Oleh: Minda Jentayu
Jika kita menggunakan istilah "Leadership of the Clergy" untuk merujuk kepada amalan kepimpinan PAS, ia mungkin akan dirasakan janggal. Bunyinya seolah-olah satu konsep yang diambil dari agama lain di mana wujudnya pembahagian diantara golongan "clergy" dan golongan "lay" atau orang-orang biasa. Namun, itulah hakikat konsep kepimpinan ulama. Ia sangat asing pada Islam dan sebenarnya lebih hampir pada fahaman sekular yang membahagikan di antara urusan agama dan duniawi. Ia seolah satu langkah ke belakang atau "rollback' yang akan memundurkan PAS.
Namun,
implikasi dari perkembangan yang berlaku pada Muktamar PAS ke 61 bukan
sekadar satu perubahan semantik semata-mata. Ia juga mempunyai implikasi
strategik yang amat ketara. Malahan, ia merupakan kemuncak strategi
membina kembali "containment" pengaruh PAS dan melemahkan Pakatan
Rakyat.
Sebelum
PRU 1999, pengaruh PAS dilhat sebagai terbatas. Prestasi
pemimpin-pemimpin PAS di luar Kelantan amat tidak menentu. Adakalanya
menang dan adakalanya kalah dalam pilihanraya. Bagi UMNO, PAS diterima
sebagai "necessary evil". Dengan adanya PAS, UMNO dapat memaparkan
dirinya sebagai golongan sederhana. Dalam konteks hubungan
antarabangsa, PAS boleh digunakan sebagai jembalang untuk mengingatkan
pengkritik bahawa sekiranya UMNO lemah Malaysia akan jatuh kepada
golongan fundamentalis agama. Oleh itu, pendekatan strategik yang
digunakan dalam menanggani PAS ialah pendekatan "containment". Biarkan
PAS bertapak di kawasan-kawasan tertentu, khususnya di negeri-negeri
Pantai Timur. Biarlah PAS wujud dalam "sphere of influence" yang
terbatas dan terbendong ini.
Prestasi
ulama PAS pula tidaklah begitu memberansangkan. Walau pun mampu memberi
ceramah dan pidato berapi-api serta mengistiharkan berbagai hukum,
mereka umumnya tidak berkesan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Kebanyakan mereka tidak mampu membahaskan isu-isu dasar dengan berkesan.
Kalau ada pun, sekadar membuat saranan umum memgenai perlu kembali
kepada Islam, perlu ikut sistem ekonomi dan pendidikan Islam tetapi
tidak melebihi dari itu. Dalam isu-isu berkaitan dasar fiskal, mengenai
strategi merubah ekonomi Malaysia dari ekonomi yang dipacu pelaburan
kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan bagaimana meningkatkan pelaburan,
golongan ulama umumnya mati punca. Demikian juga, apabila muncul
skandal-skandal mega golongan ini juga kelihatan ibarat rusa sesat di
tengah pekan. Sama ada skandal BMF, Maminco, Perwaja atau skandal
spekulasi matawang Bank Negara yang berlaku 20-30 tahun dahulu mahupun
skandal-skandal yang mutakhir seperti skandal PKZ, MAS, 1MDB dan NFC,
golongan ulama nyata tidak dapat menguasai isu-isu semasa ini. Mereka
lebih selesa membisu dalam isu-isu sebegini.
Oleh
itu, UMNO menganggap adalah memadai dengan pendekatan "containment"
terhadap PAS. Ini telah berlarutan sehinggalah dua perkembangan yang
membimbangkan UMNO. Pertama ialah perkembangan politik selepas pemecatan
Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1998. Ia telah menyaksikan
lonjakan aktivitisma politik di kalangan rakyat Malaysia. Oleh kerana
PKR masih belum wujud, ramai di antara aktivis Melayu menyertai PAS. Ini
termasuklah golongan professional. Penyertaaan mereka ini membawa
beberapa perubahan penting kepada PAS. Golongan ini lebih canggih dari
segi pemikiran politik dan keupayaan menanggani isu-isu semasa. Mereka
dapat mengolah isu dan idea dalam bahasa dan gaya yang mempunyai daya
tarikan kepada golongan kelas pertengahan Melayu. Golongan ini juga
selesa menjalinkan hubungan dengan golongan bukan Islam, sama ada
dengan DAP atau NGO-NGO yang turut disertai oleh bukan Islam. Golongan
ulama sebaliknya lebih bersikap "insular". Mereka jarang sekali
menyertai program-program bersama yang diwujudkan parti-parti Pakatan
Rakyat. Dari segi aktivisma, golongan ulama lebih selesa dengan
program-program dalaman. Sebaliknya, golongan professional lebih aktif
dalam ruang lingkup kegiatan-kegiatan yang lebih luas. Ini termasuklah
dalam isu-isu seperti reformasi pilihanraya dan hak asasi manusia.
Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin PAS dari golongan professional lebih
ramai menghadapi dugaan ditangkap dan dipenjarakan. Golongan ulama lebih
selesa berjuang di medan ceramah sedangkan golongan professional yang
selalu berada di barisan hadapan dan menghadapi berbagai ujian dan
ibtilak. Sekiranya perjuangan para anbiya dipenuhi dengan dugaan dan
ujian, tidak sukar untuk melihat siapakah yang lebih hampir pada
perjuangan para anbiya.
Perkembangan
kedua ialah PRU pada 2008. Akibat dari jalinan hubungan dengan
golongan bukan Islam, PAS mula diterima oleh masyarakat bukan Melayu dan
bukan Islam. Semakin ramai pengundi bukan Melayu yang memberi undi
kepada PAS dan membolehkan PAS menang kerusi-kerusi di luar Pantai Timur
dan khususnya di kawasan-kawasan bandar. Hasil PRU 2008 dan 2013
menunjukkan tembok "containment" yang wujud sebelum ini telah roboh.
Perkembangan ini juga turut dirasakan DAP. Pengundi-pengundi Melayu,
terutama golongan kelas pertengahan dan generasi muda, mula memberi
sokongan kepada DAP. Dengan robohnya tembok "containment" ini,
berlakulah tsunami yang merungkaikan penguasaan dua pertiga Parlimen
oleh BN dan menafikannya sokongan majoriti pada PRU ke 13.
Untuk
menghadapi realiti baru ini, UMNO memerlukan satu strategi baru untuk
menggantikan strategi "containment". Strategi ini mestilah mampu
memusnahkan sumber-sumber kekuatan yang membolehkan PAS keluar dari
tembok "containment" ini. Bagi UMNO, ancaman sebenar kepada pengaruhnya
bukanlah ulama PAS. Golongan ulama telah lama wujud di dalam PAS dan
telah dapat di "contain" dengan mudah. Sebaliknya, ancaman utama kepada
UMNO ialah golongan professional. Mereka inilah yang telah berjaya
merobohkan tembok "containment". Oleh itu, adalah perlu kekuatan ini
dimusnahkan.
Strategi
melemahkan PAS dan PR bolehlah diistilahkan sebagai strategi
"rollback". Tujuan strategi "rollback" ialah menolak kembali PAS ke
ruang "containment" yang wujud sebelum 1998. Ini akan dicapai bila
kepercayaan di kalangan golongan kelas pertengahan, khususnya di Pantai
Barat, dan di kalangan pengundi bukan Melayu terhadap PAS dapat
dilunturkan. Untuk tujuan ini, umpan hudud dan sentimen perpaduan
Melayu digunakan. Pada ketika yang sama, langkah untuk melemahkan PR dan
PKR turut diambil. Ini adalah dengan mewujudkan fitnah liwat terhadap
Anwar Ibrahim dan memenjarakan beliau.
Di
antara langkah yang diambil untuk menawan hati beberapa ulama PAS ialah
program-program "taklimat" tertutup yang diberikan oleh sebuah agensi
perang saraf kerajaan. Dua perkara utama cuba dicapai dari
program-program ini. Pertama, memberi gambaran bahawa kedudukan orang
Melayu dan Islam akan terjejas jika PR memerintah. Ini kerana golongan
MP bukan Islam dikatakan lebih ramai dari golongan Islam dalam sebuah
kerajaan PR. Ini dikatakan boleh menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam.
Kedua, usaha dilakukan untuk meyakinkan golongan ulama ini bahawa Anwar
Ibrahim ialah seorang peliwat dan membawa kefahaman liberal. Di antara
perkara yang dilakukan dalam program-program "taklimat" tertutup ini
ialah "pengakuan" dua orang bekas pemimpin ABIM dan seorang tokoh
korporat yang rapat dengan PAS bahawa mereka yakin bahawa Anwar memang
seorang peliwat. Salah seorang dari ulama ini di bawa ke sebuah kilang
di Thailand yang dimiliki tokoh korporat ini.
Ketika
di sana dia diberi sanjungan dan layanan istimewa. Sebelum ini,
pendekatan yang hampir sama turut digunakan ke atas pemimpin-pemimpin
reformasi yang ditahan di bawah ISA. Mereka diberi maklumat terpilih
mengenai "salahlaku" Anwar Ibrahim. Mereka dilayan seolah-oleh mereka
golongan istimewa dan diberi maklumat yang tidak didedahkan kepada orang
lain. Namun, muslihat ini gagal mengubah pandangan tahanan-tahanan ISA
ini. Kedua-dua bekas pemimpin ABIM ini dan tokoh korporat ini
menggunakan pendekatan emosi dalam meyakinkan ulama PAS ini bahawa Anwar
adalah peliwat, satu ancaman kepada Islam dan harus dihalang dari
menjadi Perdana Menteri. Namun, "taklimat-taklimat" ini tidak pula
pernah menyebut mengenai bagaimana kepentingan Melayu dan Islam
dikhianati oleh elit Melayu melalui pembaziran dan amalan rasuah.
Peranan J Lo serta kroni-kroni lain elit Melayu tidak pernah disebut.
Demikian juga, penglibatan seorang warga Israel sebagai penasihat
komunikasi juga tidak dibincangkan. Sesi-sesi taklimat ini berjaya
menambat hidung ulama PAS. Muslihat yang gagal digunakan ke atas
tahanan ISA mengena pada ulama PAS ini. Ini membuka jalan untuk
membolehkan strategi "rollback" dilaksanakan sepenuhnya.
Pergolakan
MB Selangor telah berjaya digunakan untuk mencetuskan ketegangan di
dalam PR dan PAS sendiri. Walau pun pendirian presiden PAS bercanggahan
dengan keputusan yang dibuat JK Pusat PAS, yang dipersalahkan ialah
golongan professional. Maka berbagai istilah pahit seperti barua, jebon,
budak suruhan DAP, perosak dan pengkhianat digunakan untuk melabel
golongan ini. Ketika para sahabat Rasulullah tidak menyetujui dengan
perjanjian Hudhaibiah dan pada mulanya enggan membuka pakaian ihram
mereka, Rasulullah tidak pula mempersoalkan wala mereka atau menggunakan
bai`ah yang mereka berikan untuk memaksa mereka akur dengan keputusan
baginda. Jauh sekali melabel mereka sebagai pengkhianat atau perosak.
Tetapi ulama PAS bertindak sebaliknya dan membiarkan suasana memfitnah,
mencaci dan mengecam berterusan seolah-olah inilah sibghah Islam yang
mereka bawa. Mungkin ulama PAS tidak mempelajari tafsir surah Al
Hujurat, wallahu `alam.
Budaya
taat tanpa menyoal dalam PAS turut memudahkan proses memecahbelahkan
PAS dilakukan. Muhasabah bukanlah suatu yang mudah dilakukan dalam PAS,
terutama apabila ia melibatkan ulama. Sebagai contoh, seorang pemimpin
ulama ketika PAS memerintah Terengganu telah memiliki sehingga enam buah
kereta rasmi. Ini kerana kedudukannya dalam Exco negeri dan beberapa
jawatan dalam lembaga GLC negeri Terengganu. Namun, amalan yang
keterlaluan ini tidak pula ditegur oleh sesiapa. Ini semata-mata kerana
pemimpin ini digelar ulama. Demikian juga, pemimpin yang sama
membiarkan diri dipanggil dengan gelaran doktor sejak tahun 1980han
walau dia tidak melengkapkan pengajian PhDnya.
Nyata
sekali semua asas-asas strategi "rollback" telah ditegakkan. Golongan
professional dalam PAS yang merupakan ancaman utama kepada UMNO telah
dinyahkan. Inilah sebabnya pemimpin UMNO dan media yang dikawal UMNO
begitu teruja dengan monopoli "leadership of the clergy" dalam PAS.
Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin UMNO menunjukkan kegembiraan mereka
dan cepat mengucapkan tahniah kepada ulama PAS. Mereka tahu strategi
mereka telah berjaya. Kain kafan telah diikat, hanya tunggu untuk
memasukkan PAS ke dalam liang lahad. Dengan ini berjayalah strategi
"rollback" mereka dan pengaruh PAS akan kembali terbendung dalam ruang
"containment" yang wujud sebelum 1998.
Pada
PRU ke 14 nanti, kemerosotan sokongan kepada PAS akan menyebabkan PAS
kalah dibanyak kerusi yang dipegangnya ketika ini. Tidak mungkin UMNO
akan membiarkan PAS mengambil kerusi-kerusi yang kini dipegangnya.
Apabila ini berlaku, nilai PAS kepada UMNO sudah tidak wujud lagi.
Malahan, lebih baik UMNO bekerjasama dengan PKR pada ketika itu. Akan
jelaslah ketika itu siapa sebenarnya yang merosakkan dan mengkhianati
PAS. Pada ketika itu, para ulama PAS bolehlah menggunakan lutut dan
siku yang terdapat di bawah jubah mereka untuk bergocoh sesama sendiri.
p/s : kemenangan tidak penting, yang penting keredhaan Allah.
inilah ayat yang selalu di war-war oleh pro-ulama.
jadi, x payah masuk pilihanraya,
kita gabung dengan umno, kemudian undi umno...
setel....
No comments:
Post a Comment