Muhammad Sanusi Md Nor


ALOR SETAR - Kerajaan negeri disifatkan tergesa-gesa apabila memutuskan akan menggantikan kereta rasmi kerajaan negeri bagi kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), iaitu Toyota Camry kepada Proton Perdana baharu, yang dijangka dibuat pada bulan depan.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, adalah tidak praktikal untuk kerajaan BN membuat pembelian 10 buah Proton Perdana, dalam tempoh lapan bulan mentadbir negeri.

"Sekurang-kurangnya pembelian dibuat pada 2015 atau selepas itu, jangka hayat ekonomik sebuah kereta adalah lima tahun. Toyota Camry itu dibeli pada tahun 2010 dan masih dalam keadaan baik," katanya.

Menurutnya, seeloknya kerajaan negeri membuat perancangan membeli kereta baharu selepas setahun mentadbir Kedah, bagi mengukuhkan kewangan negeri selepas berlaku peralihan kuasa pada Mei 2013.

"Sekarang baharu lapan bulan mentadbir, sudah beli kereta Mercedes Benz s300 sekitar penghujung tahun lalu, bulan depan pula beli 10 buah Proton Perdana. Tidakkah ia suatu pembaziran, lebih elok jika peruntukan itu diguna bagi tujuan lain yang lebih penting," katanya.

Muhammad Sanusi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah (Tan Sri Azizan Abdul Razak) berkata, kerajaan BN perlu mengamalkan sikap berhemah dalam perbelanjaan dan berjimat cermat bagi menjaga aliran kewangan negeri, terutama dalam tempoh setahun mentadbir.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri bersikap telus dan mendedahkan nilai pembelian 10 kereta Proton Perdana baharu, bagi membuktikan kecekapan pentadbiran selain kemampuan kewangan negeri.

"Tak perlu bersandar pada alasan konon ada exco (PR) terdahulu berminat mahu membeli Toyota Camry, ia hanya justifikasi pemimpin Umno mahukan kemewahan dengan menukar kereta baharu," katanya.

Pada awal Januari lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah memberi gambaran awal berhubung pembelian itu dan menganggap langkah membeli kereta baharu akan dapat memenuhi keperluan Exco untuk turun padang ke pelusuk negeri termasuk perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi.

Tindakan itu juga antara inisiatif mengutamakan kereta buatan Malaysia yang berkualiti tinggi.

Muhammad Sanusi berkata, alasan yang diberikan sebelum ini tidak kukuh, malah tidak dikaitkan dengan kondisi kenderaan, sama ada masih dalam keadaan baik atau sering mengalami kerosakan.

"Ketika PR beli Toyota Camry pada 2010 atas alasan gantikan Proton Perdana yang dibeli zaman BN terdahulu kerana sering rosak di tengah jalan, sukar mendapatkan barang gantian termasuk perkhidmatan baik pulih yang lambat, menjejaskan perjalanan Exco," katanya.

Berbeza dengan alasan kali ini, katanya, ia tiada langsung dikaitkan dengan kondisi kereta, bermakna ia masih boleh digunakan.

"Kerajaan PR hanya putuskan beli pada 2010 selepas hampir tiga tahun menggunakan Proton Perdana yang bernombor pendaftaran KBW dan KBV. Apabila kereta baharu dibeli, kereta lama diagih kepada pegawai kanan kerajaan untuk digunakan, ini lebih ekonomik," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, sekiranya Toyota Camry masih dalam keadaan memuaskan dan ekonomik, adalah wajar untuk kerajaan negeri menangguhkan pembelian kereta baharu.