Oleh Izmil Amri
Dasar DAP, pembangkang kerjanya menghasut sahaja.
Tetapi rakyat Malaysia tidak akan tahu apa yang dihasutkan oleh Karpal. Apa sebenarnya kalimat yang keluar daripada mulut peguam dan ahli politik veteran itu yang dikira sebagai menghasut? Apa indikator yang menjadi kayu ukur mahkamah untuk menentukan sama ada perkara yang disebut Karpal itu satu hasutan atau tidak? Adakah semua hasutan itu pula salah mengikut Akta Hasutan?
Sebelum kita pergi lebih jauh, kita harus bertanya 'menghasut' ini apa bendanya? Hasut, perkataan yang bunyinya pun macam kasut. Kalau disebut berkali-kali, akan rasa macam pelik. Hasut, hasut, hasut.
Hasut menghasut ini kerja orang politik. Kalau doktor kerjanya mengubat orang, tukang masak kerjanya memasak, orang politik kerjanya menghasut. Perkataan lain yang lebih lembut untuk menggambarkan pekerjaan orang politik ini ialah 'memujuk sokongan'. Menghasut dan memujuk sokongan tidak banyak beza. Manusia harus dihasut supaya pemikirannya berkocak dan sokongan atau pendiriannya berubah.
Saya akan beri contoh mudah.
Katakan anda dan seorang teman sedang berada di kedai nasi kandar. Teman anda yang seorang ini ada penyakit susah mahu buat keputusan apabila ditanyakan soalan 'nak makan apa?' Bukan sahaja teman anda, malah ramai lagi manusia yang punya penyakit nan satu ini.
Okay, jadi anda pun buat tak peduli dan memesan mee goreng mamak, basah, pecah telur dua biji, bikin kasi pedas; dengan semangkuk kecil kari kambing, kuahnya saja. Air teh tarik Komtar dan segelas air kosong.
Teman anda, saya pasti akan terpengaruh dan mula menelan liur ketika makanan itu dibawa ke meja. Dan kemudian akan tambah kecur liur apabila menyaksikan bagaimana anda menggaul mee yang sedang berasap itu sambil menyudukan kuah kari tadi untuk digaul bersama.
Tetapi mungkin dia belum yakin lagi dengan kelazatan makanan Pulau Pinang. Jadi anda pun memanggil pelayan, "Anney.. roti kosong dua, koyak siap-siap, kuah campur kasi banjir".
Sekonyong-konyong makanan itu sampai, teman anda pun bersuara.
"Mamak, saya mau macam ini lagi satu."
Nah, hasutan anda telah berjaya. Hasutan yang sebegini disebut orang Pulau Pinang sebagai 'yang dinamakan punca'. Tapi itu cerita lain.
UMNO juga menghasut
Baik, kerja hasut-menghasut ini sebenarnya UMNO buat setiap hari. Di media tradisional yang dikawal pemerintah, aktiviti menghasut ini berjalan tanpa disedari sesiapa pun kerana penghasut seperti UMNO-BN pastinya tidak akan mengaku dirinya sedang menghasut. Tetapi saya yakin rakyat Malaysia bijak pandai orangnya dan akan sedar apabila dihasut oleh media kawalan kerajaan Persekutuan untuk membenci Anwar Ibrahim si Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Lim Guan Eng si Ketua Menteri Pulau Pinang, Nik Abdul Aziz Nik Mat mantan Menteri Besar Kelantan dan ramai lagi pemimpin politik pihak lawan UMNO.
UMNO juga sentiasa menghasut rakyat untuk menolak pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan; supaya kerajaan yang dipilih rakyat itu secara demokratik akan tumpas dan mudah dirampasnya pada pilihan raya akan datang. Ya UMNO lebih-lebih lagi mahu menggulingkan kerajaan Selangor dan 'menghasut' rakyat supaya membenci Pakatan Rakyat di negeri itu dengan pelbagai jenis 'hasutan' di akhbar dan kaca televisyen.
Tetapi rakyat tidak akan tahu bahawa UMNO juga menghasut kerana tidak ada orang yang mengheret UMNO dan pemimpinnya ke mahkamah kerana menghasut untuk menggulingkan kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Rakyat juga ada yang tidak sedar bahawa UMNO itu pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
Dan hasutan UMNO-BN ini juga yang mengabui mata rakyat seluruhnya bahawa Pakatan Rakyat itu bukan kerajaan di negeri yang disebutkan tadi.
UMNO-BN menunjukkan kepada anda bagaimana lazatnya mee goreng mamak yang dijirus kari kambing dan anda gagal mengawal perasaan dan menerima cadangan itu sebagai satu keyakinan baru, mengalahkan keyakinan asal anda. Mereka berjaya memujuk, dan anda tergoda dan kalah.
Ini caranya saya menerangkan kepada anda maksud 'menghasut' kepada anda secara panjang lebar.
Jadi balik kepada persoalan mula. Apa salah Karpal?
Akta Hasutan
Apakah ayat atau bahasa jenis apa yang digunakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor ini yang ditafsirkan mahkamah sebagai menepati peruntukan hasutan mengikut Akta?
Pada 21 Februari lalu, Karpal Singh, peguam tersohor Malaysia dan pemimpin lama Parti Tindakan Demokratik disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana dipercayai mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan terhadap Sultan Perak berhubung krisis perlembagaan yang melanda negeri itu setelah beberapa ahli dewan negerinya melompat parti dan berlakunya rampasan kuasa dalam kerajaan negeri.
Akta Hasutan 1948 menafsirkan kalimat 'menghasut' sebagai: dipakai bagi atau digunakan berkenaan dengan apa-apa perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau apa-apa benda lain menjadikan perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu sebagai yang mempunyai kecenderungan menghasut.
'Kecenderungan menghasut' ditafsirkan Seksyen 3 (1) Akta yang sama seperti berikut:
Sesuatu "kecenderungan menghasut" ialah kecenderungan—
(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(b) bagi membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang di dalam wilayah Raja itu atau wilayah yang diperintah oleh kerajaan itu;
(c) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana negeri;
(d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana negeri;
(e) bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau
(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.
Panjang betul.
Karpal disifatkan sebagai menghasut apabila beliau mengatakan bahawa keputusan yang dibuat Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam krisis kerajaan negeri itu beberapa tahun lalu boleh dipersoalkan di mahkamah. Itu sahaja.
Ya, itu sahaja. Seorang peguam yang sudah berpuluh tahun bertarung di mahkamah dalam kes berprofil tinggi memberikan pendapatnya tentang undang-undang perlembagaan. Hukumannya denda dan/atau penjara, yang akan menyebabkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor mungkin terpaksa dikosongkan dan satu lagi pilihan raya kecil berlangsung.
Bagaimana persoalan Karpal itu boleh disebut sebagai menghasut berdasarkan peruntukan undang-undang? Bagaimana pula sepanduk bertulis "Kerana mulut pemimpin DAP 13 Mei terjadi.. Mau lagi kaa!!!" tidak disebut sebagai menghasut bertepatan dengan perenggan (e) dalam subseksyen di atas?
Kalau seorang pengamal undang-undang veteran tidak boleh membuat komentar tentang permasalahan undang-undang negara, siapa yang boleh? Pelayan restoran nasi kandar yang bawakan mee goreng mamak tadi? – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment