Baling - Penorah getah mula tertekan dengan turunnya harga getah
Kami dah tak tahan!
BALING - “Kami dah tak tahan, harga getah merudum teruk, tambahan pula dengan musim kemarau, memang tertekan,” luah Asyaari Abdul Rahman, 67, salah seorang penoreh getah yang mengusahakan tanaman itu sejak berusia 15 tahun.
Asyaari dari Kampung Kuala Samak merupakan salah seorang dari ratusan penoreh yang berhimpun secara aman bagi meluahkan perasaan mereka berikutan kejatuhan harga getah.
Perhimpunan aman itu berlangsung di Simpang Tiga Kejai dan turut dihadiri beberapa pemimpin setempat termasuk Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof.
Asyaari turut pernah terlibat dalam perhimpunan mogok lapar semasa kejatuhan harga getah pada 1974 sehingga mendapat campur tangan kerajaan.
Menurutnya, walaupun harga getah pada masa itu rendah, barang keperluan masih lagi murah berbanding sekarang.
“Dulu harga getah 30 sen, tetapi barang keperluan murah. Sekarang, harga gula dan ikan lagi tinggi dari harga getah sekerap,” katanya.
Kesemua penoreh meluahkan perasaan sama berikutan kejatuhan harga getah sehingga paras RM2.40 dan tempoh penurunan itu antara paling cepat dalam tempoh tiga minggu.
Asyaari dari Kampung Kuala Samak merupakan salah seorang dari ratusan penoreh yang berhimpun secara aman bagi meluahkan perasaan mereka berikutan kejatuhan harga getah.
Perhimpunan aman itu berlangsung di Simpang Tiga Kejai dan turut dihadiri beberapa pemimpin setempat termasuk Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof.
Asyaari turut pernah terlibat dalam perhimpunan mogok lapar semasa kejatuhan harga getah pada 1974 sehingga mendapat campur tangan kerajaan.
Menurutnya, walaupun harga getah pada masa itu rendah, barang keperluan masih lagi murah berbanding sekarang.
“Dulu harga getah 30 sen, tetapi barang keperluan murah. Sekarang, harga gula dan ikan lagi tinggi dari harga getah sekerap,” katanya.
Kesemua penoreh meluahkan perasaan sama berikutan kejatuhan harga getah sehingga paras RM2.40 dan tempoh penurunan itu antara paling cepat dalam tempoh tiga minggu.
20 kilogram minimum sehari
Seorang lagi penoreh, Azlan Hussin, 36, dari Kuala Pegang turut tertekan dengan keadaan itu, tambahan pula tiga anaknya masih lagi bersekolah.
Menurutnya, minimum jumlah getah diperoleh setiap hari adalah 20 kilogram bersamaan kira-kira RM48 sehari.
“Itu belum bahagi dua kepada tuan tanah, dalam sehari dapatlah RM24. Itu pun belum tentu setiap hari, kadang-kadang hujan. Tambahan pula sekarang musim kemarau, hasil getah tak berapa banyak.
“Dengan wang itulah saya berjimat untuk beli barang keperluan harian termasuk keperluan sekolah anak,” katanya.
Menurutnya, penoreh getah juga perlu mendapat perhatian tambahan lebih dari 50 peratus penduduk di Baling mengusahakan tanaman getah.
“Memang punca pencarian kami hanyalah dengan menoreh. Kalau pokok sendiri, dapat la banyak hasil, bagi macam saya (bahagi dua), jumlah hasil tidak seberapa,” katanya.
Mohon bantu nasib penoreh
Perhimpunan secara aman itu hanya menekankan beberapa perkara iaitu inginkan campur tangan kerajaan untuk menangani masalah ini.
Penduduk, Abdul Rahman Saad, 69, dari Kuala Ketil amat berharap agar rintihan dan penderitaan penoreh getah di seluruh negara mendapat perhatian dari pihak kerajaan.
“Penoreh dalam keadaan tertekan, mereka inginkan bantuan dan perhatian. Setakat ini, tiada siapa yang ingin membela nasib penoreh,” kata bekas pesara guru itu.
Tuan tanah tidak ambil hasil
Berikutan simpati dengan nasib penoreh getah, ada yang sanggup tidak menerima wang pembahagian hasil getah untuk membantu nasib penoreh.
Pemilik kebun, Ashri Abdul Rahman berkata, walaupun dia merupakan pemilik kebun, dia tidak menerima wang hasil jualan dari penoreh.
Menurutnya, sekiranya dia menerima wang itu, hasil penoreh akan berkurangan walaupun hakikatnya dia sepatutnya menerima wang pembahagian.
“Hampir tiga bulan saya tak terima wang jualan, saya berikan semuanya pada penoreh di kebun, saya tak sampai hati nak ambil tambahan pula dia mempunyai tanggungan.
“Saya tahu, kalau dibahagi dua, pendapatannya amat sedikit,” katanya yang juga merupakan seorang guru.
Menurutnya, memang wajar bantuan turut diberikan kepada penoreh kerana merekalah sebenarnya yang mengusahakan tanaman getah.
“Kebanyakan pemilik kebun jarang menoreh disebabkan faktor usia dan mempunyai pekerjaan lain. Jadi, mereka akan serahkan kepada orang lain untuk menoreh,” katanya.
Mogok lapar mungkin berulang
Sementara itu, Md Zuki juga tidak menolak kemungkinan mogok lapar seperti tahun 1974 mungkin berulang sekiranya tidak mendapat campur tangan kerajaan.
Menurutnya, penduduk di sini tidaklah sampai tahap tidak cukup makan, tetapi kejatuhan harga getah ini sememangnya menderitakan rakyat khususnya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada tanaman getah.
“Saya yakin, kalau tiada pembelaan, rakyat akan terus bangkit sehinggalah sampai kemuncak seperti tahun 1974. Kalau itu saja cara untuk bantu penoreh, saya akan sokong sepenuhnya,” katanya.
Perlu tetapkan harga lantai
Md Zuki berkata, sudah sampai masanya kerajaan memfokuskan kepada penoreh dengan menetapkan harga lantai bagi membantu penoreh seluruh negara.
Menurutnya, penetapan harga lantai ini dapat membantu dari harga getah jatuh merudum sehingga paras bawah RM3 untuk sekilogram.
“Kita amat bersimpati dengan nasib rakyat dan akan akan terus memberikan tekanan kepada kerajaan untuk membantu nasib penoreh.
“Andai perlu berhimpun, kita akan terus berhimpun demi mendapatkan perhatian dari pihak kerajaan,” katanya.
Risda rancang strategi
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Risda, Datuk Azmi Che Hussin berkata, pihaknya simpati dengan keadaan penoreh berikutan kejatuhan harga getah.
Menurutnya, pihak Risda sendiri telah menggariskan beberapa strategi dalam jangka masa panjang dan pendek untuk membantu penoreh.
“Bagi jangka masa panjang, kita akan memperkenalkan bahan rangsangan untuk meningkatkan pengeluaran getah termasuk menekankan mengenai kualiti getah itu,” katanya.
Beliau berkata, kualiti getah penting bagi memastikan pekebun mahupun penoreh mendapat hasil getah yang tinggi berbanding sebelumnya.
Azmi berkata, pihaknya juga berharap agar setiap penoreh menghantar hasil getah mereka kepada Depoh Risda berbanding peraih ataupun orang tengah.
“Menjual getah kepada Depoh Risda dapat membantu penoreh dari ditipu oleh orang tengah yang ingin mengambil kesempatan terutama pada masa kejatuhan harga getah,” katanya.
Menurutnya, selain itu, pihaknya turut akan memperkenalkan kawalan getah yang bertujuan bagi mengelakkan hasil getah mereka dicuri seterusnya merugikan penoreh.
Bagi masa pendek, bantuan kejatuhan harga getah mungkin diperkenalkan dengan penambahbaikan dari segi pemberian bantuan ini.
“Kita faham dan menerima banyak aduan mengenai penoreh yang tidak menerima bantuan ini kerana ia diberikan kepada pekebun iaitu tuan tanah yang berdaftar dengan pihak Risda.
“Sehubungan itu, kita akan cuba membantu memastikan penoreh iaitu bukan pemilik tanah juga mendapat bantuan kewangan ini,” katanya.
Ditanya mengenai harga lantai, Azmi berkata kajian penuh perlu dilakukan mengenai perkara itu.
“Kita perlu lihat dari pelbagai sudut terutama kepada penoreh dalam jangka masa panjang sebelum mengambil sebarang keputusan.
No comments:
Post a Comment