahun yang lalu. Beliau datang makan berselahan saya usai mesyuarat PAS Pusat sambil tetap ceria bergelak tawa. Jiwanya besar sesuai dengan segudang pengalamannya bersama PAS, bersepuh semangat khursani membadai perjuangan.

Dalam ruang terbatas ini, saya menyeru Abang Mat supaya kembali bersama PAS sebagaimana Abang Mat bergulat dalam tempoh panjang 37 tahun berjuang, semenjak zaman mudanya. PAS mempunyai berkahnya tersendiri, berdiri teguh 64 tahun menggeluti medan siasah, dakwah dan tarbiah. Harakatul ummah ini mempunyai ahli-ahli yang ikhlas, yang curang akan menggelunsur jauh.

Abang Mat mesti faham denai sejarah PAS, bagaimana firqah atau kumpulan serpihan PAS semenjak dekad 70-an hilang ditelan masa. Kelompok anak muda yang menentang PAS bersama kerajaan campuran awal 70-an, Parti BERJASA, HAMIM, ISLAH, AKIN bahkan JATI, semuanya menjadi prasasti sejarah. PAS terus membesar dan merengkuh sokongan ummah, malah terus mara dengan dokongan anak muda berpendidikan.

Kembalilah Abang Mat, ahli-ahli PAS tidak membencimu, hanya tidak terpilih di medan muktamar dan pusingan roda kepimpinan adalah suatu sunnatullah. Kita tidak menjadi hina tanpa jawatan besar, kerana perjuangan Islam memuliakan sesiapa pun yang mendokong. Saya teringatkan sesepuh PAS yang pernah kalah dalam muktamar namun mereka tetap beristiqomah bermandi keringat di medan amal Islami. Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Almarhum Ustaz Harun Taib, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik adalah contoh keteladanan yang kita semua banggai.  Kembalilah Abang Mat, kita boleh berbeda pandangan, namun tidak untuk memecahkan kesatuan ummat. Hiasilah sejarah ini dengan tinta emas kerna harumannya akan dihidu generasi mendatang!

Siapa pakar sebenar guna ‘pintu belakang’?


Oleh Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid

Mungkin rakyat lupa BN pernah menjatuhkan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009 melalui 'pintu belakang'


pintu--belakang


Berita tentang pemimpin UMNO/BN menghasut ahli-ahli partinya untuk tidak melawan 'kerajaan' telah menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Istilah 'pintu belakang' untuk menggulingkan kerajaan menjadi senjata utama pemimpin UMNO/BN menanam rasa takut dan gelisah dalam ahli partinya sendiri. Namun, kenyataan pemimpin UMNO ini meletakkan kesalahan besar menjatuhkan kerajaan sebenarnya mencerminkan kesempitan pengetahuan dan pemikiran mereka mengenai perbezaan antara 'kerajaan' dan 'parti pemerintah' dalam sistem demokrasi berparlimen.
Definisi 'kerajaan' dan 'parti pemerintah'

'Kerajaan' dan 'parti pemerintah' merupakan dua istilah yang berbeza dari segi maksudnya. Kerajaan merupakan sebuah badan yang mengawal dan mengurus pentadbiran negara. Terdapat tiga komponen utama dalam kerajaan sesebuah negara demokratik iaitu badan perundangan (Parlimen), badan eksekutif (Perdana Menteri dan Menteri Kabinet) dan badan kehakiman. Ketiga-tiga komponen ini melambangkan kerajaan sesebuah negara dan bukan hanya pihak eksekutif sahaja.

Maksud 'parti pemerintah' dalam sistem demokrasi berparlimen ialah parti yang memenangi pilihan raya dengan majoriti kerusi di parlimen. Parti yang mempunyai majoriti kerusi ini boleh membentuk sebuah kabinet untuk mengambil alih kuasa eksekutif. Mereka hanya mewakili kerajaan dalam urusan 'eksekutif' dan sebahagian 'legislatif' kerana mereka bertanggungjawab kepada parlimen. Parti pemerintah tidak semestinya kekal sebagai badan eksekutif sekiranya parti yang sedang memerintah kalah dalam pilihan raya atau dengan undi tidak percaya di parlimen.

Perkara ini bermaksud rakyat mempunyai hak untuk menukar 'parti yang memerintah kerajaan' dan kerajaan Malaysia ditadbir oleh parti yang lain. Kesimpulannya, kerajaan Malaysia akan tetap ada, cuma aktor dan pemimpinnya boleh berubah mengikut parti. Jelas menunjukkan bahawa pertukaran kerajaan merupakan satu perkara yang biasa dalam sistem demokrasi berparlimen dan berlaku dibeberapa buah negara seperti Britain, Australia dan Kanada. Tetapi di Malaysia dianggap 'salah' dan berdosa untuk guna pintu belakang. Persoalannya siapa pakar sebenar guna 'pintu belakang' untuk menjatuhkan kerajaan dalam politik Malaysia?

UMNO/BN Pernah Guna 'Pintu Belakang'

Konsep yang dibawa oleh pemimpin UMNO/BN ini sebenarnya telah jauh lari daripada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Pemimpin BN hanyalah parti pemerintah yang kini menguruskan hal ehwal pentadbiran negara dan rakyat. Badan eksekutif ini bukan sebuah badan yang tertinggi dalam kerajaan Malaysia kerana terdapat badan perundangan dan kehakiman yang akan menyemak, meneliti dan mengimbangi pengurusan badan eksekutif.

Pertukaran parti pemerintah ini pernah berlaku di peringkat kerajaan negeri seperti di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, dan Terengganu. UMNO/BN sendiri pernah menjatuhkan kerajaan negeri menggunakan 'pintu belakang'. Mungkin rakyat lupa BN pernah menjatuhkan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009. Perkara tersebut dibuat sendiri oleh Najib Razak yang menggantikan Tajol Rosli sebagai Ketua UMNO Perak semata-mata untuk menumbangkan kerajaan negeri Perak melalui 'pintu belakang'.

Lebih meragukan lagi apabila dua pemimpin PKR yang mempunyai kes rasuah dengan mahkamah ketika itu iaitu Jamaluddin Mat Razi dan Osman Mohd Jailu mengumumkan keluar parti. Mereka berdua mengishtiharkan diri mereka menjadi ADUN bebas dan kemudian menyokong BN. Jangan mudah terpedaya dengan pemimpin UMNO/BN. Mereka sebenarnya yang pakar pakai 'pintu belakang'!
Undurlah Najib Razak dan UMNO

Perkara penting yang rakyat Malaysia mahukan ialah insan bernama Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Peletakan jawatan ini tidak mungkin akan memecah-belahkan rakyat Malaysia. Tun Abdullah Badawi pernah meletakkan jawatannya tanpa berlaku perkara yang memudaratkan rakyat dan negara. Jadi kenapa Najib Razak tidak boleh membuat perkara sedemikian?

Najib Razak dan rakan-rakan menterinya hanya mendapat sokongan daripada ahli UMNO dan komponen parti BN, bukan rakyat Malaysia! Jika Najib Razak dan ahli UMNO berikrar untuk taat setia kepada parti, rakyat Malaysia pula bersumpah taat setia kepada tanah air untuk mempertahankan negara daripada mereka yang cuba merompak harta negara dan memiskinkan rakyat. Hanya ahli UMNO/BN yang takut untuk berubah dan berhijrah, tetapi bukan rakyat Malaysia!

Kerajaan Malaysia masih ada dan wujud sekiranya UMNO/BN tidak menjadi parti pemerintah. Rakyat Malaysia akan terus hidup seperti biasa walaupun BN tidak lagi menjadi parti pemerintah. Mungkin, penyingkiran UMNO/BN ini lebih membawa makna kepada rakyat dan negara merasai pentadbiran baharu dibawah parti yang berbeza. Cukuplah hampir 58 tahun memerintah negara. Tiba masanya untuk UMNO/BN berehat dan mengambil pencen awal sebelum dipecat oleh rakyat sendiri!- FMT

Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid adalah pembaca FMT

ADUYAI...DULU HARAM JADAH DAN BANGANG, KINI BANGSAT PULAK!!


shahbudindotcom

Walaupun Perdana Menteri, Najib Razak berasal daripada keluarga bangsawan dan merupakan anak Tun Razak yang disanjungi ramai, perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya kadangkala tidak sepadan dengan asal usulnya.

Ini kerana biasanya anak-anak bangsawan diajar berbudi bahasa dan menggunakan perkataan-perkataan yang lembut dan tidak kasar, sesuai dengan keperibadian mereka yang dipandang tinggi, bahkan sesuai dengan penampilan yang sentiasa berpakaian mahal dan menjamah makanan yang berkualiti setiap hari.

Jarang benar kita lihat anak-anak bangsawan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sesuai dengan penampilan mereka, apatah lagi jika sudah berjawatan Perdana Menteri.

Jika pun seseorang itu sudah menjadi bangsawan melalui kedudukan yang berjaya diraihnya, mereka juga sudah tentu akan menjaga budi bahasa dan perlakuannya.

Lihat saja Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah, baik ketika berbual secara peribadi, mahu pun dalam pengucapan awam, tidak pernah sama sekali mengeluarkan perkataan-perkataan kasar yang boleh merendahkan keperibadiannya.

Tetapi lain benar dengan Najib ini. Menggunakan perkataan kasar bukan pertama lagi dilakukannya. Semalam beliau menggunakan perkataan "bangsat" kepada orang-orang Melayu sebagai ingatan sekiranya UMNO hilang kuasanya.

Sebelum ini, ketika mengecam para peneroka Felda yang menentang penyenaraian saham Felda Global Ventures atau FGV di Bursa Malaysia, Najib menggelarkan mereka sebagai "haram jadah" kerana kononnya menolak nikmat yang cuba diberikan oleh kerajaan.

Tetapi hari ini semua orang tahu nilai saham FGV di pasaran hanya tinggal tidak sampai RM2 berbanding harga permulaannya RM4.55 ketika mula-mula disenaraikan dahulu.

Siapa yang "haram jadah" sebenarnya? Itu belum dikira dengan pelbagai skandal pembelian hartanah Felda di luar negara menggunakan duit peneroka sehingga turut mengundang SPRM menyiasat dan menahan reman beberapa orang yang disyaki mengaut keuntungan daripadanya. 

Sejak kebelakangan ini, Najib sendiri sudah lama tidak menyebut mengenai  FGV ini. Mujur juga para peneroka masih berbudi bahasa tidak memulangkan semula perkataan "haram jadah" itu kepada Najib.

Kemudian ketika melahirkan rasa kesal kepada blogger-blogger UMNO yang menerima upah tetapi tidak menpertahankan parti dengan sewajarnya, beliau menggelarkan mereka sebagai "bangang".

Blogger-blogger "bangang" ini, kata Najib, lebih ghairah menembak pemimpin sendiri daripada menyerang pihak lawan. Ramai blogger upahan UMNO tersipu-sipu malu dengan gelaran itu.

Daripada "haram jadah" dan "bangang",  kini perkataan "bangsat"  pula keluar dari mulut Najib. Akan datang, entahlah....mungkin perkataan dahsyat yang mencarut dan memaki hamun pula akan digunakannya.

Dalam kes "bangsat"  ini, bukan saja perkataan itu tidak sesuai diucapkan oleh bibir merah jambu seorang Perdana Menteri kerana ia terlihat kasar dan hanya sesuai diucapkan di tepi-tepi jalan oleh bibir-bibir hitam dan kotor, "kebangsatan"  orang Melayu juga bukanlah semata-mata kerana ketiadaan lagi kuasa yang dimiliki oleh UMNO.

Orang Melayu di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tidak pula kelihatan "bangsat" walaupun negeri-negeri tersebut bukan diperintah oleh UMNO?

Malahan ramai Melayunya yang lebih gembira, makan lebih berselera dan ketawa lebih kuat berbanding mereka yang tinggal di negeri yang dikuasai oleh UMNO.

Tidak ternampak sama sekali mereka sebagai Melayu yang "bangsat" atau terpinggir daripada rumah yang selesa kepada menghuni bawah kolong atau gelandangan jadinya.

Lebih dari itu, kalau mahu dihitung satu persatu, UMNOlah yang lebih lebih banyak "membangsatkan" bangsanya sendiri berbanding parti-parti lain di negara ini.

Melalui kuasa yang dimilikinya, siapakah sebenarnya yang lebih mengkhianati tanah, saham, permit dan sebagainya yang sepatutnya untuk mengukuhkan ekonomi Melayu tetapi dilencongkan untuk kepentingan kelompok sendiri dan menjualnya kepada bangsa lain?

Ditambah dalam era kepimpinan Najib sekarang yang tidak perlu disenaraikan lagi satu persatu caca marba dan celarunya, UMNO bukan saja sedang menuju zaman gelap, bahkan rakyat lebih ditekan lagi kehidupannya dengan pelbagai beban seperti pemansuhan subsidi, GST, kenaikan kos hidup dan sebagainya, kononnya atas nama kepentingan negara.

Isu 1MDB dan derma RM2,600 juta pula serta merta menjadikan nama negara dan pemimpinnya sebagai bahan cemuhan dan olok-olok di seluruh dunia. Daripada bangsa yang disanjung dan dihormati dengan pelbagai keupayaannya sebelum ini, Najib sebaliknya menjadikan nama negara tidak lagi indah di mana-mana.

Tidakkah malu jika wang RM2,600 juta pun kita bangga sebagai derma dan kemudian menjajanya seolah-olah itulah dana penyelamat bangsa?

Lebih malu apabila SPRM mengatakan ia hanya mengesahkannya sebagai derma saja tetapi masih belum menutup penyiasatannya lagi. Bukankah dalam takrifan SPRM, derma juga sebahagian daripada rasuah?

Hakikatnya, Najiblah yang lebih membawa "kebangsatan"  kepada Melayu itu sendiri.  Negara dan UMNO lebih mudah dipulihkan jika beliau tidak lagi menjadi ketuanya. 

Yang menentukan Melayu jadi "bangsat" atau sebaliknya bukanlah sangat disebabkan UMNO hilang kuasa atau tidak, tetapi lebih ditentukan oleh jenis pemimpinnya.