PM UMNO : BR1M UNTUK MELAYU YANG GAGAL ???
‘BR1M’ DAN ‘PINK FORM’ MENGAGALKAN DEB
Aku tidak pula mahu memperkecilkan usaha kerajaan memberikan BRIM ( Bantuan Rakyat 1 Malaysia) kepada sesiapa yang layak menerimanya. Dan hampir seluruh penduduk kampung aku layak menerima BRIM. Ini disebabkan pendapatan penduduk di kampung aku pastinya kurang daripada RM 3000-00 sebulan. Mungkin ada yang berpendapatan melebihi jumlah itu. Tak ramai. Mungkin tidak sampai sepuluh keluarga yang berpendapatan sebanyak itu. Itu pun sekiranya dicampurkan dengan wang pemberian anak-anak yang bekerja dan bergaji lumayan.Tentulah tidak harus dinafikan tentang ‘baiknya’ usaha pihak kerajaan ini jika ditinjau dari satu segi. Walaupun dengan wang pemberian sebanyak itu (RM 650.00) tidak banyak dapat dibeli (dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat) namun pemberian sedemikian dapat juga melegakan sedikit golongan yang berpendapatan demikian. Dan aku pasti yang ramai penerima wang BRIM adalah terdiri dari orang Melayu kampung yang berpendapatan mereka di bawah paras yang ditetapkan untuk mereka layak mendapat BRIM.
Setakat yang aku tahu, tidak ada negara-negara di dunia yang melakukan apa yang dilakukan oleh negara kita. Pemberian hadiah wang, BRIM. Negara Brunei yang kaya pun tidak buat sepertimana yang kita lakukan. Mungkin pernah ada pemberian sedemikian. Sekali dalam tiga tahun, mungkin. Sebaliknya banyak negara yang memansuhkan pembayaran cukai pendapatan kepada warga negaranya. Seingat aku, hanya Sabah yang pernah memberikan hadiah wang yang sebegini pada zaman pentadbiran Tun Mustafa ( kalau aku tak silap).
Dilaporkan bahawa bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM4.6 bilion yang akan dimanfaatkan oleh 7.9 juta orang rakyat Malaysia daripada keseluruhan penduduk seramai 28.3 juta orang. Ini bermakna bahawa 25% rakyat Malaysia masih layak menerima BRIM. Ini juga bermakna bahawa 25% rakyat Malaysia masih dalam keadaan miskin, mengikut tafsiran pihak Kerajaan. Dan daripada jumlah itu aku yakin bahawa yang ramai berada dibawah paras kemiskinan itu adalh terdiri dari orang Melayu.
Jikalau tidak silap, usaha untuk memajukan orang Melayu memang telah lama diusahakan. Penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Desa atau Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang dipengerusikan oleh Dato’Onn Jaafar pada tahun 1950 adalah bertujuan untuk memajukan ekonomi dan pendidikan masyarakat luar bandar terutamanya kaum Melayu. Usaha ini sudah berjalan begitu lama. Tahun 1950.
Kemudian dalam Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) matlamat utamanya untuk membangunkan kawasan luar bandar supaya jurang perbezaan pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar dapat dirapatkan. Usaha memajukan ekonomi orang Melayu diteruskan dalam Rancangan Malaya Kedua dan Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Dan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) ternampak usaha berterusan memajukan penduduk luar bandar dari segi pencapaian dalam bidang ekonomi.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. Apabila tempoh DEB tamat pada tahun 1990, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula diperkenalkan untuk menyambung hasrat DEB dehingga tahun 2000. Tentulah ramai juga yang mempersoalkan mengapa dasar ini dilanjutkan. Orang bukan Melayu pasti tertanya-tanya juga.
Orang Melayu yang miskin dan kaya menggunakan DEB sebagai ‘pelampung’. Orang kaya menggunakan DEB sebagai helah untuk memperkayakan diri dan anak masing-masing. Orang Melayu yang berkesempatan berada di ‘corridors of power’ akan menggunakan sepenuhnya DEB untuk mengaut untung dan kekayaan semaunya. Bernaungkan DEB, orang Melayu yang berkepentingan diberikan ‘pink form’ dan beberapa keistemewaan lain untuk memperolehi saham-saham dalam IPO (Initial Public Offering). Ini merupakan ‘durian runtuh’ kepada mereka yang akan menjualkan saham mereka itu setelah dibeli dengan harga yang agak murah. Ini hanya satu contoh bagaimana DEB telah ‘diperalatkan’ oleh orang Melayu yang tidak bertanggungjawab memperkaya diri dan keluarga dan kroni-kroni mereka.Kerajaan tidak harus dipersalahkan sepenuhnya sekiranya hal sebegini berlaku, Sememangnya hasrat kerajaan untuk mengagihkan harta kekayaan di negara ini kepada semua rakyat Malaysia. Masalahanya ramai orang Melayu mahu menjadi kaya dengan lebih cepat dan pantas menggunakan jalan pintas. Akhirnya pemilikan harta oleh orang Melalyu di Malaysia masih berada ditakuk lama juga.
Nampaknya pada tahun 2014 masih ramai lagi orang Melayu yang hidup dibawah paras kemiskinan. Apakah setelah tiga puluh tahun dibimbing dan ditatang, maka orang Melayu masih memerlukan ‘tongkat’ dan bantuan seperti BRIM. Apakah hina benarkah orang Melayu sehingga tidak dapat hidup berdikari tanpa pertolongan pihak kerajaan. Sampai bila agaknya orang Melayu ini lembik dan tidak bermaya. Dan tidakkah orang Melayu yang menerima BRIM ini terasa bahawa merekalah yang disebut oleh Aminuddin Baki sebagai ‘ayam yang mati dikepuk padi dan itik mati kehausan di air tenang’….Dan apakah pihak kerajaan tidak berkemampuan langsung untuk memikir satu langkah yang konstruktif untuk membasmi kemiskinan orang Melayu ini. Apakah ini saja ‘solution’ yang boleh difikirkan oleh para pemikir yang kononnya bijak-bijak belaka yang berada di Jabatan Perdana Menteri itu. Dan apakah langkah sebegini merupakan langkah secara berterusan untuk memajukan orang Melayu. Apakah yang akan terjadi sekiranya kering sumber minyak di perut bumi ini.Orang Melayu seharusnya berhenti mengambil ‘jalan pintas’….abuhassanadam
No comments:
Post a Comment