Thursday, February 13, 2014

PM NAJIB : BEBAS YANG TERCOROT ...


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan mengapa kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media (FPI) mencatatkan kedudukan terbUruk untuk tahun ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, laporan terbaru itu ternyata mengaibkan, apatah lagi apabila Najib pernah berjanji untuk menjadikan negara sebagai 'demokrasi terbaik di dunia'.

Beliau mengulas laporan FPI 2014 yang dikeluarkan badan antarabangsa, Reporters Without Borders (RSF) yang menunjukkan Malaysia berada di tempat ke 147 daripada 180 buah negara – turun dua tangga dan terendah sejak 12 tahun ia diadakan.

"Dakwaan Najib bahawa Malaysia adalah 'demokrasi terbaik di dunia' tergugat apabila dapat kedudukan tercorot dalam sejarah, malah lebih rendah daripada Myanmar.

"Bolehkan kita mengharapkan penjelasan beliau selepas mesyuarat Kabinet hari ini tentang mengapa beliau mungkir janjinya untuk jadikan Malaysia 'demokrasi terbaik dunia? Kedudukan negara diatasi Myanmar yang dianggap sebagai negara demokrasi terburuk di kalangan negara ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.

Kedudukan Malaysia boleh dikatakan baik pada tahun-tahun awal laporan itu dikeluarkan, dengan mendapat tempat ke 110 pada 2002, 104 (2003) dan dan 92 (2006).

Namun, sejak akhir-akhir ini terutama di bawah pemerintahan Najib, kedudukan negara terus merudum dengan tempat ke 141 pada 2010, 145 (2013) dan 147 (2014).

Katanya lagi, kedudukan itu mungkin ekoran tindakan terbaru kerajaan, iaitu pembatalan permit penerbitan FZ Daily, hanya selepas beberapa jam penerbit, The Edge Communications Sdn Bhd mendapat keizinan mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Kementerian Dalam Negeri yang menangguhkan pemberian permit itu pada mulanya.

Sebelum ini, kerajaan juga pernah menggantung permit akhbar mingguan 'The Heat', sebelum memberikannya semula ekoran tekanan berterusan yang diberikan aktivis kebebasan media.

Kebanyakan negara Asia Tenggara mengatasi kedudukan Malaysia, seperti Brunei (117), Thailand (130) dan Indonesia (144), manakala negara yang mendapat kedudukan yang lebih rendah adalah Singapura (150), Laos (171) dan Vietnam (174). – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment