Tuesday, February 18, 2014

PM NAJIB : JANGAN TINGGAL DAKU ...

Dua Lagi Menteri Mahu Undur daripada Kabinet najib?



Putrajaya Hanyut, Dorong Menteri Cari Jalan Keluar

[TMI] Dua menteri Umno sudah menunjukkan mereka mahu keluar daripada Kabinet menjelang rombakan pada Jun, membayangkan peningkatan kejengkelan terhadap tanggapan tiada arah tuju dalam kerajaan, kata sumber dalaman parti.

Ia sekurang-kurangnya membabitkan seorang menteri dalam pasukan ekonomi Putrajaya, yang berdepan dengan isu potongan subsidi, konsesi kenderaan import dan rundingan pakatan perdagangan Pacific Rim.

“Mood di Putrajaya muram. Sekurang-kurangnya dua menteri mahu cepat keluar daripada kerajaan Najib,” kata seorang ahli politik Umno kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada presiden parti dan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pencarian untuk menggantikan tempat itu kini bermula tetapi kekurangan bakat. Kita mempunyai sedikit sangat menteri atau ahli politik yang berkelayakan,” katanya.

Pasukan ekonomi Najib merangkumi dirinya sendiri sebagai menteri kewangan 1; Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan II; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; penasihat ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Husni dan Abdul Wahid mendiamkan diri sejak kebelakangan ini selepas Putrajaya membuat keputusan menarik balik kenaikan kadar tol yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau berkata kerajaan akan membayar RM400 juta kepada pemegang konsesi tol sebagai ganti rugi.

Mustapa dan kementeriannya menjadi perhatian kerana masih belum lagi memuktamadkan sistem Permit Import (AP) untuk kenderaan, yang semakin meningkatkan harga, dan kerana masih berbincang dengan rakan kongsi dalam Pacific Rim untuk membentuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Perdana menteri masih boleh menambah seorang lagi timbalan menteri dalam Kementerian Kewangan, ruang yang disimpan untuk MCA kerana parti komponen senior Barisan Nasional (BN) itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai kerajaan berikutan kekalahan teruk dalam pilihan raya tahun lalu.
Seorang pakar strategi Umno berkata, kemasukan MCA tidak akan memberi kesan besar terhadap kerajaan Najib, yang berdepan dengan perang prasangka lebih besar selepas pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan secara mengejut sebagai timbalan menteri, minggu lalu.

“Kabinet seperti sudah tidak ada calon dan MCA tidak terlalu menonjol, maka kemasukan mereka nanti tidak akan mengubah apa-apa.

“Kerajaan perlu cepat keluar daripada kesuraman ini dan bekerja kuat. Mereka tidak akan kehilangan apa-apa sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Pengkritik berkata, pentadbiran Najib gagal meredakan peningkatan ketegangan perkauman dan agama dalam negara, terutama di Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir oleh pembangkang.

Katanya, polis berjanji untuk bertindak tetapi setakat ini, hanya pemimpin pembangkang yang berdepan dengan cabaran besar.

Najib juga berdepan dengan kritikan daripada parti Umno sendiri, terutama golongan veterannya, yang percaya bahawa perdana menteri perlu melakukan lebih lagi untuk memotong perbelanjaan, bukan semata-mata potong subsidi.

“Kerajaan memerlukan kepimpinan lebih tegas dan lebih memahami apa yang berlaku dalam Malaysia. Mereka kelihatan seperti tidak tahu dan kadang-kadang, nampak tidak peduli.

“Mungkin itu sebabnya mereka mereka berperasaan muram. Mereka tiada arah, tiada petunjuk dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan Putrajaya terus berkuasa,” kata seorang ahli Umno.

No comments:

Post a Comment