Tan Sri Muhammad Ali Hashim  
Tan Sri Muhammad Ali Hashim
 
SHAH ALAM – Masalah kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta lonjakan inflasi yang tinggi di negara ini tidak boleh diatasi dengan pemberian subsidi termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kerajaan sepatutnya mengatasi kemelut ekonomi itu dengan menyediakan platform untuk menjana pendapatan rakyat kerana subsidi hanya untuk jangka pendek.

“Kenaikan kos sara hidup kerana inlasi tidak boleh ditangani dengan subsidi, kerajaan perlu segerakan tingkatkan pendapatan rakyat.

“Hari ini tiada institusi tertentu untuk menjana pendapatan rakyat dan kenaikan inflasi secara mendadak kini telah menjejas gologan kelas menengah dan pertengahan malah hal ini boleh membuatkan mereka memberontak kepada kerajaan,” katanya pada Wacana Sinar ke-26 bertajuk ‘Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran’ di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, perkara itu jelas dapat dilihat apabila kadar kenaikan gaji bagi kakitangan swasta dari 2007 hingga 2010 hanya meningkat pada kadar 2.4 peratus sedangkan kenaikan gaji penjawat awam jauh lebih tinggi dengan pelbagai elaun bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.

“Kenaikan gaji sektor yang rendah tidak sama dengan purata margin yang diperolehi syarikat korporat yang melambung keuntungannya khususnya yang melibatkan jual beli hartanah pada kadar 45.3 peratus.

“Monopoli pasaran pula cenderung kepada ketamakan mengumpul kekayaan, bukan agihan kekayaan sama rata kepada setiap golongan masyarakat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau membantah desakan pembangkang yang sebelum ini mahu memboikot peranan orang tengah yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik secara mendadak, sebaliknya budaya rasuah adalah penyebab masalah itu terus membebankan rakyat.

“Jihad korupsi lebih penting daripada jihad orang tengah, ini kerana ramai orang Melayu dan Islam berjaya menjadi orang tengah dalam pasaran.

“Jihad perangi monopoli juga pula diberi perhatian dengan berteraskan startegi bisnes, elak greed driven,” katanya lagi.