Monday, June 8, 2015

Apabila Dewan Ulama kurang bijaksana



SELEPAS SUBUH                                                                           

Dalam apa juga bidang memerlukan kebijaksanaan. Untuk menjadi bijaksana, seseorang itu perlu menakluki atau pun sekurang-kurangnya mengetahui secara asas semua bidang ilmu. Kebijaksaan atau fatanah adalah empat daripada sifat yang menjadi "pakaian" Muhammad s.a.w menjadikan dia pemimpin agung yang hebat.

Sinonimas sifat itu dengan karektor Rasulullah itu menunjukkan sifat itu sangat penting dalam konteks pemimpin dan kepimpinan. Tanpa kebijaksanaan tidak mudah sesuatu perjuangan itu mencapai matlamatnya atau mempertahankannya selepas ia berjaya dirangkul.

Apabila sebut bijaksana, ia perlu memandang jauh, mengintai kesan dan implikasi ke atas sesuatu yang hendak dibuat. Kebijaksaan itu termasuklah bijak membaca dan menghurai sesuatu keadaan bakal terjadi.


Kebijaksanaan menjadi seseorang itu berfikir dan bercakap dengan penuh hikmah, diplomasi dan ada kalanya perlu apolegetik selagi ia ada ruang untuk berbuat begitu. Dia juga berpandangan jauh serta mampu merancang dengan baik dan boleh menyelesaikan masalah yang dihadapinya.


Bijaksana atau fatanah ini juga boleh menyelamatkan sesuatu keadaan atau kejayaan yang sudah dalam genggaman daripada terlerai dan bertaburan. Bijaksana juga boleh mengurangkan musuh dan sekaligus meramai atau menambah eratkan hubungan sesama kawan taulan.

Menyentuh soal ini, apabila melihat keadaan yang berlaku dalam muktamar Pas lalu, ada satu tindakan bagi saya dibuat bukan dengan sikap bijaksana. Perkara itu penting, malahan satu kewajiban auliya' tetapi disebabkan kurang berbijaksana, menjadikan ia mengheret kepada masalah lebih besar. Ibarat daripada mulanya mengidap kudis kemudian bertukar menjadi barah disebabkan tidak tahu dan pandai mengatasinya.

Apa yang dimaksudkan itu ialah tindakan Dewan Ulama Pas bersama Pas kawasan Tumpat yang membawa usul agar Pas memutuskan hubungan dengan DAP. Iya, walaupun usul itu melibatkan soal hukum dimana Pas tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang ketetapan Allah, tetapi Islam juga meletakkan keutamaan auliya' itu dihadapan. Kebijaksanaan dalam hal ini adalah sesuatu sikap yang perlu diutamakan.

Dalam konteks ini bagi saya Dewan Ulama tidak bijaksana dan telah salah dalam meletakkan keutamaan dalam tindakan perjuangannya. Gara-gara tindakan yang lebih didorong oleh retorika agama itu mendedahkan akan kelemahan dewan berkenaan. Kesilapan ini menjadikan dewan itu perlu bermahasabah diri politiknya.

Tengok hari ini apa yang berlaku ekoran tindakan tidak bijaksana itu. Hubungan politik antara Pas dengan DAP sudah retak atau pun sudah terbelah. DAP terasa pedih dengan usul berkenaan. Balasan tamparan kepada DAP setelah Pas ditampar beberapa kali-kali dan berkali-kali oleh DAP itu telah memusnahkan satu pendekatan dan persahabatan yang baru hendak erat terjalin.

Walaupun usul itu bukan muktamad, tetapi dari segi hakikatnya ia sudah muktamad. Dari segi rohnya ia sangat menghina DAP, dimana dalam terjemahan politiknya Pas tidak lagi menyukai dan senang dengannya. Apa lagi ada perwakilan yang kurang siuman politik bercakap boros sampai sedia untuk menyiku dan melutut DAP.

Apabila DAP bertindak balas ekoran usul berkenaan - bersedia untuk kehilangan Pas, menyebabkan Pas kini menjadi bergelupur dan gelabah. Ada yang terkejut beruk dengan tindakan DAP itu dan cuba membuat penjelasan mengenai kedudukan yang sebenarnya. Kononnya usul berkenaan belum muktamad tetapi masih dalam perbincangan dan penelitian Syura Ulama.

Tetapi bagi orang yang faham politik dan dapat membaca kilau dalam kilat tahu hakikat itu. DAP tidaklah bodoh dalam hal ini. Sikap DAP menolak apa-apa kepentingan Islam yang diperjuangkan Pas memang kita tidak boleh menerimanya. Tetapi bila ia memerlukan kuasa bagi melaksanakan sesuatu atau melibatkan kesan kepada politik bersama ia haruslah dibuat dengan penuh berhemah dan berfikir banyak kali. Melakukan sesuatu dengan mengikut peraturan, berhikmah sangatlah penting.

Kalau benar usul itu tertakluk kepada keputusan Syura Ulama dan Jawatakuasa kerja, kenapa ia dibawa ke dalam muktamar? Pengerusi penerimaan usul Mahfuz Omar tidak perlu mengumumkan usul berkenaan diterima dalam mukatamr tanpa bahas. Ia boleh diserahkan senyap-senyap kepada Dewan Syura Ulama membuat keputusan mengenai status usul berkenaan. Bila ia diumumkan ia menjadi pengetahuan umum yang tidak boleh disembunyikan lagi kalau pun ia ada maksud tersirat yang baik.

Apabila tanpa diketahui statusnya dari sudut hukum oleh Dewan Syura Ulama tetapi ia sudah dibawa, maka ia jadi masalah. Usul itu hanya tidak lebih daripada ingin mendapat endorsement daripada perwakilan sahaja, bagi menunjukkan sokongan. Sebenarnya, itu pun tidak perlu apabila sudah diketahui perwakilan sudah dituba sedemikian rupa. Walhasilnya kini disebabkan tidak ceramat dan berhemah usul yang baik itu bertukar menjadi jahat dan memakan diri sendiri.

Inilah dikatakan kurangnya kebijaksanaan yang berlaku dalam Pas. Ketidakbijaksanaan akhirnya memakan diri Pas dan merugikan parti berkenaan. Kononnya ianya mendapat keredaan Allah ia sesuatu yang subjektif dan bukan jelas. Apa yang berlaku sudah pun berlaku. Kini Pas teruji dengan satu lagi kebijaksanaan macam mana hendak menyelasaikan apa yang sedang berlaku sekarang ini. Apakah Pas boleh meredakan hubungan dengan DAP dan terus bertahalul syiasi? Ia menjadi tanda tanya besar.

Sekiranya hubungan Pas dengan DAP terpaksa diputuskan, atas sebab-sebab prinsip dan dasar yang tidak boleh dikompromi itu, jelaskan Pas akan kehilangan sifat kebijaksanaan yang mana menjadikan ia sebuah parti politik yang gagal. Dewan Ulama dan Pas kawasan Tumpat dibawah pimpinan Ahmad Yaakub nampak sangat dangkal ilmu politik dan begitu gelojoh untuk mendapat keredhaan Allah.

No comments:

Post a Comment